Categories
KENYATAAN MEDIA

Sampai bila Najib mahu ‘bodohkan’ orang kampung?

OLEH TAN KAR HING

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu ucapannya pada Dialog eUsahawan TN50 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak bercadang memberi subsidi pembangunan internet berkelajuan tinggi di luar bandar.

Dikatakan kawasan di luar bandar tidak mempunyai permintaan tinggi dan tidak wajar sekiranya wang rakyat diambil dan digunakan untuk memberi subsidi.

Perkara ini amat mengecewakan dan saya berpendapat bahawa alasan Najib itu tidak masuk akal kerana dilihat sengaja tidak mahu memberikan penduduk kampung akses kepada internet.

Semua penduduk sewajarnya mendapat kemudahan tambahan supaya mereka juga tahu perkembangan semasa dan keadaan sebenar yang berlaku di dalam negara.

Selain itu, anggapan penduduk luar bandar tidak mampu melanggan perkhidmatan internet perlu ditolak jauh memandangkan mereka perlu berkongsi kemudahan terbabit yang mampu melonjak kekuatan ekonomi di desa.

Saya beranggapan bahawa Najib sendiri tahu internet merupakan medium paling berkesan menyampaikan dan menyebarkan maklumat, jadi beliau takut sekiranya orang kampung mengetahui keadaan sebenar melalui pelbagai sumber yang boleh diperolehi daripada internet seperti blog, portal berita dan media sosial yang melaporkan perkara sebenar tanpa ditapis.

Jangan beranggapan tiada penembusan internet di luar bandar oleh kerana penduduk sendiri yang tidak mahukannya kerana memperkenalkan internet kepada mereka sedikit sebanyak akan menimbulkan keinginan untuk menggunakannya.

Kebimbangan Umno BN dapat dilihat apabila sokongan luar bandar akan beralih arah sekiranya mereka mempunyai akses kepada internet.

Sampai bila Najib Razak ingin memperbodohkan rakyat? Semua rakyat tidak kira di bandar atau desa berhak mempunyai jaringan internet yang sama rata.

* Tan Kar Hing adalah ADUN Simpang Pulai (KEADILAN)