Categories
SUKANKINI

TMJ: Utama penyokong, mereka nadi persatuan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 NOV: Kekecewaan sebahagian penyokong bola sepak Kedah yang gagal memperoleh tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mendapat simpati Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu melahirkan kekecewaaan terhadap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang dianggap baginda membelakangkan penyokong setianya.

Baginda bertitah, penyokong beratur dan datang memberi sokongan setiap kali perlawanan di Stadium Darul Aman tidak mendapat tiket menyaksikan perlawanan akhir tetapi sebaliknya individu tiada kena mengena dengan bola sepak memperolehnya melalui saluran tertentu.

“Saya dimaklumkan hingga 6,000 tiket ditempah pihak tertentu di dalam KFA. Saya amat kecewa dengan layanan KFA terhadap penyokong mereka dan saya harap individu seperti ini tidak perlu berada dalam persatuan bola sepak.

“Lebih baik berundur sahaja dan bagi orang yang layak mengutamakan penyokong dan dapat menjaga persatuan bola sepak dengan tulus,” titahnya dalam kenyataan media.

Malah di Johor, baginda bertitah, pihaknya hanya memberi 600 tiket sahaja untuk jemputan khas kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berbanding permohonan asal sebanyak 1,000 tiket.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bertitah, siasatan sedang dijalankan pihaknya ekoran terdapat makluman adanya individu tertentu yang cuba menjual tiket perlawanan akhir itu.

“Saya berharap semua persatuan dan kelab dapat belajar dari kesilapan ini kerana penyokong adalah nadi kepada persatuan dan kelab bola sepak,” titahnya.

Penyandang juara, Kedah akan menentang JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, di sini, Sabtu ini.

Difahamkan, sebahagian penyokong Kedah hampa kerana tidak mendapat tiket selepas beratur lama di kaunter Stadium Darul Aman, semalam, manakala hampir 10,000 tiket dikatakan habis dijual dalam tempoh 45 minit.