Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor RM52 juta ‘vs’ Persekutuan RM4.5 juta untuk TVET

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Peruntukan RM4.5 juta bagi melonjakkan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti diumumkan dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini mencerminkan sikap tidak serius dalam menyediakan tenaga kerja mahir di kalangan belia dan sekaligus menangani isu pengangguran.

Dato’ Menteri Besar , Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini berbeza dengan Kerajaan Negeri yang menyedari kepentingan menyediakan belia berkemahiran tinggi bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM52 juta menerusi program terbarunya Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Kita bertindak berdasarkan fakta dikemukakan banyak laporan di mana isu pengangguran di Malaysia melepasi satu angka membimbangkan dan sebab itu Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk melihat bagaimana penyelesaiannya.

“Penyelesaian terbaik adalah beri kemahiran kepada anak muda dan tak mungkin masalah ini dapat diselesaikan kalau peruntukan hanya RM4.5 juta di mana jumlah belia yang terlibat adalah besar.

“Walaupun ada antara mereka memiliki pendidikan asas seperti diploma atau ijazah tetapi dalam mencapai sebuah negara maju dan melalui satu proses transformasi ke arah revolusi industri 4.0 kita kena bersedia dengan tenaga kerja yang terlatih dan mempunyai kemahiran,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas beliau membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Jelasnya, walaupun Selangor hanyalah merupakan sebuah negeri yang kecil, namun peruntukan RM52 juta dianggap sebagai satu jumlah besar berbanding RM4.5 juta peruntukan untuk belia seluruh negara.

Justeru katanya, langkah Kerajaan Persekutuan itu jelas merupakan keputusan salah dan merugikan golongan belia itu sendiri.

Katanya lagi, beliau percaya usahasama dengan beberapa agensi bertauliah bagi memberikan latihan kemahiran mampu melahirkan anak muda berkemahiran dan akhirnya menembusi pasaran kerja dalam industri memerlukan tenaga kerja mahir.

=EZY=