Categories
SELANGOR

Speaker DNS: Sembilan usul ditolak, tumpu belanjawan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Sembilan usul daripada sembilan Ahli Dewan Negeri (ADN) ditolak pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ini.

Speaker, Hannah Yeoh berkata, kesemua isu di dalam usul berkenaan boleh dibangkitkan sama ada ketika sesi perbahasan dasar, penggulungan jawatankuasa mahupun ketika usul pembangunan.

Katanya, keputusan menolak usul dibuat bagi menjimatkan masa sidang DNS November yang kebiasaannya menumpukan kepada belanjawan dibentang Kerajaan Negeri.

“Kita menerima usul paling banyak kali ini bagi sidang belanjawan yang bersidang 10 hari dan setiap wakil rakyat mempunyai masa secukupnya.

“Untuk sidang seperti Julai dengan masa terhad, kita galakkan usul bagi memberikan mereka lebih banyak ruang,” katanya pada sidang media, di Lobi DNS, di sini, hari ini.

Hannah berkata, semua Ahli Dewan Negeri (ADN) digalak menggunakan ruang dan peluang diberikan DNS dengan sebaiknya bagi membangkitkan isu sama yang ingin dibawa menerusi usul yang ditolak.

“Tidak timbul isu Speaker tidak demokrasi atau tidak beri ruang kepada ADN membangkitkan isu mereka.

“Contohnya usul mengenai Lesen Pusat Hiburan yang ada dibangkitkan menerusi sesi soal jawab atau isu Oktoberfest yang sudahpun berlalu.

“Kita tidak mahu isu yang boleh dibangkitkan dalam tiga minit dibincangkan menerusi usul yang memakan masa satu atau dua jam,” katanya.

Usul yang ditolak adalah usul dibangkitkan ADN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar (KEADILAN) berhubung larangan minuman keras, Mohd Haslin Hassan (PAS-Tanjung Sepat) pembangunan desa, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) pemberian hak milik tanah kerajaan kepada Umno, MCA dan MIC dan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) kemerosotan hasil tuaian dan potongan basah petani Sabak Bernam.

Usul lain merupakan usul dihantar ADN Umno iaitu Dato’ Sulaiman Abdul Razak (Permatang) isu memperkukuh institusi mahkamah syariah, Dato’ Shamsudin Lias (Sungai Burong) ikrar bebas rasuah, Datuk Abdul Shukur Idrus (Kuang) mengembalikan semula peranan Yayasan Selangor, Shahrum Mohd Sharif (Kuang) Oktoberfest dan Dato’ Amiruddin Setro (Jeram) lesen pusat hiburan.