Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Anugerah suntik semangat terus curah bakti

 

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 DIS: Dato’ Mahmud Abbas menyatakan darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) dianugerahkan kepadanya menyuntik semangatnya untuk terus mencurah khidmat bakti demi kemajuan Selangor.

Sambil melahirkan penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas penganugerahan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd itu berkata, masih banyak perlu dilakukan dan kejayaan diraih setakat ini belum memadai baginya untuk berpuas hati.

“Penganugerahan ini menyuntik semangat untuk saya bekerja dan berkhidmat lebih bagus lagi.

“Boleh jadi apa dicurahkan selama ini belum mencukupi dan InsyaAllah saya akan berusaha lebih gigih untuk kemajuan Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat penganugerahan darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena hari keputeraan ke 72 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Mahmud adalah salah seorang daripada sembilan penerima DSIS yang membawa gelaran Dato’ daripada Sultan Sharafuddin.

Turut melahirkan penghargaan sama, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Dr Shafie Ngah, yang menerima bintang kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS).

“Saya menjunjung kasih kepada ke bawah Duli Tuanku atas penganugerahan bintang kebesaran ini.

“Ia penghargaan besar dan memberi semangat kepada saya untuk terus berkhidmat juga menabur bakti buat Selangor,” kata Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Bangi itu.

Shafie adalah di antara 13 penerima SMS dalam majlis berkenaan termasuk mantan Timbalan Speaker DNS merangkap ADN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.