Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri tiada kaitan Tun Mahathir serah pingat

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 DIS: Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan bintang kebesaran kepada istana Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan dilakukan mantan perdana menteri itu adalah atas kapasiti individu dan keputusan dibuatnya sendiri.

“Ia antara Dr Mahathir dengan istana Selangor dan tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas istiadat penganugerahan darjah kebesaran Selangor sempena Ulangtahun Hari Keputeraan ke-72 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Difahamkan, Pengerusi PPBM itu menyerahkan kembali dua bintang kebesaran diterima pada 1978 dan 2003 termasuk satu daripadanya yang tertinggi dari negeri itu, pada 7 Disember lalu.

Baru-baru ini, Sultan Selangor bertitah mengingatkan semua pihak supaya tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.

Peringatan itu merujuk kepada ucapan Tun Dr Mahathir pada himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Petaling Jaya, Oktober lalu, dengan baginda menitahkan tindakan itu boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

Selain Tun Dr Mahathir, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut dilaporkan menyerahkan dua bintang kebesaran Selangor yang diterimanya pada 1983 dan 1994.