Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Dunia Islam bantah tindakan AS isytihar Baitul Maqdis ibu negara Israel

GLOBAL 9 DIS: Dunia Islam bangkit menentang tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan merancang memindahkan kedutaan AS ke bandar itu.

Di Istanbul, beribu-ribu penyokong Palestin berarak selepas solat Jumaat kerana berang dengan keputusan Trump sambil melaungkan slogan termasuk ‘Baitulmuqaddis hak kami dan akan kekal demikian!’ serta ‘Jatuhkan Amerika, Jatuhkan Israel’.

Seorang koresponden agensi berita AFP berkata, penunjuk perasaan berarak selepas solat Jumaat di masjid Ottoman Fatih, pusat bandar Istanbul.

Bantahan serupa turut dirancang di seluruh Turki semalam.

Di Genting Gaza, pergerakan Hamas menggesa penduduk Palestin supaya menguburkan usaha damai Palestin-Israel tajaan Washington dan melancarkan gelombang kebangkitan baharu untuk menentang Israel sebagai tindak balas terhadap pengumuman Trump.

“Kami menggesa untuk melancarkan intifadah (gelombang kebangkitan Palestin) bagi menghadapi Rejim Zionis,” kata pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh ketika berucap di Gaza.

Kumpulan-kumpulan serpihan di wilayah Palestin itu mengisytiharkan semalam sebagai ‘Hari Kemarahan’. Sehari sebelumnya, seramai 31 orang cedera apabila rakyat Palestin bangkit dan bertempur dengan pasukan keselamatan Israel.

Gesaan ‘Hari Kemarahan’ oleh penduduk Palestin turut dibuat oleh ulama Iran, Ayatollah Ahmad Khatami.

“Beliau (Trump) membuktikan bahawa satu-satunya penyelesaian kepada isu Palestin ialah intifadah,” kata Khatami dalam khutbah Jumaat di masjid terbesar Teheran, Mosalla.

Terdahulu, Kementerian Luar Iran mengecam keputusan Trump sebagai ‘provokasi dan tidak bijak.’ Malah, Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, tindakan Wa­shington salah, tidak sah dan amat berbahaya.

Berpuluh-puluh ribu rakyat Iran mengadakan perhimpunan di seluruh negara itu semalam bagi membantah keputusan Trump, lapor agensi berita Xinhua.

Demonstrasi itu sebagai menyahut gesaan Tentera Pengawal Revolusi Islam Iran supaya bantahan anti-AS-Israel diadakan sebelum solat Jumaat.

Di ibu kota Iran, Teheran, penunjuk perasaan yang marah membanjiri jalan raya sambil membawa sepanduk anti-AS. Mereka turut melaungkan slogan menyokong perjuangan rakyat Pa­lestin.

“Al-Quds (Baitulmuqaddis) milik orang Islam akan kekal di bawah Islam,” kata penunjuk perasaan.

Kemarahan membuak-buak terhadap perisytiharan Trump turut disuarakan oleh beribu-ribu orang di beberapa buah bandar di Tunisia kelmarin.

Demonstrasi kelmarin berlangsung secara aman dengan beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di pusat bandar Tunis.

Mereka membakar dan memijak imej memaparkan bendera AS dan Israel.

Di Indonesia yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia pula, beratus-ratus orang Islam mengadakan demonstrasi mengutuk keputusan Washington ketika pihak berkuasa mengetatkan kawalan keselamatan di luar Kedutaan AS di Jakarta.

Bantahan diadakan ketika pemimpin Indonesia dan Malaysia menyahut suara dunia mengutuk tindakan oleh Trump.

“Kami menempatkan petugas dan kereta peronda untuk mengawal Kedutaan AS. Kami menjangkakan ketibaan antara 500 hingga 1,000 penunjuk perasaan,” kata jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono.

Keputusan Trump itu bukan sahaja dikecam oleh pemimpin-pemimpin dunia Islam, malah bekas Presiden AS, Jimmy Carter sendiri memberi amaran bahawa langkah mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel boleh menjejaskan sebarang harapan untuk keamanan di Asia Barat.

Kota Baitulmuqaddis menempatkan Masjidil Aqsa iaitu masjid ketiga paling suci kepada umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Ma­dinah, kedua-duanya di Arab Saudi.

Rejim Zionis menganggap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel untuk selama-lamanya dan kota itu tidak boleh dibahagi-bahagikan.

Rakyat Palestin pula mahu timur Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara Palestin merdeka yang mereka perjuangkan hingga hari ini.

Israel menawan timur Baitulmuqaddis semasa Perang Asia Barat pada tahun 1967 dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

SUMBER: Reuters/AFP/Bernama