Categories
GLOBAL

Majlis Keselamatan PBB adakan mesyuarat tergempar

WASHINGTON 9 DIS: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar hari ini susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Wakil Asia Barat ke PBB, Nikolay Mladenov memberi amaran tindakan Trump itu berisiko dan akan mencetuskan insiden lebih dahsyat sebagai tindak balas terhadap keputusan berkenaan.

“Kita mungkin akan melihat beberapa tindakan unilateral, yang hanya menjarakkan kita daripada mencapat matlamat keamanan bersama,” jelas Mladenov kepada Majlis Keselamatan.

Permintaan untuk mengadakan mesyuarat itu dilakukan oleh Britain, Perancis, Sweden, Bolivia, Uruguay, Itali, Senegal dan Mesir.

“Keputusan seperti itu tidak akan membantu prospek keamanan di rantau berkenaan. Kami sekeras-kerasnya menggesa pentadbiran AS untuk mengemukakan kertas kerja yang lebih teliti berhubung penempatan Israel dan Palestin.

“Kerajaan United Kingdom (UK) juga akan melakukan segala termampu untuk menyokong perkembangan dalam isu ini dan mencapai visi keamanan yang berpanajangan,” kata Duta Britain ke PBB, Matthew Rycroft.

Selain itu, Duta Mesir ke PBB, Amr Aboulatta berkata keputusan AS akan memberikan impak negatif kepada proses keamanan.

Berikutan tindakan Trump itu, beribu-ribu penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan dan seramai dua orang disahkan maut setakat ini dalam pertempuran dengan rejim Zionis.

SUMBER: AFP/REUTERS