Categories
PBT SELANGOR

Inisiatif Food Truck luar bandar, Exco puji MDHS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 DIS: Inisiatif perniagaan trak bergerak (Food Truck) pinggir bandar yang diperkenalkan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) disambut baik Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Beliau memuji komitmen berkenaan yang diyakini mampu menjana pulangan pendapatan kepada usahawan muda negeri.

Lebih membanggakan katanya, langkah MDHS mengenakan kadar bayaran minimum permit perniagaan berkenaan itu dilihat mampu menarik lebih ramai usahawan muda untuk terlibat sama dalam bidang itu.

“Saya sangat berpuas hati kerana projek sebegini mendapat kerjasama yang baik di antara peniaga dan orang ramai.

“Malah, langkah pihak majlis mengenakan kadar bayaran permit yang rendah pada tahun pertama sekitar RM15.00 adalah berkesan dan lebih rendah berbanding dengan Pihak Berkuasan Tempatan (PBT) lain,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MDHS berjaya melancarkan perniagaan food truck bergerak di daerah berkenaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda dengan ciri perniagaan trak mudah alih.

Pengarah Jabatan Perlesenan (MDHS) Kamaruzzaman Abdul Rahman berkata, program ini bertujuan diadakan sempena menyampaikan amanat yang diberi oleh Kerajaan Negeri serta menjamin aktiviti perniagaan teratur dan sistematik.

“Program ini diadakan bertujuan untuk menjamin kebersihan peniaga serta memberi inspirasi kepada peniaga lain bahawa penggunaan trak bergerak adalah lebih bersifat efektif serta penyelenggaraan yang lebih mudah berbanding berniaga di kaki lima,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu juga dilaksanakan bagi memberi inspirasi kepada usahawa untuk lebih bersifat efektif untuk menjana pulangan pendapatan pada kadar maksimum.

=EZY=