Categories
SELANGOR

MDKL: Pembangunan Kuala Langat dikawal ketat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 1 DIS: Setiap permohonan merancang dikemukakan kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) perlu melepasi piawaian sejajar dengan usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengekalkan Kuala Langat sebagai daerah yang mementingkan alam sekitar.

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, MDKL tidak teragak-agak menolak permohonan merancang yang boleh mengganggu kelestarian alam semula jadi di daerah yang kaya dengan flora dan faunanya itu.

“Pada masa ini pembangunan di Kuala Langat stabil. Memang terdapat banyak permohonan pembangunan yang masuk tetapi pada masa ini ada kawalannya.

“Ada juga permohonan pembangunan di tepi pantai kita tolak walaupun itu tanah dia. Kita cuba kekalkan dengan keadaan sedia ada. Mana pembangunan yang tak perlu kita tolak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penanaman Flora Di Kawasan Paya Bakau – Ecosytem Apporch to Fisheries Management Siri 1 di Pantai Kelanang, semalam.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan Rancangan Tempatan 2030 (LA 2030) yang menekankan pembangunan merangkumi semua aspek termasuk pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, masyarakat perlu mengambil tahu setiap rancangan dijalankan Kerajaan Negeri menerusi PBT kerana ia bakal memberi kesan kepada kehidupan mereka.

“Ada yang tak ambil tahu tetapi apabila pembangunan berlaku di kawasan dia, dia bising. Oleh sebab inilah kita rasa rakyat kena faham. Setiap pembangunan perlu ambil kira semua pihak,” katanya lagi.