Categories
PBT SELANGOR

MDKL mahu RGG dalam kalendar MoTAC

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 APR: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) merancang menjadikan penganjuran Retromania Grand Gathering (RGG) sebagai acara tahunan dalam kalendar rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC).

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, pihaknya akan menghantar surat permohonan secara rasmi kepada pihak berkaitan bagi memastikan hasrat itu dapat dicapai.

Katanya, inisiatif itu adalah landasan terbaik dalam mengetengahkan pelancongan yang terdapat di daerah terbabit khususnya dan Selangor amnya.

“Rancangan untuk masuk MoTAC sudah lama, cuma kita belum membuat permohonan secara rasmi kepada pihak berkenaan.

“Ini adalah hasrat kita memandangkan kejayaan kita menganjurkan RGG sejak tujuh tahun lalu, malah kita sudah berjaya mencapai dua MBOR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup RGG’19 di Dataran Pantai Morib, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Seri Abdul Rashid Asari dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin.

Mengakui RGG mempunyai impak tersendiri, beliau berharap cadangan itu mendapat persetujuan dan pertimbangan sewajarnya daripada pihak terbabit.

“Kalau boleh kita mahu mewar-warkan kepada seluruh dunia bahawa RGG hanya berada di Kuala Langat dan dianjurkan secara bersama dengan MDKL,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
PBT SELANGOR

MDKL turun padang selesai isu setempat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 23 JAN: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan melaksanakan program turun padang bertemu masyarakat untuk bersama menyelesaikan sebarang isu dihadapi, di daerah itu.

Yang Dipertua MDKL, Mohammad Zain A Hamid berkata, pihaknya akan bertemu sendiri dengan golongan sasaran yang sudah ditetapkan.

“Sesi dialog dianjurkan untuk mendengar masalah masyarakat, pada masa sama kita akan tanya keperluan mereka dan menjelaskan perancangan yang akan dilakukan.

“Hal ini untuk mengelakkan masyarakat yang sering menyalahkan pihak majlis dalam sesuatu isu walaupun ia bukan di bawah seliaan kami,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh MDKL Bil. 1 2018, di sini, hari ini.

Mohammad Zain berkata, program itu masih dalam perancangan sama ada MDKL akan turun padang di setiap kawasan, pada setiap bulan atau mengikut kesesuaian.

Dalam mesyuarat sama, beliau turut meminta peniaga pasar malam bersama menjaga petak niaga supaya bersih, sebelum dan selepas operasi perniagaan.

“Saya harap peniaga mempunyai kesedaran sendiri untuk menjaga petak gerai masing-masing, terutama soal kebersihan seperti keadaan ketika datang.

“Kita belum melaksanakan tindakan undang-undang tetapi memberikan penerangan dahulu. Ada segelintir peniaga menjadi punca kepada keadaan sekitar yang kotor.

“Peniaga harus ingat, kita bukan tempat mengadu semata-mata tetapi pada masa sama, mereka juga perlu fikir tindakan sewajarnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKL: Pembangunan Kuala Langat dikawal ketat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 1 DIS: Setiap permohonan merancang dikemukakan kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) perlu melepasi piawaian sejajar dengan usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengekalkan Kuala Langat sebagai daerah yang mementingkan alam sekitar.

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, MDKL tidak teragak-agak menolak permohonan merancang yang boleh mengganggu kelestarian alam semula jadi di daerah yang kaya dengan flora dan faunanya itu.

“Pada masa ini pembangunan di Kuala Langat stabil. Memang terdapat banyak permohonan pembangunan yang masuk tetapi pada masa ini ada kawalannya.

“Ada juga permohonan pembangunan di tepi pantai kita tolak walaupun itu tanah dia. Kita cuba kekalkan dengan keadaan sedia ada. Mana pembangunan yang tak perlu kita tolak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penanaman Flora Di Kawasan Paya Bakau – Ecosytem Apporch to Fisheries Management Siri 1 di Pantai Kelanang, semalam.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan Rancangan Tempatan 2030 (LA 2030) yang menekankan pembangunan merangkumi semua aspek termasuk pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, masyarakat perlu mengambil tahu setiap rancangan dijalankan Kerajaan Negeri menerusi PBT kerana ia bakal memberi kesan kepada kehidupan mereka.

“Ada yang tak ambil tahu tetapi apabila pembangunan berlaku di kawasan dia, dia bising. Oleh sebab inilah kita rasa rakyat kena faham. Setiap pembangunan perlu ambil kira semua pihak,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Papan tanda sinis: Hanya beruk buang sampah merata-rata

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 30 NOV: Kos tinggi dilaburkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) untuk mendirikan papan tanda peringatan menjaga kebersihan tidak berbaloi apabila ia tidak memberi kesan kepada masyarakat.

Yang Dipertua (YDP) MDKL, Mohammad Zain A Hamid berkata, akhirnya MDKL memutuskan menaikkan papan tanda baru dengan gaya bahasa lebih sinis bagi mengatasi masalah yang sudah berlarutan sekian lama itu.

“Orang kita bila sebut beruk, marah. Kita buat papan tanda baru, ‘hanya beruk buang sampah merata-rata’, dia marah MDKL.

“Yang buang sampah merata-rata ini beruk, kalau tak buang sampah bukanlah beruk, yang nak marah kenapa?

“Kalau kamu buang sampah dalam tong sampah, maknanya kamu bukanlah beruk,” katanya ketika merasmikan Program Penanaman Flora Di Kawasan Paya Bakau – Ecosytem Apporch to Fisheries Management Siri 1 di sini, hari ini.

Jelasnya, masyarakat di Morib patut mempunyai mentaliti kelas pertama sejajar dengan status Selangor sebagai negeri maju dan pintar.

“Datang bentang tikar, berkelah dengan keluarga memang bagus. Erat silaturrahim katanya, ‘enjoy with family’, cuti-cuti Malaysia dan dia bergambarlah masuk instagram.

“Tetapi lepas lipat tikar sahaja, sampah dibiarkan. Dia kata MDKL kan ada. Tengoklah mentaliti kita,” katanya lagi.

Beliau turut menegur sikap sesetengah peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris yang gemar membuang putung rokok merata-rata ketika menonton perlawanan bola sepak di meja yang diletakkan di lot pakir di restoran mamak.

Katanya, walaupun Kerajaan Negeri memiliki wang rizab yang tinggi, namun pertambahan kos disebabkan kekurangan kesedaran sivik merupakan sesuatu yang sia-sia yang sepatutnya boleh dielakkan.