Categories
GLOBAL

Sekatan baru terhadap pegawai Korea Utara dalang program ICBM

GLOBAL 27 DIS: Amerika Syarikat mengumumkan dua sekatan baru ke atas pegawai Korea Utara yang menjadi dalang program peluru berpandu balistik negara itu semalam ketika Russia mengulangi tawaran menjadi orang tengah untuk mengendurkan ketegangan antara Washington dan Pyongyang.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan langkah baru itu adalah yang terkini dalam kempen bertujuan memaksa Korea Utara meninggalkan program senjata yang mensasarkan pembinaan peluru berpandu berkuasa nuklear yang boleh sampai ke AS.

Perbendaharaan AS menamakan pegawai berkenaan sebagai Kim Jong Sik dan Ri Pyong Chol.

Ia berkata, Kim dilaporkan sebagai tokoh utama dalam usaha Korea Utara menukar program peluru berpandunya daripada cecair kepada bahan api pepejal manakala Ri dilaporkan tokoh penting dalam pembinaan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

“Perbendaharaan mensasarkan tokoh penting program peluru berpandu balistik, sebagai sebahagian usaha memaksimumkan kempen tekanan meminggirkan Korea Utara dan mencapai usaha membebaskan Semenanjung Korea daripada nuklear sepenuhnya,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, kata kenyataan.

Langkah simbolik itu menyekat sebarang hartanah atau kepentingan kedua-duanya yang berada dalam bidang kuasa AS dan melarang sebarang urusan antara mereka dan warga negara itu.

Ia menyusul sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diumumkan Jumaat lalu sebagai reaksi kepada ujian ICBM dilakukan 29 November lalu yang didakwa Pyongyang meletakkan semua tanah besar AS dalam jarak peluru nuklearnya.

SUMBER: REUTERS