Categories
SELANGOR

Veteran ATM hargai peranan Selangor bantu aspek kebajikan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 DIS : Peranan Kerajaan Negeri membantu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selangor di bawah peruntukan RM1 juta, disambut baik golongan itu.

Setiausaha Kelab Veteran Komando Malaysia, Ali Din menghargai inisiatif dan komitmen berkebajikan dilaksanakan pentadbiran negeri.

“Saya pernah terlibat untuk bersama AJK Persatuan Veteran ATM cawangan Hulu Selangor menerima satu sumbangan daripada Kerajaan Selangor sebanyak RM1 juta.

“Kita lihat di Selangor ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sangat memandang serius kebajikan veteran seperti kami dan inisiatif ini berpatutan dengan peranan ayah beliau yang juga bekas tentera.

“Saya puji cara Dato’ Menteri Besar dan saya mewakili kempimpinan veteran ATM mengucapkan terima kasih kepada beliau dan pentadbiran Kerajaan Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, baru-baru ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran ATM di Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata, peruntukan berkenaan turut meliputi bantuan keperluan perubatan dan kebajikan membabitkan 89 veteran yang cedera perang di Selangor.

Katanya, sebanyak RM500,000 pula diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).