Categories
GLOBAL

Korea Utara dan Korea Selatan setuju mula inisiatif damai

SEOUL 6 JAN: Korea Utara dan Korea Selatan semalam setuju berunding buat kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun, beberapa jam selepas Seoul serta Washington bersedia menangguhkan latihan tentera bersama yang membangkitkan kemarahan Pyongyang sehingga Sukan Olimpik Musim Sejuk berakhir.

Pertemuan pertama sejak Disember 2015 itu akan diadakan di Panmunjom, sebuah kampung di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Ketegangan di Semenanjung Korea memuncak selepas Pyongyang mengadakan siri ujian misil pada 2017, terma­suk melancarkan peluru berpandu antara benua (ICBM) dan meletupkan bom atom keenam dan paling kuat setakat ini.

Inisiatif keamanan itu muncul selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un memberi amaran semasa ucapan Tahun Baru 2018 bahawa beliau mempunyai butang nuklear di mejanya tetapi pada masa sama, menawarkan pendamaian kepada Seoul dengan berkata, Pyongyang akan menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan, bulan depan.

Seoul membalas dengan tawaran rundingan, manakala awal minggu ini pula, talian telefon utama antara kedua-dua negara kembali beroperasi selepas hampir dua tahun.

Sementara itu kelmarin, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju menangguh latihan tentera Foal Eagle dan Key Resolve sehingga Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang yang bermula pada 9 Februari depan selesai.

Trump menyambut baik perbincangan peringkat tertinggi antara Korea Utara dan Korea Selatan itu walaupun Washington enggan berunding dengan Pyongyang.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan berkata, pihaknya menerima faks daripada Ketua Jawatankuasa Penyatuan Semula Secara Aman Korea Utara, Ri Son-gwon yang memberitahu: “Kami akan hadir ke Rumah Aman di Panmunjom pada 9 Januari ini.”

Rumah Aman ialah sebuah bangunan Korea Selatan di selatan Panmunjom di mana tentera kedua-dua negara menghadap satu sama lain di sebalik tembok pemisah konkrit.

Jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan, Baek Tae-hyun berkata, agenda perbincangan termasuk ‘isu menambah baik hubungan antara kedua-dua Korea.’

SUMBER: AFP