Categories
PENDIDIKAN PENGUMUMAN SELANGOR

Sultan Selangor puji keupayaan UPM urus harta intelek

SERDANG, 27 OKT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah memuji langkah yang diambil Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menguruskan harta intelek hasil penyelidikan yang dibuat.

Baginda bertitah keupayaan UPM mengungguli hadiah utama Pengurusan Harta Intelek bagi kategori organisasi di peringkat kebangsaan tahun ini membuktikan universiti menghargai inovasi yang dihasilkan warga institusi itu.

Titah baginda pengiktirafan daripada Badan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia diberi atas usaha UPM menguruskan harta intelek yang dijana melalui penyelidikan universiti.

“Beta yakin kejayaan ini dapat meningkatkan kepercayaan industri dan masyarakat terhadap usaha universiti dan potensi kerjasama bagi menghasilkan penyelidikan,” titah baginda pada majlis Konvokesyen UPM Ke-42 di sini hari ini.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah agar UPM menjadi peneraju dalam memanfaatkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan inovasi terutama dalam bidang pertanian dengan mengeluarkan sumber manusia yang berdaya maju, menghasilkan strategi yang oleh dilaksanakan secara efektif bagi memacu kemajuan sektor pertanian negara.

Titah baginda sumber manusia atau bakat merupakan pengisian penting bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Baginda juga menggalakkan sektor industri untuk bersama-sama universiti dan melabur dalam pendidikan tinggi ke arah pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan, penajaan biasiswa dan penerokaan strategik pasaran luar negara.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan penyelidik UPM Prof Dr Mohd Hair Bejo atas kejayaan memenangi Anugerah Merdeka bagi kategori sains dan teknologi melalui penghasilan vaksin penyakit Gumboro yang menyerang ayam.

Inovasi oleh Dekan Fakulti Perubatan Veterinar yang telah dipasarkan sehingga ke luar negara ini meningkatkan lagi prestij UPM dalam menerajui bidang pertanian dan sains haiwan, titah baginda.

Baginda juga berkongsi kegembiraan atas pencapaian dan prestasi UPM sepanjang 2018 termasuk kejayaan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan mengekalkan pengiktirafan akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business atau AACSB, menjadikan UPM universiti tempatan pertama menerima akreditasi itu dan keenam di Asia Tenggara.

UPM mencatatkan sejarahnya tersendiri dengan menyaksikan 6,973 graduan menerima ijazah pada konvokesyen kali ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PENGUMUMAN SELANGOR

KUIS sasar 4,000 pelajar baru tahun ini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JAN: Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) mensasarkan kemasukan 4,000 penuntut baru bagi sesi pengambilan pelajar, pada tahun ini.

Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan dan Pengantarabangsaan) KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid berkata, pelan jangka panjang dilaksanakan bagi menarik lebih ramai memilih kolej berkenaan sebagai institut pendidikan pilihan.

Katanya, pelaksanaan pelan jangka panjang berkenaan juga dijayakan seiring komitmen institut pendidikan tinggi milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu untuk memperlebar jaringan pendidikan, di negeri ini.

“Sasaran 4,000 kemasukan pelajar baru adalah relevan dan jika jumlah ini dapat dicapai, keseluruhan penuntut di KUIS akan mencecah 12,000 orang.

“Justeru, dalam usaha mencapai sasaran 4,000 ini, pelbagai strategi dirancang Bahagian Pemasaran dan Komunikasi KUIS melalui promosi, pameran pendidikan dan ceramah pendidikan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Untuk rekod, KUIS menerima 3,272 kemasukan penuntut baru sepanjang 2017 lalu.

Sementara itu, orang awam yang berminat dan berkelayakan boleh menyambung pengajian di KUIS dengan membuat permohonan secara dalam talian di www.kuis.edu.my.