Categories
SELANGOR

PRU-14: Harapan Umno-BN guna sempadan baru tipis

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 JAN: Harapan Umno-Barisan Nasional (BN) menggunakan sempadan pilihan raya baru bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dilihat semakin tipis.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, hal itu ekoran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesuntukan masa memenuhi semua prosedur ditetapkan perlembagaan.

“Masa ditetapkan untuk SPR menghabiskan pendengaran awam bantahan persempadanan ini adalah 92 hari, pameran kedua pula sebulan dan sudah makan masa empat bulan.

“Selepas itu, perdana menteri kena bentang di Dewan Rakyat, bawa ke Dewan Negara dan memerlukan tandatangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan minima masa diperlukan lima bulan,” katanya selepas menghadiri Pendengaran Awam Persempadanan Baru SPR, di Hotel Concorde, hari ini.

Pada masa sama, ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar berkata, beliau yakin PRU-14 akan diadakan sebelum Ramadan tahun ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan SPR tidak boleh menggunakan persempadan baru jika PRU-14 diadakan, pada tarikh terbabit.

“Memang pilihan raya kita sebelum 12 Mei, iaitu sebelum puasa kerana tiada rekod menunjukkan pilihan raya pada bulan Ramadan tetapi tidak tahulah jika perdana menteri mahu buat juga,” katanya.

Ketika menyentuh isu kelulusan YDPA, Dr Xavier berkata, baginda mempunyai masa sebulan untuk menandatangani dokumen terbabit.

Beliau berkata, perdana menteri perlu membentangkannya di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan Speaker perlu memanggil sesi parlimen tergempar sebelum dihantar kepada YDPA.

“Dalam akta ini, YDPA diberi tempoh sebulan untuk tandatangani tetapi jika baginda tidak tandatangan, maka secara automatik dokumen ini menjadi undang-undang.

“Kalau dia nak cepat, dia kena paksa baginda tandatangan terus tetapi mereka tidak boleh paksa,” katanya.