Categories
SELANGOR

MPAJ diminta pantau kerja kontraktor, utama keselamatan penduduk

OLEH HAFIZAN TAIB

KULA LUMPUR, 4 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diminta memastikan kontraktor menjalankan kerja pembentungan dengan mengutamakan keselamatan penduduk di Taman Angsana Hilir, di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ia berikutan kerja menaik taraf pembentungan dilakukan di kawasan itu didapati tidak dilaksanakan dengan sempurna.

“Saya meminta MPAJ memberi tekanan kepada kontraktor untuk memastikan keselamatan penduduk tidak terancam akibat kerja pembentungan itu.

“Ini kerana selepas kerja selesai, kawasan diturap atau ditutup tidak sama paras dengan permukaan jalan di sekeliling dan ia menjadi tidak rata,” katanya.

Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar berkata, hasil kerja tidak sempurna itu boleh mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya terutamanya penunggang motorsikal.

Katanya, terdapat juga lokasi yang menjadi tempat air bertakung.

“Ini sama ada boleh menyebabkan kemalangan atau menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Pejabat saya telah menghubungi kontraktor terbabit dan mengadakan perbincangan dengan mereka,” katanya ekoran penduduk berhadapan dengan pelbagai kesusahan ketika kerja pembentungan dijalankan.

Katanya, nasib penduduk kini boleh dianggap bagai jatuh tangga ditimpa tangga.