Categories
NASIONAL

Laung kekerasan bukti TN50 satu ‘pembohongan’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang ‘menghasut’ penyokong Barisan Nasional (BN) menggunakan kekerasan terhadap Pembangkang membuktikan Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan satu ‘pembohongan’.

Beliau berkata, ucapan Mohamad dalam satu program BN bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam satu klip video yang tersebar baru-baru ini serius dan merupakan satu hasutan ‘untuk menggunakan kekerasan’.

“Apabila melihat perkembangan politik negara kita ini, saya melihat sesuatu yang bertentangan dengan hasrat TN50.

“Ini menunjukkan TN50 ini tidak lebih daripada pembohongan kepada masyarakat dan rakyat.

“Dan ini satu perbuatan menghasut rakyat melanggar undang-undang dan sepatutnya polis menyiasat dan menghalang Umno-BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri S Devamany.

Menurutnya, tiada siapa yang menolak hasrat untuk Malaysia membentuk satu budaya berintegriti dan bernilai tinggi dalam TN50.

Kenyataan Mahfuz itu menimbulkan rasa tidak senang beberapa Ahli Parlimen BN dan mengejek beliau kerana berpindah parti baru-baru ini.

Semalam, akhbar The Sun melaporkan Mohamad sebagai berkata, ucapannya semasa Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda Umno Rembau dalam satu video baru-baru ini diambil tidak mengikut konteks dan hanya untuk menaikkan semangat anak-anak muda.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

TN50: Tadbir urus lemah bantut aspirasi anak muda

1. Kenyataan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak bahawa TN50 akan menjadi landasan masa depan negara tidak lebih daripada gula-gula pilihanraya bagi mendapatkan sokongan generasi muda menjelang PRU Ke-14 ini. Kanvas Belia TN50 yang diserahkan semalam adalah rangkuman aspirasi anak muda melalui sesi-sesi dialog dengan pelbagai segmen anak muda. Namun begitu, ia bukan dialog yang inklusif yang jujur dengan aspirasi semua segmen generasi muda kerana peserta dialog dijemput secara khas dan persendirian.

2. Aspirasi yang disuarakan oleh generasi muda sudah pasti relevan dengan kehendak generasi yang bakal mewarisi negara ini. Namun, pencapaian aspirasi ini menjelang 2050 bukanlah boleh dibina dalam tempoh satu malam, tetapi ia perlu dibina bermula hari ini. Adakah ekosistem tadbir urus negara dan keadaan ekonomi negara hari ini mampu membawa Malaysia ke arah lebih baik dalam usaha mencapai aspirasi TN50? Jawapannya, sudah pasti tidak jika tadbir urus negara berterusan lemah dan korup dan ekonomi negara tidak dipulihkan dan dipertingkatkan. Tanpa asas yang kukuh sudah pasti pembinaan akan runtuh. Pemulihan atau reformasi tadbir urus dan ekonomi adalah asas kepada pembinaan TN50.

3. Hutang negara sudah meningkat lebih RM900 bilion yang mana perlu dibayar saban tahun. Hutang ini semakin meningkat kerana trend kerajaan yang sentiasa mengamalkan belanjawan defisit sejak 20 tahun yang lalu. Dengan hutang yang begitu tinggi dan pendapatan yang berkurangan, kerajaan tidak mempunyai kekuatan ekonomi untuk membangunkan aspirasi-aspirasi TN50 baik dari segi peningkatan kualiti kehidupan, pendidikan, infrastuktur dan pendapatan tinggi.

4. Kejatuhan nilai mata wang menyebabkan pendapatan negara semakin defisit sehinggakan kerajaan terpaksa bergantung kepada pelbagai cukai yang dibayar rakyat terutama GST. Kesemua keadaan ini berlaku kerana tadbir urus lemah dan korup kerajaan terutama skandal-skandal korupsi berskala mega seperti 1MDB, Felda, MARA dan banyak lagi yang gagal diselesaikan. Kebergantungan kerajaan kepada sumber pinjaman KWSP menunjukkan hilangnya idea kerajaan menjana pendapatan. Justeru, kelemahan tadbir urus kerajaan 2018 tidak akan mampu mengubah negara ke arah negara maju 2050.

5. Generasi muda hari ini adalah golongan yang paling tertekan dengan peningkatan kos sara hidup baik dari segi harga barang, perumahan dan pendidikan. Harga barang dapur meningkat 26 peratus sedangkan pendapatan rakyat meningkat sekitar 2.3 peratus. Dianggarkan hampir sejuta orang generasi muda tidak mampu memiliki rumah kerana dianggarkan hanya pendapatan isi rumah sekitar RM10,757 yang mampu membeli rumah pada harga purata yang dijual di negara ini. Harga purata rumah pada tahun 2016 sekitar RM387,258 dengan pendapatan median rakyat pula sekitar RM5,228. Kos pengajian juga semakin meningkat kerana bajet universiti dipotong sebanyak RM2.4 bilion dan pihak universiti terpaksa menaikan yuran pengajian.

6. Paling membimbangkan adalah kadar pengangguran di kalangan generasi muda yang semakin meningkat dari 11.7 peratus kepada 13.1 peratus pada tahun 2017. Dianggarkan lebih 50,000 orang pekerja bakal dibuang kerja atas alasan ‘retrenchment’. Penutupan pusat perniagaan mega seperti Giant dan kilang-kilang akan menjadikan punca pendapatan generasi muda ‘at stake’. Kekurangan kantung negara juga menyebabkan kerajaan tidak mampu menawarkan pekerjaan kepada golongan mahir dan penting seperti graduan perubatan. Dianggarkan lebih 2000 graduan perubatan bakal menganggur setiap tahun. Secara umumnya, sekitar 54,103 daripada 238,187 graduan menganggur setiap tahun.

7. Keadaan ‘real’ yang berlaku hari ini menunjukkan ekonomi negara yang semakin merosot dan jauh tertinggal dengan negara serantau termasuk Indonesia yang mengalami reformasi tadbir urus. Reformasi tadbir urus perlu diangkat sebagai tunjang kepada landasan masa depan negara kerana keadaan ekonomi hari ini bukan sesuatu yang progresif, tetapi bakal membawa negara ke arah yang lebih regresif. Kebergantungan kerajaan hari ini kepada pelaburan China boleh mengancam ekonomi jangka panjang negara kerana pentadbiran Putrajaya tidak mengamalkan dasar FDI tetapi pinjaman yang perlu dibayar generasi muda dan akan datang. Zimbabwe yang diperintah diktator Mugabe adalah contoh terbaik kesan buruk pinjaman negara China.

8. TN50 bermaksud kemakmuran di masa depan, namun ia akan terbantut kerana generasi muda dan akan datang bakal mewarisi hutang. Hutang yang bertimpa-timpa yang dibuat kerajaan tidak akan menjadikan negara ini makmur. Malahan, generasi muda dan akan datang bakal membayar hutang puluhan bilion 1MDB yang akan ditutup sedangkan hasil hutang tersebut dirompak sang penguasa di Putrajaya dan konco-konconya. Tiada tamadun yang dibina melalui sistem yang korup. Langkah pertama ke arah pembinaan sebuah negara maju dan makmur menjelang tahun 2050 adalah meluruskan dahulu landasan sistem tadbir urus.

FAIZ FADZIL
2 MAC 2018

Categories
NASIONAL

Tun M dakwa TN50 ‘ciplak’ Wawasan 2020

SHAH ALAM, 3 JAN: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak ‘menciplak’ Wawasan 2020.

Beliau mendakwa TN50 secara tidak langsung menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Najib cuba mengalih perhatian umum ekoran kegagalan merealisasikan konsep Wawasan 2020 yang diperkenalkan sejak awal 90-an.

“Mereka (BN) cuba mengalih pandangan umum daripada Wawasan 2020 yang mana Najib tahu dia tidak akan jadi perdana menteri masa itu.

“Itu sebabnya dia letakkan TN50 ini 30 tahun lebih daripada sekarang,” katanya dalam sidang media di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, lapor Astro Awani.

Dr Mahathir memperkenalkan konsep Wawasan 2020 sebagai usaha menjadikan Malaysia negara perindustrian dan negara maju menjelang 2020 sewaktu menjadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003.

Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) itu berkata, gabungan itu mempunyai cara merealisasikan Wawasan 2020 jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kita mempunyai cara untuk menjayakan Wawasan 2020, (tetapi) mungkin terlewat sedikit kerana kita kehilangan hampir sembilan tahun,” katanya merujuk kepada kegagalan pembangkang memenangi PRU, pada 2008.

Terdahulu, Najib menolak pandangan TN50 imeniru konsep Wawasan 2020, sebaliknya menyatakan ia adalah satu kesinambungan.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN: Wawasan 2020 tidak tercapai, inikan pula TN50

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Sekateriat Pakatan Harapan (PAKATAN) berpendapat kejatuhan pendapatan setiap rakyat Malaysia 15 peratus dari AS$10,345 pada tahun 2013 kepada AS$8,821 pada 2016 seperti dilaporkan The Edge menunjukkan negara tidak mampu mencapai Wawasan 2020 yang akan tiba dalam masa tiga tahun lagi.

Katanya, keadaan ekonomi Malaysia jelas tidak mampu untuk membahagiakan semua orang terutama apabila jelas jurang miskin-kaya di negara ini masih lebar.

Sebaliknya, keadaan itu menimbulkan persoalan adakah Transformasi Nasional 2050 (TN50) hasil idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mampu dicapai selepas hampir gagalnya Wawasan 2020.

najib-tn50“PAKATAN tidak mempunyai keyakinan yang tinggi ke arah itu, rakyat juga boleh melihat isi di dalam forum TN50 yang membuktikan Malaysia gagal menyediakan kelengkapan asas untuk membentuk negara maju.

“Sebagai contoh, pemulihan sekolah di Sabah dan Sarawak serta kelengkapan kemudahan elektrik juga air bersih yang sepatutnya ditangani kerajaan, sejak sedekad lalu,” katanya.

Katanya, Najib tidak boleh menjadikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai bukti pencapaian pentadbirannya kerana nisbah secara perbandingan, pendapatan rakyat Malaysia berdasarkan KDNK hanya sekitar 26 peratus berbanding rakyat Singapura iaitu 49 peratus.

PAKATAN juga merasakan, pentadbiran Najib gagal mengatasi sembilan cabaran Wawasan 2020 sebagaimana digariskan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kegagalan utama apabila negara masih lagi tidak bersatu disebabkan diskriminasi perkauman.

“Malah, Malaysia juga gagal mewujudkan demokrasi yang matang terutama ketelusan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta tekanan kepada media bebas,” katanya.

-NFN-