Categories
NASIONAL

Dewan Rakyat kecoh, Noh gelar Kit Siang hantu

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Persidangan Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mencadangkan supaya Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dikenakan tindakan kerana enggan keluar dewan seperti diarahkan semalam.

Bagaimanapun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau ‘tidak nampak’ kehadiran Kit Siang di dalam dewan.

Jawapan bersahaja Pandikar Amin itu tidak memuaskan hati Che Mohamad Zulkifly dan cuba berhujah bagi menarik perhatian Pandikar Amin.

Bagaimanapun, belum sempat beliau menghabiskan hujahnya, beberapa anggota pembangkang bangun dan menyebabkan pertengkaran berlaku di antara mereka.

Sebaik sahaja pertengkaran reda, Pandikar Amin yang pada mulanya mendiamkan diri dengan bersahaja ‘mengarahkan’ supaya ahli-ahli parlimen terbabit menyambung semula pertengkaran mereka.

‘Arahan’ yang dikeluarkan Pandikar Amin itu menimbulkan suasana lucu di dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu di ruang media turut riuh dengan ketawa petugas media yang berada di situ.

Tidak cukup dengan itu, Manivannan pula bangun, ‘mengarahkan’ supaya Pandikar Amin meneruskan aturan mesyuarat seterusnya.

Suasana dewan sekali lagi gamat dengan ketawa apabila cadangan Manivannan itu disambut Pandikar Amin yang menyokong cadangan Manivannan itu.

Kekecohan tidak berakhir di situ sahaja, apabila Kit Siang yang pada mulanya hanya berdiam cuba bercakap di dewan ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mula membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2018.

Keadaan itu menyebabkan Noh menggelar Kit Siang sebagai hantu.

Bagaimanapun kenyataan Noh itu diselar anggota pembangkang dengan menyifatkan sebagai biadab.

=EZY=