Categories
NASIONAL

Dewan Rakyat kecoh, Noh gelar Kit Siang hantu

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Persidangan Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mencadangkan supaya Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dikenakan tindakan kerana enggan keluar dewan seperti diarahkan semalam.

Bagaimanapun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau ‘tidak nampak’ kehadiran Kit Siang di dalam dewan.

Jawapan bersahaja Pandikar Amin itu tidak memuaskan hati Che Mohamad Zulkifly dan cuba berhujah bagi menarik perhatian Pandikar Amin.

Bagaimanapun, belum sempat beliau menghabiskan hujahnya, beberapa anggota pembangkang bangun dan menyebabkan pertengkaran berlaku di antara mereka.

Sebaik sahaja pertengkaran reda, Pandikar Amin yang pada mulanya mendiamkan diri dengan bersahaja ‘mengarahkan’ supaya ahli-ahli parlimen terbabit menyambung semula pertengkaran mereka.

‘Arahan’ yang dikeluarkan Pandikar Amin itu menimbulkan suasana lucu di dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu di ruang media turut riuh dengan ketawa petugas media yang berada di situ.

Tidak cukup dengan itu, Manivannan pula bangun, ‘mengarahkan’ supaya Pandikar Amin meneruskan aturan mesyuarat seterusnya.

Suasana dewan sekali lagi gamat dengan ketawa apabila cadangan Manivannan itu disambut Pandikar Amin yang menyokong cadangan Manivannan itu.

Kekecohan tidak berakhir di situ sahaja, apabila Kit Siang yang pada mulanya hanya berdiam cuba bercakap di dewan ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mula membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2018.

Keadaan itu menyebabkan Noh menggelar Kit Siang sebagai hantu.

Bagaimanapun kenyataan Noh itu diselar anggota pembangkang dengan menyifatkan sebagai biadab.

=EZY=

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: Sedia bincang cadangan undi tak percaya Tun M

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Cadangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengadakan undi tidak percaya ke atas Datuk Seri Najib Razak di Parlimen boleh dibincangkan, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu, berkata kesepakatan semua Ahli Parlimen sangat penting bagi menyelamatkan negara daripada kerakusan Najib.

IMG_8653“Ketika Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, beliau juga lakukan serangan terhadap institusi kehakiman tetapi Najib lebih teruk. Jadi, kita puji beliau sebab lawan Najib.

“Cadangan itu kita boleh bincang,” katanya di pentas utama Bersih 4.0, di Dataran Merdeka, hari ini.

Mahathit juga mempunyai rekod buruk ke atas sistem keadilan negara ketika menjadi Perdana Menteri.

Antara yang paling jelas adalah pendakwaan tanpa bukti dan asas kukuh ke atas bekas timbalannya yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Najib perlu buat kenyataan isu 1MDB di Parlimen esok

KUALA LUMPUR, 23 NOV: DAP menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan kewibawaannya dengan membuat kenyataan menteri berhubung skandal 1MDB, di Parlimen, esok.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan Najib mengancam untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dalam isu terbabit jelas bertujuan untuk mengelakkan diri, sekali gus menunjukkan kepada umum sikapnya yang tidak bertanggungjawab.

“Najib tidak harus memberikan contoh yang buruk kepada menteri lain dengan melarikan diri dari melaksanakan tanggungjawabnya. Beliau harus membuat kenyataan menteri di Parlimen bagi persoalan mengenai skandal 1MDB.

“Beliau wajar menjawab 11 persoalan yang masih kekal menjadi misteri dalam skandal berbilion ringgit ini,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan yang dipetik dari RoketKini.

11 persoalan dibangkitkan Kit Siang antaranya merangkumi persoalan mengapa kerajaan mengeluarkan ‘surat sokongan’ bagi bon 1MDB bernilai USD3.0 bilion yang dikeluarkan pada Mac 2013, pembayaran purata lebih 10 peratus sebagai ‘komisen tertentu, bayaran dan perbelanjaan’ untuk mendapatkan pinjaman berjumlah USD3 bilion serta USD1.75 bilion pada Mei 2012.

“Saya juga ingin tahu mengapa 1MDB mengalihkan USD1.1 bilion daripada USD3 bilion diperoleh anak syarikatnya, 1MDB Global Investment Limited untuk membayar balik hutang sendiri dan menampung perbelanjaan operasinya?

“Mengapa 1MDB bersetuju menerima jaminan pinjaman korporat oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dengan syarat membebankan?

“Apakah sebabnya 1MDB melabur USD1 bilion dalam usaha sama dengan PetroSaudi pada 2009, sebuah syarikat tanpa rekod prestasi dan latar belakang yang meragukan?

“Mengapa 1MDB melabur USD2.32 bilion hasil daripada penebusan pinjaman PetroSaudi pada tahun 2013 dalam dana pelaburan diragui dengan Brigde Capital Partners di Kepulauan Cayman?,” soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Kit Siang turut menggesa Najib mengatur perdebatan penuh di Parlimen pada kenyataan menterinya dalam isu terbabit.

“Walaupun sidang belanjawan parlimen berakhir 27 November ini, ia menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Pengerusi dan Lembaga Penasihat 1MDB apabila lari dan mengelak dari menjawab soalan yang begitu banyak,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

Ucapan Ketua Parlimen DAP dalam perbahasan Belanjawan 2015

Oleh: Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang di Parlimen pada hari isnin 27 Oktober 2014.

Adakah kita telah menipu dunia untuk mendapatkan undian yang begitu tinggi sebanyak 187 undi dan dilantik sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB dengan penuh kepalsuan, kononnya Malaysia adalah contoh terbaik kesederhanaan sedangkan kesederhanaan sedang menerima serangan teruk.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada negara di atas pelantikan untuk kali ketiga, dengan bilangan undi tertinggi sebanyak 187 undi, untuk menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Namun malangnya, Malaysia tidak menepati standard kesederhanaan antarabangsa yang begitu tinggi, yang telah ditetapkan oleh Najib sendiri, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berulang kali menyatakan bahawa pelantikan Malaysia ke dalam Majlis Keselamatan PBB buat kali ketiga dengan bilangan undi yang begitu tinggi adalah bukti bahawa dunia mengiktiraf Malaysia sebagai contoh buat negara-negara lain dalam mengamalkan kesederhanaan.

Adakah kita telah menipu dunia untuk mendapatkan undian yang begitu tinggi, dan dilantik sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan dengan penuh kepalsuan, kononnya Malaysia adalah contoh terbaik kesederahanaan menentang ekstremisme, sedangkan sebenarnya, Malaysia sebagai sebuah model negara yang aman, stabil dan harmoni dan berbilang kaum dan agama, sedang mengalami serangan terburuk sejak 57 tahun merdeka dan akibatnya membelakangkan kesederhanaan.

Kekerapan dan bahaya ucapan-ucapan penuh kebencian terhadap kaum dan agama, menggalakkan ekstremisme dan hilangnya toleransi agama di negara sepanjang empat tahun lalu telah mengalahkan bilangan ucapan sedemikian dalam jangka masa empat dekad yang lampau.

Bukti terhadap hilangnya kesederhanaan dan bertambahnya ucapan penuh benci, ekstremisme dan hilangnya toleransi yang mengancam kesederhanaan semakin bertambah – malah, dalam jangkamasa sepuluh hari sejak Malaysia dilantik menganggotai Majlis Keselamatan sebagai anggota tidak tetap, sudah lebih sedozen contoh di mana kesederhanaan sedang diserang.

Contoh pertama yang paling ketara ialah kes aktivis Ali Abdul Jalil, mangsa beberapa pertuduhan di bawah Akta Hasutan, yang telah terpaksa meninggalkan Malaysia dan mendapatkan perlindungan di Sweden akibat daripada penindasan oleh pihak berkuasa dan kumpulan samseng.

Ali memberitahu Malaysiakini semalam dari Sweeden bahawa beliau khuatir akan keselamatan dan nyawanya. Beliau berkata bahawa pihak polis, samseng, Perkasa, kumpulan-kumpulan ultra-Melayu, kumpulan-kumpulan dari Umno semuanya sedang mencarinya. Ada yang mengugut mahu membunuhnya dan mahu memukulnya.

Beliau berkata bahawa ada yang melabelnya sebagai pengkhianat dan tidak layak dilayan sebagai manusia.

Katanya lagi, kebanyakan pertubuhan Melayu seperti Perkasa memanggilnya sampah, dan pihak polis pula tidak melindunginya.

Ali berkata bahawa perasaan tiada daya upaya yang akhirnya memaksa beliau untuk pergi.

Beliau berkata sama ada beliau diberikan suaka atau tidak, beliau tidak akan melepaskan kerakyatan Malaysia.

Beliau berkata lagi bahawa beliau masih lagi seorang warganegara dan bangga menjadi warga Malaysia kerana Malaysia adalah tanah tumpah darahnya, rumah ibu bapa, keluarga, adik-beradik semuanya masih di Malaysia.

Apabila beliau kembali nanti katanya, itu adalah hari di mana kerajaan sedia ada telah tumbang.

“Semoga Umno tumbang, dan apabila kerajaan Malaysia berubah, saya berharap saya boleh pulang.”

Ahli Parlimen yang mana yang berani mengatakan bahawa dia lebih ‘Malaysian’ berbanding Ali, bahawa dia tidak akan meninggalkan negara dan mendapatkan suaka politik daripada negara lain sekiranya tidak berhasil mendapatkan keadilan dan risaukan keselamatan diri dan nyawanya?

Bulan lepas seorang lagi rakyat Malaysia, Alvin Tan, yang berhadapan pendakwaan jenayah di bawah Akta Hasutan dan pihak penapis filem akibat muatnaik penuh kontroversi, telah mengumumkan mahu mendapatkan suaka politik setelah bertindak meninggalkan negara ke Amerika Syarikat.

Saya tidak setuju dengan kesalahan yang dilakukan oleh Ali dan Alvin, sekiranya mereka melakukan kesalahan itu, tetapi ada sesuatu yang sangat tidak kena dan begitu meloyakan dengan negara ini apabila mereka terpaksa melarikan diri untuk mendapatkan suaka politik dari negara asing kerana tidak mampu mendapatkan keadilan di Malaysia; dan lebih serius lagi, merasakan nyawa mereka terancam.

Bolehkah mana-mana Ahli Parlimen memberitahu kepada saya siapa lagi rakyat Malaysia yang terpaksa meninggalkan negara kerana tidak mampu mendapatkan keadilan di mahkamah-mahkamah Malaysia, atau lebih teruk lagi, merasakan nyawanya terancam dan tidak selamat di negara ini di bawah mana-mana lima Perdana Menteri yang lalu – Tunku, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir ataupun Tun Abdullah?

Sekiranya tidak ada seorang pun warganegara di bawah pentadbiran lima Perdana Menteri yang lalu terpaksa meninggalkan Malaysia sama ada kerana tidak mendapat keadilan atau merasakan nyawanya tidak selamat, ini adalah suatu dakwaan yang amat berat terhadap pentadbiran dan pengamalan kesederhanaan dan wasatiyah di bawah Perdana Menteri keenam!

Contoh kedua bertambahnya kebencian, ekstremisme dan sikap tidak toleran adalah kes penganjur ‘I Want To Touch A Dog’, Syed Azmi Alhabshi, yang dibanjiri ugutan bunuh dan mesej kebencian dalam jangka masa beberapa jam sahaja sebaik selesai acara penuh kontroversi itu, tidak kiralah melalui Whatsapp, panggilan telefon mahupun Facebook.

Kenyataan dan fitnah liar telah dilemparkan terhadap Syed Azmi dan mereka yang terlibat dalam acara tersebut, antara lain menuduh Syed Azmi seorang Syiah, atau seorang Kristian, atau sedang menyebarkan liberalisme.

Kita boleh setuju ataupun tidak setuju dengan acara yang dianjurkan oleh Syed Azmi, namun apa yang tidak boleh diterima sama sekali adalah ugutan bunuh dan dakwaan serta fitnah yang begitu berleluasa terhadap Syed Azmi di media sosial.

Beliau telah membuat laporan kepada pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 22 Oktober.

Namun sangat mengejutkan apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek boleh ‘cuci tangan’ dan tidak mahu bertanggungjawab, menyatakan SKMM tidak akan bertindak terhadap ugutan bunuh dan keganasan terhadap Syed Azmi memandangkan itu adalah tugas polis.

Namun begitu alasan lemah Shabery ini tidak pula menghalang SKMM daripada bertindak segera apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukriz Mahathir menerima ugutan bunuh secara online awal tahun ini, dan kemudiannya menyaksikan seorang penulis blog berkaitan ditahan dalam masa 24 jam laporan polis dibuat.

Kesederhanaan tidak bermaksud melaksanakan undang-undang secara ‘double-standard’ dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pentadbiran dan keadilan di negara ini.

Contoh ketiga yang menunjukkan betapa kita telah menyimpang daripada kesederhanaan adalah tindakan Universiti Malaya menghalang Anwar Ibrahim daripada berucap di kampus tersebut malam ini dan memberikan surat tunjuk sebab kepada presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol berikutan program ‘40 tahun dari UM ke penjara’.

Universiti Malaya nampaknya lebih rajin mencabul kebebasan akademik mahasiswa dan ahli akademik berbanding mengembalikan reputasi antarabangsanya dahulu dari sudut kecemerlangan akademik.

Baru-baru ini, untuk lima kali berturut-turut sejak bermulanya Ranking Universiti Dunia Times Higher Education pada tahun 2010, tidak ada satu pun universiti termasuk Universiti Malaya tersenarai dalam ranking 400 universiti terbaik THE.

Malangnya, ini pun langsung tidak disebut dalam ucapan Bajet 2015 walaupun Najib telah mencabar Universiti Malaya sembian tahun lalu untuk menjadi salah satu daripada 50 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020 lima tahun lagi.

Tiga minggu lalu Najib mengucapkan tahniah melalui Twitter kepada lima universiti Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan 400 teratas dalam Ranking Universiti Dunia QS 2014, iaitu Universiti Malaya yang tahun lalu berada di kedudukan 167 kini di nombor 151, Universiti Kebangsaan Malaysia daripada kedudukan 269 ke 259, Universiti Teknologi Malaysia daripada kedudukan 355 ke 294, Universiti Sains Malaysia daripada kedudukan 355 ke 309 dan Universiti Putra Malaysia daripada 411-420 ke kedudukan 376.

Namun kedua-dua Najib dan timbalannya yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya bisu bulan ini apabila tidak ada satu pun universiti Malaysia tersenarai dalam senarai 400 teratas ranking universiti THE 2014-2015.

Hujah-hujah untuk menjustifikasi pemboikotan UM dan UKM dalam senarai 400 teratas ranking universiti THE sementara terus menyertai ranking universiti dunia QS adalah sangat lemah dan tidak dapat dipertahankan.

Adakah UM dan UKM akan terus dikecualikan daripada senarai Top 400 THE jika mereka turut serta?

Empat lagi universiti Malaysia menyertai ranking THE 2014-15, tetapi tidak satu pun berjaya menduduki tangga 400 teratas.

Adalah amat memalukan kedua-dua UM dan UKM sekiranya salah satu daripada empat universiti yang lain itu berjaya tersenarai dalam kedudukan 400 teratas THE.

Walaupun Najib mencabar Universiti Malaya untuk berada di antara 50 universiti teratas ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2005, bekas Naib Canselor Universiti Malaya Tan Sri Profesor Dr Ghauth Jasmon, telah menetapkan sasaran yang lebih realistik sewaktu beliau menerajui universiti tersebut antara tahun 2008-2013 – untuk menyertai senarai 100 teratas QS World University Ranking pada tahun 2015.

Mampukah UM mencapai sasaran Ghauth untuk menyertai senarai 100 teratas QS World University Ranking tahun depan?

Ini adalah suatu misi mutahil, memandangkan ranking terbaik UM dalam QS adalah kedudukan 151 tahun ini.

Universiti Malaya seharusnya lebih peduli mengapa ia telah gagal mencapai sasaran jauh lebih rendah yang ditetapkan oleh Ghauth untuk menjadi antara 100 universiti terbaik di dunia (QS) pada tahun 2015, itu tidak lagi menyebut sasaran superlatif Perdana Menteri untuk menjadi antara 50 universiti terbaik di dunia menjelang tahun 2020, dan bukannya cuba menghalang Anwar daripada kembali ke almamaternya di Universiti Malaya petang ini.

Contoh keempat tewasnya kesederhanaan di Malaysia adalah sikap membisu, sama ada daripada Perdana Menteri atau Peguam Negara, terhadap krisis keyakinan yang paling teruk dalam sejarah negara terhadap peranan dan kuasa Peguam Negara.

Ini hasil daripada kontroversi yang semakin meningkat berikutan keputusan untuk tidak mendakwa Presiden Perkasa Ibrahim Ali atas ancamannya untuk membakar Bible berbahasa Melayu serta tindakan ‘blitzkrieg’ menggunakan Akta Hasutan terhadap banyak sekali rakyat Malaysia yang telah membuat kenyataan yang tidak pun bersifat ofensif demi mencipta suasana ketakutan.

Tiadanya akauntabiliti dan penjelasan yang memuaskan terhadap penyalahgunaan budi bicara Peguam Negara untuk tidak mendakwa Ibrahim Ali kerana mengancam mahu membakar Bible berbahasa Melayu dan pendakwaan menggila di bawah Akta Hasutan menimbulkan persoalan yang serius sama ada Peguam Negara komited menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan bertindak sebagai penjaga kepentingan awam – simbol negara yang komited dengan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan, khususnya ciri-ciri keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.

Jelas, telah wujud suatu perubahan dalam dasar pendakwaan terhadap kes-kes hasutan, kerana ini jarang berlaku sebelum Najib menjadi Perdana Menteri. Parlimen dan negara berhak mengetahui dan membahaskan sebab-sebab perubahan dalam dasar pendakwaan bagi kes-kes hasutan, tetapi setakat ini tidak ada sebarang respon.

Peguam Negara terdahulu sebelum Gani, Tan Sri Abu Talib (1980-1993) dan Tan Sri Mokhtar Abdullah (1994 – 2000) mempunyai kontroversi masing-masing ketika mereka berkhidmat di bawah Perdana Menteri yang paling kontroversi di negara ini, Tun Dr Mahathir. Namun Gani Patail membayangi kedua-dua Talib dan Mokhtar dari segi kontroversi sejak menjadi Peguam Negara pada tahun 2002.

Gani telah memperoleh satu lagi pencapaian apabila dikritik oleh Peguam Negara terdahulu, bulan lepas Talib mengkritik hebat Gani Patail kerana telah berjanji untuk mengkaji semula kes hasutan terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat, ahli akademik dan aktivis sosial seperti Prof Dr Azmi Sharom selepas pertuduhan dilakukan, sambil rentetan tuduhan hasutan semakin dilihat sebagai penindasan dan bukan pendakwaan.

Kini sudah tujuh minggu sejak Gani memberi respon pada 9 Sept kepada kemarahan orang ramai terhadap pendakwaan di bawah Akta Hasutan, dan mengumumkan bahawa Pejabat Peguam Negara akan mengkaji semula tuduhan hasutan terhadap Azmi dan lain-lain, tapi nampaknya tiada harapan mengenai hasil kajian ini, mahupun sama ada telah belangsung sebarang kajian terhadap pendakwaan tersebut.

Adakah Perdana Menteri atau menteri undang-undang Nancy Shukri (Batang Sadong) tahu apa-apa tentang semakan semulan pertuduhan hasutan oleh Pejabat Peguam Negara, atau mereka berada dalam gelap memandangkan mereka tidak dapat menuntut sebarang akauntabiliti daripada Pejabat Peguam Negara selain daripada membaca jawapan yang telah tersedia di Parlimen?

Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui sama ada, dalam menjalankan budi bicara pendakwaan atas dasar ‘kepentingan umum’, adakah ia semata-mata pertimbangan undang-undang atau ia juga turut melibatkan pertimbangan “politik” , dan jika ya, apakah sifat pertimbangan “politik ” ini.

Surat oleh Hakim Mahkamah Rayuan , KC Vohrah baru-baru ini mengenai “Keraguan dalam pentadbiran keadilan” (Star 23 Oktober 2014) menyatakan kebimbangan yang wujud dalam banyak fikiran.

Vohrah, yang pernah berkhidmat dengan Pejabat Peguam Negara selama 16 tahun pada 70-an dan awal 80-an, berkata budi bicara pendakwaan Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan adalah “satu kekuatan yang luar biasa yang perlu dilaksanakan secara bona fide beserta profesionalisme dan dengan berhati-hati. ”

Beliau berkata: “Dan mana-mana persepsi bahawa AG apabila menjalankan apa-apa kuasa, adalah berat sebelah, selektif atau bertindak di bawah tekanan menteri atau tekanan daripada mana-mana kumpulan akan membawa keburukan kepada pejabat Peguam Negara dan menyebabkan keraguan yang serius terhadap pentadbiran sistem undang-undang. Dan apabila rasa tidak percaya timbul terhadap pelaksanaan kuasa-kuasa itu, ia akan memberi nama buruk kepada Kerajaan. ”

Vohrah telah menyertai seruan untuk mengkaji semula dan menarik balik kes-kes di mana pertuduhan telah dibuat berdasarkan tiga pertimbangan:

(1) Akta Hasutan adalah undang-undang yang menindas dan ramai ahli akademik melihat hasutan (berdasarkan fitnah hasutan ‘common law’) sebagai ketinggalan zaman.

(2) Bahawa apabila seseorang didakwa di bawah kesalahan Akta Hasutan, melihat keadaan undang-undang kes di Malaysia, tidak ada pembelaan yang biasanya boleh digunakan untuk kesalahan di bawah Kanun Keseksaan contohnya atau undang-undang lain yang mewujudkan kesalahan – sama ada benar, tiada niat, kehadiran niat yang tidak bersalah atau baik, tiada bahaya akibat, atau bahkan kekurangan kemungkinan atau potensi bahaya akibat.

(3) Bahawa Peguam Negara sebelum menggunakan budi bicaranya sama ada untuk mendakwa seseorang atas kesalahan hasutan harus mengabaikan tekanan dari mana-mana pihak, politik atau sebaliknya, yang membuat bising atau membantah, atau yang bermaksud baik mahupun kumpulan yang berniat baik (yang tidak melihat implikasi undang-undang yang menindas ), dan memberi tumpuan kepada sama ada ia adalah munasabah untuk mendakwa orang tersebut dalam konteks semua hal keadaan yang berkaitan dalam zaman “perselisihan dalam idea-idea dan kepercayaan pada setiap perkara yang dapat difikirkan” yang merupakan inti dari kehidupan kita di Malaysia yang moden dan mahu berstatus membangun pada tahun 2020.

Adakah Perdana Menteri dan Peguam Negara mengendahkan suara akal waras majoriti besar rakyat Malaysia yang berfikir dan berpertimbangan?

Kelima, Presiden Gerakan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong baru-baru ini berkata, kempen 1Malaysia, yang nampaknya telah kehabisan tenaga sejak pilihan raya umum lepas, memerlukan Tongkat Ali untuk memberikan dorongan supaya kempen tersebut boleh “tahan lama”.

Hal ini tidak hanya terpakai untuk kempen 1Malaysia Najib, tetapi juga untuk “Pergerakan Kesederhanaan Global” di Malaysia.

Dalam kajian terbaru oleh Pusat Penyelidikan Pew, hampir satu pertiga daripada rakyat Malaysia melihat kebencian agama dan etnik membawa ancaman bahaya terbesar kepada dunia, kerunsingan itu turut dikongsi bersama oleh Indonesia di tengah-tengah ketegangan agama yang membara di kedua-dua negara dan kebangkitan kumpulan militan Islam .

Kajian Bahaya Terbesar di Dunia oleh kumpulan penyelidik yang berpangkalan di Washington itu menunjukkan 32 peratus rakyat Malaysia menamakan kebencian agama dan etnik sebagai ancaman global yang terbesar hari ini.

Dalam kaji selidik global dari 44 buah negara di kalangan 48,643 responden, Malaysia adalah salah satu daripada 12 negara yang melihat kebencian agama dan etnik membawa bahaya yang paling besar kepada dunia.

Kajian Pusat Penyelidikan Pew telah dijalankan antara 17 Mac hingga Jun 5. Jika ia dilakukan hari ini, penonjolan kebencian agama dan etnik untuk membawa bahaya yang paling besar kepada dunia akan meningkat ke tahap yang lebih tinggi hasil daripada peningkatan berterusan ekstremisme dan sikap tidak toleran terhadap agama, sehingga tahap di mana gagasan Najib, Gerakan kesederhanaan Global dan operasi GMM dianggap sebagai subversif dan “menghasut”, secara serius menjejaskan operasi mereka untuk menggalakkan kesederhanaan di Malaysia.

Pada 27 September, Najib membuat ucapan yang wajar dipuji di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyatakan agenda kesederhanaan untuk dunia, beliau menyatakan: “Perjuangan menentang ekstremisme bukan mengenai Kristian melawan Islam, atau orang Islam melawan Yahudi, tetapi golongan sederhana melawan pelampau dari semua agama. Oleh itu, kita perlu mewujudkan koalisi sederhana; mereka yang bersedia untuk merebut kembali agama mereka, dan menuju jalan ke arah keamanan. ”

Saya tidak ragu bahawa dalam forum-forum antarabangsa, di mana Najib telah menjelaskan kempen kesederhanaan globalnya, sama ada di Pusat Pengajian Islam Oxford, Pusat Timur-Barat di Hawaii atau di persidangan Asia-Eropah (ASEM), sekiranya Najib telah ditanya sama ada mereka yang mengancam untuk membakar kitab-kitab suci agama-agama yang berbeza adalah ekstrimis, jawapannya akan bersifat positif mutlak.

Tetapi di Malaysia, kerajaannya mencari alasan mempertahankan ancaman Ibrahim Ali untuk membakar Bible berbahasa Melayu dengan alasan yang sama sekali tidak boleh diterima dan mengarut, bahawa Ibrahim Ali telah melindungi kesucian Islam dan tindakannya dilindungi oleh Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Apakah arah tuju Malaysia pada kadar ucapan kebencian, ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi berlaku secara berleluasa dan dibenarkan beroperasi dengan kekebalan dan sewenang-wenangnya walaupun kenyataan mereka mereka begitu berbahaya?
Adakah Gerakan Kesederhanaan Global satu hari nanti akan tidak berfungsi lagi, atau dibatalkan, dimandulkan dan dibuang taringnya?

Keenam – kekecohan “pendatang” baru-baru ini bukan sahaja bukti kegagalan dasar 1Malaysia Najib dan inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global, tetapi juga usaha 57 tahun UMNO / BN Malaysia membangunkan negara.

Selain Sabah, yang merupakan kes khas dengan sendirinya, majoriti besar rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau agama, adalah anak kelahiran tempatan dan 100% rakyat Malaysia – suatu angka yang boleh menjadi setinggi lebih dari 95 peratus bagi rakyat Malaysia di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Sama ada nenek moyang Melayu, India atau Cina adalah pendatang, tidak ada sebarang sebab atau justifikasi bagi mana-mana rakyat Malaysia untuk menggambarkan satu lagi rakyat Malaysia dari etnik yang berbeza sebagai “pendatang”, terutamanya apabila istilah ini dimuatkan dalam erti kata yang sangat menghina, merendahkan dan bahkan kasar.

Hal ini sebenarnya mempersoalkan hak kewarganegaraan rakyat Malaysia, yang dijadikan salah satu daripada empat hak “sensitif” dalam Perlembagaan Malaysia dalam tahun 1971, di mana ia menjadi suatu kesalahan hasutan untuk menyeru supaya kewarganegaraan seseorang rakyat Malaysia ditarik balik.

Sejak tahun 70-an, sudah ada sebuah Jabatan Perpaduan Negara di Jabatan Perdana Menteri, namun puluhan bahkan ratusan juta ringgit dari perbelanjaan belanjawan selama lebih empat dekad untuk jabatan ini di Pejabat Perdana Menteri telah menjadi pembaziran apabila selepas 57 tahun Merdeka, ekstremis boleh melemparkan tuduhan “pendatang” terhadap rakyat biasa yang setia dan patriotik dalam perkembangan terbaru meningkatnya ucapan kebencian di negara ini.

Memanggil rakyat Malaysia yang setia, patriotik, dan dilahirkan, dibesarkan serta yang akan mati di Malaysia sebagai “pendatang” mesti dikutuk sebagai satu bentuk ekstremisme, yang telah dikutuk oleh Najib sendiri di PBB dan di forum-forum antarabangsa sejak menjadi Perdana Menteri.

Memandangkan mempersoalkan hak kewarganegaraan adalah merupakan kesalahan menghasut di bawah empat fasal sensitif dalam Perlembagaan Pindaan Rang Undang-undang tahun 1971, bolehkah Perdana Menteri memberitahu Dewan berapa banyak kes-kes pendakwaan hasutan yang telah dimulakan oleh Peguam Negara memandangkan tindakan mempersoal kewarganegaraan, termasuk memberi label “pendatang”, telah menjadi sangat kerap dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Ketujuh, bagaimana Malaysia boleh mendakwa ia sebuah negara yang sederhana apabila kita terus mempunyai kedudukan begitu rendah di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) (CPI) dalam dua dekad yang lalu?

Kita bahkan kalah dengan Indonesia dan China dari aspek anti-rasuah.

Dalam CPI yang pertama pada tahun 1995, Malaysia menduduki tempat ke 23 daripada 41 negara dengan skor CPI sebanyak 5.28.

Sembilan belas tahun kemudian, setelah pelbagai kempen anti-rasuah, dua undang-undang besar anti-rasuah, “peningkatan” martabat Badan Pencegah Rasuah bekas (BPR) menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pelan Integriti Nasional, Program Transformasi Kerajaan dengan kemasukan besar dana awam dan peningkatan jumlah kakitangan, Malaysia kini jatuh dalam CPI TI 2013 ke tangga 53 daripada 177 negara, bergelut dengan skor CPI sebanyak 50/100 – tahap ini lebih rendah daripada yang pernah direkodkan di bawah dua Perdana Menteri sebelumnya, Tun Mahathir dan Tun Abdullah.

Sebagai perbandingan, Indonesia menduduki tempat di bahagian paling bawah di nombor 41 pada tahun 1995 dengan skor CPI sebanyak 1.94 manakala China menduduki tempat ke-40 dengan skor CPI 2.16 pada tahun 1995. Sekarang Indonesia berada di kedudukan No. 114 dengan skor CPI daripada 32 / 100 manakala China berada di kedudukan No. 80 dengan skor 40/100.

Pada kadar purata tahunan penambahbaikan Indonesia dan China dari segi ranking CPI TI dan skor dalam tempoh lima tahun yang lalu, manakala Malaysia bergelut untuk kekal dalam skor CPI yang baik, Malaysia akan ketinggalan berbanding Indonesia dan China dalam tempoh kurang sedekad, bahkan juga sebelum 2020.

Apakah ada strategi yang dirangka oleh Najib dan SPRM untuk mencegah bencana ini?

Saya baru-baru ini merujuk kepada perbezaan siang dan malam antara usaha anti-rasuah di antara Malaysia dan lndonesia.

Walaupun usaha anti rasuah di Malaysia baru-baru ini hangat dalam berita, dengan penangkapan pegawai kastam dan mereka yang terlibat dalam kegiatan pembalakan haram di Sarawak, yang rancak dilaporkan media tempatan, mereka ini tergolong dalam kategori “lalat” jika dibandingkan dengan kempen anti rasuah China terhadap “harimau dan lalat”.

Dengan kaji selidik terbaru oleh Ernst & Young bahawa Malaysia menduduki tempat sebagai salah satu daripada negara-negara yang paling korup dan disenaraikan sebagai sebuah negara yang paling mungkin untuk mengambil jalan pintas bagi mencapai sasaran apabila keadaan ekonomi tidak begitu kukuh, rakyat Malaysia berhak untuk bertanya: Mengapa SPRM hanya menangkap “lalat”, di mana pula para “harimau”?

Atau menggunakan istilah Malaysia, di mana para “jerung”, memandangkan SPRM dan pendahulunya Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak mampu untuk menghantar walau seekor pun “jerung” ke penjara selama 33 tahun yang lalu di bawah tiga Perdana Menteri – Najib, Abdullah dan Mahathir – sedangkan penjara di kedua-dua Indonesia dan China penuh dengan “jerung” atau “harimau dan lalat”!

Indonesia baru-baru ini menjadi tajuk utama berita dunia mengenai kesungguhan dan komitmen untuk melawan rasuah apabila Presiden barunya, Joko Widowo menugaskan agensi anti-rasuah di Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) dengan tugas menilai dan membersihkan calon kabinetnya.

Jokowi, yang dilantik Presiden Isnin lepas (20 Oktober), menggugurkan lapan calon Kabinet selepas KPK membantah pelantikan mereka. Jokowi mengumumkan kabinet barunya semalam selepas mengemukakan nama-nama baru kepada KPK untuk menggantikan lapan calon yang digugurkan kerana beliau dia mahu Menteri yang baik dan bersih dan lulus pemeriksaan oleh Komisi Pemberantasan Korupsi.

Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mencontohi Jokowi dan menyerahkan pelantikan kabinet baru kepada sebuah suruhanjaya anti-rasuah yang boleh dipercayai untuk dibersihkan dan menggugurkan mereka yang gagal?

Saya berada di Sabah pada hujung minggu lalu, dan saya bertanya mengapa SPRM begitu diam, tidak aktif dan tidak berdaya di Sabah, sedangkan Sabah mendahului sebagai pentadbiran yang mempunyai masalah rasuah yang paling teruk.

Apakah SPRM, Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah bersedia untuk menjadikan Sabah sebagai model pentadbiran bebas rasuah dan tidak lagi mengepalai senarai pentadbiran yang paling korup di Malaysia?

Rakyat Malaysia berasa begitu suram dengan usaha-usaha anti-rasuah kecil-kecilan dan tidak lega ketika mereka dibanjiri dengan tajuk berita seperti “Malaysia one of the most corrupt nations, survey shows” (September 27), “No plan to boost law to probe into ‘high-living’ civil servants”(Oktober 8) dan” Top cop looks to ordinary Malaysians to keep police in check”(23 Oktober).

Tidak ada satu perkataan pun menyebutkan usaha-usaha anti-rasuah dalam ucapan Bajet 2015 Najib.

Bolehkah beliau menjelaskan mengapa Malaysia ketinggalan begitu teruk berbanding Indonesia dan China dalam usaha dan hasil kempen anti-rasuah, dengan tiada seekor pun “jerung” diheret ke penjara setakat ini sama ada di bawah Perdana Menteri sekarang atau dua Perdana Menteri sebelumnya, selama 33 tahun sejak tahun 1981 sedangkan penangkapan, pendakwaan dan penahanan “jerung” telah menjadi sangat biasa di Indonesia dan China?

Bagaimanakah rekod rasuah Malaysia yang begitu berleluasa dan usaha-usaha anti-rasuah yang begitu lemah menepati komitmen Malaysia terhadap agenda wasatiyyah atau kesederhanaan?

Kelapan, dengan pelantikan Jokowi Isnin lepas dan pembentukan Kabinet semalam selepas pemeriksaan KPK, kita melihat wajah baru dan harapan baru untuk demokrasi Indonesia.

Sebaliknya, Malaysia berdiri di ambang satu lagi gegaran politik dengan rakyat Malaysia dan seluruh dunia menantikan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam tempoh dua hari akan datang dalam rayuan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dalam kes Liwat II.

Saya berasa terkejut, luar biasa dan keterlaluan bagi Peguam Negara membuat rayuan terhadap hukuman lima tahun penjara Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Liwat II kes apabila Mahkamah Persekutuan bersidang pada hari Selasa dan Rabu untuk mendengar rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.

Telah dilaporkan bahawa pihak pendakwaan telah membuat rayuan balas dan mahu Anwar dipenjara selama lebih daripada lima tahun sambil berhujah bahawa hukuman penjara Mahkamah Rayuan selama lima tahun adalah “jelas tidak memadai”, “tidak mencerminkan keseriusan kesalahan itu” dan “tidak menyampaikan matlamat keadilan dari perspektif kepentingan awam”.

Ada anasir di kalangan mereka yang berkuasa yang ingin menyingkirkan Pembangkang, dengan cara apa sekalipun, tetapi saya ingin bertanya kepada Najib sama ada beliau sedemikian kejam, tidak berperasaan dan tidak berhati perut sehingga mahukan Anwar dipenjara selama 20 tahun dan tidak dibebaskan sehingga beliau berusia lapan puluh tahun?

Adakah ini sesuai dengan saranan Najib tentang wasatiyyah atau kesederhanaan yang menekankan kepada prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan?

Di Indonesia, sudah menjadi perkara biasa bagi mereka yang bergiat dalam sesebuah golongan elit politik seperti Menteri, untuk dihukum dan dipenjara – bukan untuk kesalahan yang dibuat-buat, tetapi kerana melanggar peraturan yang jelas dan khusus seperti amalan rasuah, contohnya:

*bekas Menteri Belia dan Sukan Andi Mallarangeng dijatuhkan hukuman empat tahun penjara pada bulan Julai kerana menerima rasuah berjumlah Rp 4 bilion ($ 330,000) dan $ 550,000 berhubung pembinaan pusat latihan sukan Hambalang di Jawa Barat dan rayuannya telah ditolak beberapa hari yang lalu

*pada awal September, bekas Menteri Tenaga dan Perlombongan Jero Wacik dinamakan sebagai suspek dalam kes pemerasan yang didakwa mengumpulkan hampir Rp 10 bilion ($ 585,000) untuk dana operasi kementeriannya;

*dan pada akhir September, bekas ketua umum Partai Demokrat parti bekas Presiden Susilo Bambang Sudhoyono, Anas Urbaningrum dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara, denda Rp300 juta (AS $ 25,200) dan menuntut bayaran ganti rugi sebanyak Rp 57.5 bilion dan $ 5.2 juta setelah didapti bersalah kerana rasuah dan pengubahan wang haram.

Rakyat Malaysia dan Indonesia dapat memahami rayuan pihak berkuasa Indonesia terhadap hukuman Anas sehingga lapan tahun di penjara, yang kurang separuh daripada hukuman penjara 15 tahun yang diminta oleh pihak pendakwaan Indonesia.

Tetapi apakah “kepentingan umum” dalam rayuan pihak pendakwaan di Malaysia terhadap hukuman lima tahun penjara Anwar, selain mempunyai objektif politik tersembunyi daripada kuasa yang ada untuk membunuh kerjaya politik Ketua Pembangkang?

Saya berharap pihak-pihak berkenaan akan bertindak secara waras, dan agenda wasatiyyah atau kesederhanaan yang menjadi bimbingan kerajaan Najib, akan menunjukkan hala tuju dasar Peguam Negara dan semoga pihak pendakwaan akan menarik balik rayuan balas mereka di Mahkamah Persekutuan esok.

— end —

JURNAL BERITA: Rodziah cabar Zuraida jawatan Ketua Wanita Pusat PKR

Sinopsis

1. SUKMA 2014: Selangor jangka raih 50 emas, misi pertahan kejuaraan

2. TAWAS: Peserta bawah 18 tahun layak terima skim baru khairat RM1,500

3. Selangor laksana sukan luar sekolah, elak guru jadi mangsa Kerajaan Pusat

4. Rodziah cabar Zuraida jawatan Ketua Wanita Pusat PKR

5. Malaysia perlu henti hubungan dengan Mesir, bantah sistem politik diktator

6. Tian Chua sah rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

7. Parlimen: Wisma Putra, Putrajaya perlu kutuk tindakan kejam Mesir

8. ‘Jom Kerja’ antara aktiviti menarik program jelajah GeMS April ini

9. Kit Siang: Pecat Timbalan Menteri Pertahanan, kenyataan rosak kredibiliti Malaysia

10. MH370: Bentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen, tolak siasatan lepas jumpa kotak hitam

http://tv.selangorku.com

Categories
NASIONAL

Politik sempit perkauman, Tunku pasti kecewa dan sedih- Kit Siang

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 11 FEB : Seandainya beliau masih lagi hidup, Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pasti kecewa dan sedih dengan mainan politik sempit yang wujud dalam kancah politik hari ini, kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, sebagai Perdana Menteri pertama negara ini, Tunku Abdul Rahman pastinya tidak mahu sebarang anasir jahat berlandaskan agama dan kaum dijadikan senjata bagi memecah-belahkan masyarakat majumuk di negara ini.

Kit SiangLebih sedih lagi, kata Kit Siang, Umno yang dianggotai Tunku suatu masa dahulu kini tidak lagi membawa perjuangan asal namun sebaliknya sanggup membelakangkan undang-undang hanya untuk kepentingan peribadi.

“Jika Tunku masih hidup, beliau pasti kecewa dan sedih dengan pelbagai krisis kebencian kaum dan agama yang semakin menular ekoran fitnah beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Beliau juga pasti sedih dengan masalah seperti masalah ekonomi sehingga tsunami kangkung boleh berlaku, sistem pendidikan negara semakin menjunam dan kadar jenayah yang semakin meningkat dan membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan pidato dalam forum Legasi Tunku Abdul Rahman anjuran Institut Rakyat di Kolej Universiti New Era, Kajang, malam tadi.

Pada masa sama, Kit Siang turut menyatakan kekecewaanya dengan kenyataan pemimpin Umno seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Adakah selepas ini Zahid akan berkata yang sama seandainya terdapat ganjaran RM1,200 untuk menampar Najib, menampar Muhyiddin pula RM1,300 dan mukanya sendiri sebanyak RM1,500 dan menganggapnya sebagai bukan kesalahan,” katanya lagi.

Zahid baru-baru ini berkata tindakan menyembelih dan melumur darah ayam ke sepanduk tertera muka Kit Siang dan pimpinan lain termasuk bayaran RM1,200 kepada individu yang berjaya menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bukan satu kesalahan.

Kit Siang juga berkata sikap pemimpin Umno yang jauh menyimpang seperti inilah yang menyebabkan Tunku menolak untuk menyertai Umno yang mula dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tunku menolak untuk menyertai Umno baru yang ditubuhkan pada 1987 yang ada hingga kini kerana sedar Umno sudah lari dari perjuangan asal, begitu juga dengan Tun Hussein Onn.

“Malah saya masih ingat pertemuan dengan Tun Hussein yang ketika itu merupakan Penasihat Petronas di penghujung 80an.

“Katanya, penipuan paling besar dalam sejarah negara adalah apabila Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya lagi.

Selain Kit Siang, turut serta dalam forum berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta calon PR Kajang yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Surat terbuka kedua kepada Najib dan kabinet – Kit Siang

Untuk kali kedua tahun ini, saya mengambil kesempatan daripada zaman teknologi maklumat yang membolehkan maklumat disampaikan sepantas kilat untuk menulis surat terbuka kedua bagi tahun ini kepada Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet sebelum Mesyuarat Kabinet bersidang buat kali ketiga bagi tahun 2014.

Anggota-anggota kabinet yang gagal membaca atau mendapat tahu tentang surat terbuka kedua ini sebelum mesyuarat kabinet bermula pagi ini boleh dianggap ketinggalan zaman dan tidak layak menjadi anggota kabinet – mereka sepatutnya dipinggirkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam penyusunan semula kabinet.

najib mugshot interview 01Dalam surat terbuka yang pertama kepada Perdana Menteri dan Kabinet sebelum mesyuarat pertama Kabinet pada 8 Januari 2014, saya telah menggesa agar mesyuarat pertama kabinet menyatakan mesej jelas untuk memulihkan kepimpinan dan membetulkan hala tuju negara ke arah membentuk negara Malaysia yang bersatu, harmoni, adil, berdaya saing dan agung.

Dalam surat itu saya telah menyebut secara khusus lima krisis yang perlu diberikan keutamaan dan perhatian segera oleh Kabinet, iaitu:

– Pertama, krisis pembinaan negara dan perpaduan nasional yang terlihat dengan jelas pada jurang kaum dan keagamaan yang paling lebar dalam sejarah negara – menjejaskan matlamat membentuk Bangsa Malaysia seperti yang disebut dalam Wawasan 2020 dan juga dasar utama Najib sendiri, iaitu 1Malaysia;

– Kedua, krisis ekonomi yang semakin lebar, disebabkan oleh peningkatan harga yang telah berlaku dan bakal terjadi secara lebih meluas dan akan mencapai kemuncaknya apabila GST sebanyak enam peratus diperkenalkan pada April 2015;

– Ketiga, krisis rasuah yang tidak menunjukkan ada usaha serius untuk menangani rasuah di peringkat tinggi (grand corruption) dan mengakhiri pembaziran dan salah guna wang rakyat secara besar-besaran.

– Keempat, krisis kemerosotan tahap pendidikan nasional sehinggakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengelak untuk menyentuh tentang pencapaian buruk Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012; dan

– Kelima, krisis keselamatan dan keamanan warga, pelabur, dan pelancong, memandangkan polis belum berubah menjadi sebuah pasukan yang cekap, bebas, dan profesional bertaraf dunia yang menjalankan tugas secara demokratik dan bukan hanya “mempertahankan rejim” sehingga sanggup bertindak melanggar norma-norma hak asasi manusia antarabangsa.

Dua minggu telah berlalu sejak saya menulis surat terbuka pertama kepada Perdana Menteri dan Kabinet.

Malangnya, kerajaan Najib yang tidak berpemimpin, tidak berteraju, serta dalam kebingungan itu terus hanyut tanpa arah sejak dua minggu lalu, tanpa ada sebarang penyelesaian ditawarkan bagi menangani lima krisis yang disebutkan di atas.

Dari banyak segi, keadaan dalam negara semakin buruk sejak dua minggu lalu.

Sebagai contoh, Kabinet belum menegaskan semula Penyelesaian 10 Perkara yang disahkan oleh Kabinet pada April 2011 untuk merungkai kontroversi Alkitab. Kabinet sendiri nampaknya berpecah-belah tentang Penyelesaian 10 Perkara itu apabila Timbalan Perdana Menteri dan beberapa menteri yang lain telah menyimpang daripada Penyelesaian 10 Perkara.

kangkung2d97a3cb8ff437b08539c1575cf2c57bfSejak 10 hari yang lalu pula, Najib dan Kabinet dilanda “tsunami kangkung” sehingga mereka diperolok-olokkan menerusi jenaka, video, satira, komedi, dan lakaran, mencambahkan produk-produk seperti Kangkung Fried Chicken, Burger McKangkung, dan malah merentasi sempadan antarabangsa sehingga “kadar kangkung” menjadi bahan berita dalam BBC, Channel News Asia, Singapore Straits Times, Jakarta Post dll.

“Kangkung” juga menjadi kegilaan dalam Internet dengan tiga video telah mencatatkan 1.2 juta tontonan di YouTube: “kangkung remix feat. Najib” oleh Yuri Wong mencatatkan 735,000 tontonan, video “Ucapan Najib ‘kangkung’ hangat di alam maya” mencatatkan 410,000 tontonan, manakala The Effing Show #99 “Let Them Eat Kangkung” pula menjadi item paling hangat dalam siri “popteevee” apabila mencatatkan 125,000 tontonan dalam masa lima hari.

Dalam suasana sebegini ancaman “13 Mei” muncul untuk menghasut orang ramai dengan menggunakan isu yang sebenarnya tiada kena-mengena dengan soal kaum dan sebaliknya hanya berkait dengan rasa tidak senang rakyat Malaysia daripada semua kaum, termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Iban melihat keangkuhan dan sikap tidak peduli kerajaan terhadap penderitaan rakyat berikutan kenaikan harga barang.

Salah satu contoh hasutan perkauman dan keagamaan yang berbahaya boleh dilihat pada tunjuk perasaan oleh Umno Pulau Pinang pada hari Sabtu dan Ahad lalu sebagai respons terhadap flash mob “kangkung” yang diadakan oleh wakil rakyat PKR bagi Machang Bubuk Lee Khai Loon di mana kangkung telah disumbat ke mulut potongan kadbod Perdana Menteri.

Umno Pulau Pinang dan sekutu mereka telah menggambarkan protes flash mob kangkung itu sebagai serangan terhadap Perdana Menteri Melayu oleh kaum Cina – suatu gambaran yang menyimpang daripada kebenaran.

Seperti yang disebut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu: “Saya Melayu tapi saya tidak merasa terhina.”

Perbuatan memutar-belit isu kenaikan harga menjadi isu perkauman itu adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan malah boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah.

Sememangnya sebahagian rakyat Malaysia merasa bahawa ada batas-batas yang tidak harus dilangkah dalam sebarang protes, antaranya menghormati jawatan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, Menteri Besar, atau Ketua Menteri agar wacana politik dapat berlangsung secara beradab – dan pandangan ini dianuti oleh rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama.

Ketika saya menyarankan kepada Lee agar mempertimbangkan untuk meminta maaf atas insiden dalam flash mob terbabit yang boleh dianggap tidak menghormati jawatan Perdana Menteri, saya tidak bermaksud bahawa beliau perlu meminta maaf kepada samseng, kerana saya setuju bahawa kita tidak harus tunduk pada ugutan atau sebarang bentuk keganasan.

Saya ditanya sama ada kalangan yang menunjukkan sikap tidak hormat terhadap penyelaras Bersih Ambiga Sreenivasan menerusi “tarian punggung” atau kepada Ketua Menteri Pulau Pinang menerusi kek tahi dan insiden pengkebumian juga perlu meminta maaf. Bagi saya, mereka perlu meminta maaf, namun tidak perlu saya menyatakan sedemikian secara terbuka kerana ia terpulang pada pihak yang melakukan tindakan keji dan tidak selayaknya bagi seseorang warga Malaysia.

Memandangkan Lee telah membuat keputusan, maka elok kita ketepikan perkara tersebut.

Kabinet pada pagi ini perlu memperkatakan soal kempen terancang oleh suatu kelompok yang tidak bertanggungjawab untuk mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan untuk menimbulkan situasi seperti 13 Mei bagi menggoncang negara seperti yang berlaku pada hujung minggu lalu.

Apakah Kabinet hari ini bersedia untuk mengambil pendirian tegas bagi menghentikan perbuatan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan yang bertujuan menimbulkan satu lagi situasi seperti 13 Mei?

Lebih khusus lagi, apakah pemimpin Barisan Nasional bersedia untuk bekerjasama dengan pemimpin Pakatan Rakyat dengan mengadakan Sidang Kemuncak Kepimpinan untuk memastikan insiden 13 Mei tidak berulang di Malaysia dan untuk mencapai kata sepakat tentang lima krisis nasional yang dengan dihadapi untuk negara ini bagi memulihkan keyakinan rakyat dan warga dunia terhadapnya?

* Lim Kit Siang adalah Penasihat DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah

Categories
NASIONAL

Polis patut siasat blogger Umno sebar fitnah, bukan siasat Rafizi

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM, 29 DIS : Polis digesa untuk menghentikan tindakan menyoal siasat terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dengan memulakan siasatan segera terhadap blogger Umno yang didakwa menyebar berita fitnah berkenaan Sambutan Ambang 2014 di Dataran Merdeka.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata polis patut bekerja secara profesional dengan tidak terikat kepada regim Barisan Nasional dalam sebuah negara demokratik.

Rafizi Polis1Katanya, polis perlu memberikan kebenaran kepada perhimpunan aman yang menentang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan agar pemimpin Kerajaan BN mendapat respon berkenaan isu itu dengan lebih baik dan jelas.

“Ia akan memastikan pemimpin BN mendengar suara sebenar rakyat berkenaan kenaikan harga barangan,” kata Kit Siang dalam kenyataan medianya.

Sementara itu, Rafizi hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi bagi memberikan keterangan berhubung dakwaan emel mengaitkan beliau dengan ancaman bom pada 31 Disember ini.

Beliau yang diiringi peguamnya, N.Surendran dan Latheefa Loya kelihatan memasuki pekarangan balai polis tersebut kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Rafizi mengulangi pendiriannya bahawa emel tersebut sengaja direka dan mendakwa ia didalangi oleh blogger pro-Umno.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Pelan Induk Pakatan Rakyat tawan Putrajaya PRU14

Oleh : Lim Kit Siang

PAKATAN RAKYATDalam kenyataan media  lalu, saya menjelaskan menerusi fakta dan angka bahawa ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat DAP, PKR, dan PAS telah mencapai keputusan terbaik di peringkat parlimen dan negeri di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak – dan untuk suatu tempoh berjaya menguasai lima negeri, iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak – menerusi kerjasama ketiga-tiga parti itu dalam Pilihanraya Umum tahun 1999, 2008 dan 2013.

Saya ingin membentangkan strategi 12 mata berikut untuk Pakatan Rakyat sebagai pelan induk untuk membentuk kerajaan persekutuan dan menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-14.

1. Komitmen penuh dan segera oleh ketiga-tiga parti DAP, PKR, dan PAS di peringkat kebangsaan, negeri, dan bahagian untuk meningkatkan sokongan orang ramai sepanjang tempoh empat tahun mendatang terhadap usaha Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan dalam PRU14.

Grafik-Selangor-PakatanKetiga-tiga parti Pakatan Rakyat DAP, PKR, dan PAS di semua peringkat –pusat, negeri, bahagian – dan semua sayap – pusat, pemuda, wanita – perlu memberikan komitmen penuh dan padu sepanjang empat tahun mendatang untuk meningkatkan sokongan dan keyakinan orang ramai terhadap usaha Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan dalam PRU14.

Perkara ini perlu menjadi agenda bersama dalam semua mesyuarat DAP, PKR, dan PAS di semua peringkat dan sayap dari sekarang sehingga menjelang PRU14 – untuk meningkatkan dan memaksimakan keupayaan politik dan jentera pilihanraya Pakatan Rakyat ke arah menawan Putrajaya dalam PRU14, selain untuk meningkatkan sokongan dan keyakinan orang ramai terhadap matlamat politik ini.

Konvensyen DAP Negeri yang akan diadakan sepanjang tempoh enam minggu ini, bermula dengan Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hujung minggu ini, adalah kesempatan yang amat baik untuk melaksanakan perkara pertama dalam strategi 12 mata pelan induk Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya dalam PRU14 ini.

2. Memastikan persempadan semula dilakukan seadil yang mungkin

ParlimenPersempadan semula yang bakal diadakan boleh dianggap sebagai perkembangan politik terpenting yang akan membentuk dan mempengaruhi keputusan PRU14.

Buat kali pertama dalam sejarah, persempadanan semula akan melibatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Buat kali pertama juga dalam sejarah, Barisan Nasional tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan persempadanan semula dilakukan sekehendak hati mereka.

Selain itu, Pakatan mempunyai majoriti dua pertiga di dalam dewan undangan negeri Kelantan, Pulau Pinang, dan Selangor dan lebih dari satu pertiga kerusi DUN di Kedah, Terengganu, Perak, dan Negeri Sembilan.

Bererti, jumlah kerusi di peringkat persekutuan dan di negeri-negeri berkenaan tidak boleh ditingkatkan tanpa sokongan dan persetujuan Pakatan Rakyat.

Pakatan perlu memastikan persempadanan semula dilakukan seadil yang mungkin dari segi pengagihan kerusi antara negeri-negeri agar selari dengan prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai” dan pada masa yang sama mengakui keadaan unik Sabah dan Sarawak.

Prinsip satu orang, satu undi, satu nilai ini juga perlu dipatuhi dalam setiap negeri untuk kerusi Parlimen dan DUN.

Mekanisme paling berkesan untuk memastikan persempadanan semula dilakukan secara telus ialah dengan membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Persempadanan Semula.

3. Sasarkan kawasan yang gagal dipertahankan dalam PRU13

PRU13 PKR 01Pakatan telah berjaya menambah tujuh lagi kerusi parlimen dalam PRU tahun 2013 berbanding PRU tahun 2008 (89 kerusi, dari 82), namun kita telah gagal mempertahankan 15 kerusi parlimen yang kita menangi dalam PRU 2008.

Sekiranya kerusi berkenaan berjaya dipertahankan, Pakatan mampu mengumpul 104 kerusi. Jumlah ini masih belum mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan, tetapi ia mampu menempatkan Pakatan dalam kedudukan lebih kukuh.

Dengan itu, Pakatan perlu menetapkan sasaran untuk merebut semula kerusi yang gagal dipertahankan dalam PRU13: Padang Terap, Pendang, Sik, Merbok, Baling dan Kulim-Bandar Baharu di Kedah; Ketereh, Tanah Merah dan Machang di Kelantan; Balik Pulau di Pulau Pinang; Bagan Serai di Perak; Hulu Selangor dan Kuala Selangor di Selangor; dan Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Strategi yang bertumpu kepada kerusi dan negeri diperlukan untuk merebut semula semua kerusi tersebut.

Sebagai contoh, pecah undi perlu dikurangkan di Ketereh, Tanah Merah, dan Machang. Di ketiga-tiga kawasan ini, undi untuk Pakatan di peringkat negeri lebih daripada undi untuk BN, tetapi Pakatan kalah di ketiga-tiga kerusi parlimen.

Di Kedah, barisan pembangkang yang berkesan, barisan pemimpin yang boleh diharapkan sebagai barisan bakal pentadbir kerajaan baru serta dasar negeri alternatif diperlukan untuk membolehkan Pakatan merampas semula negeri itu.

4. Sasarkan kerusi/kawasan marginal (yang mempunyai beza undi tipis)

Pakatan juga perlu mensasarkan kerusi/kawasan yang telah dimenangi BN dengan perbezaan undi yang tipis dalam PRU 2013. BN telah memenangi 24 kerusi parlimen dalam PRU 2013 dengan jumlah undi kurang dari 55% (tidak termasuk 15 kerusi yang telah disebutkan di atas dan telah dimenangi oleh PR dalam PRU 2008).

Antara kerusi yang dimaksudkan adalah Cameron Highland (beza undi 462), Bentong (beza undi 379), Sungai Besar (beza undi 399), Labis (beza undi 353) dan Pasir Gudang (beza undi 935), semuanya telah dimenangi BN dengan perbezaan undi kurang dari seribu.

5. Pertahankan kerusi/kawasan yang baru dimenangi dalam PRU 2013

Pakatan telah memenangi 15 lagi kerusi parlimen di Semenanjung dalam PRU 2013. Kita tidak boleh membuat andaian bahawa semua kerusi ini akan berjaya dipertahankan oleh Pakatan dalam PRU14.

Penekanan perlu diberikan terhadap kerusi-kerusi ini, khususnya kerusi-kerusi yang dimenangi dengan perbezaan undi tipis, agar kita tidak mengulangi pengalaman PRU 2013 di mana kita gagal mempertahankan sejumlah kerusi yang kita menangi dalam pilihanraya sebelum itu.

Antara kerusi yang memerlukan perhatian khusus adalah Kuala Nerus (beza undi 610), Sepang (beza undi 1142) dan Batu Pahat (beza undi 1524).

6. Pertahankan kerusi marginal PR

Seperti BN, PR juga mempunyai kerusi marginal. PR memenangi 17 kerusi parlimen dengan beza undi kurang dari 55% (tidak termasuk kerusi baru yang disebutkan di atas).

Semua kerusi ini perlu dipertahankan, khususnya Bachok (beza undi 201) dan Bukit Gantang (beza 986). Jika PR mensasarkan kawasan di mana BN lemah, pasti BN juga akan melakukan perkara yang sama bagi kawasan-kawasan di mana PR dianggap goyah.

7. Tonjolkan negeri Pakatan sebagai contoh betapa Pakatan mempunyai gaya pentadbiran yang berbeza daripada BN

Kerajaan negeri Pakatan mengambil pendekatan dan gaya pengurusan yang jauh berbeza daripada kerajaan BN yang memerintah sebelumnya, khususnya di Pulau Pinang dan Selangor.

Ini adalah aset besar Pakatan. Bermula dari sekarang sehingga menjelang PRU14, Pakatan perlu meningkatkan lagi prestasi di negeri-negeri yang dikuasainya untuk menonjolkan lagi perbezaan antara kerajaan BN dan kerajaan Pakatan, selain untuk memberi bayangan kepada orang ramai tentang bentuk kerajaan persekutuan di bawah Pakatan.

8. Berikan penekanan kepada kawasan luar bandar

Tidak dapat disangkal bahawa Pakatan telah mendapat undi besar di kawasan bandar dalam PRU13. Kekuatan BN/kelemahan Pakatan di kawasan luar bandar telah membolehkan BN kekal berkuasa. Untuk itu, Pakatan perlu mempunyai strategi yang mantap untuk menembusi kawasan luar bandar, khususnya kawasan/kerusi marginal BN.

Gst biasaKos sara hidup dijangka akan meningkat berikutan pengurangan subsidi, tarif elektrik dan harga minyak dijangka naik, pelaksanaan GST pada tahun 2015 akan memberi kesan meluas – semua ini adalah peluang yang boleh digunakan Pakatan untuk menjelaskan kepada pengundi luar bandar bagaimana kerajaan BN telah meningkatkan beban kewangan dan mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna mereka.

Pengundi luar bandar hanya akan menyokong Pakatan dan menolak BN jika mereka merasakan kesan buruk kerajaan BN terhadap saku mereka sendiri. Ini perlu menjadi salah satu strategi utama Pakatan untuk menjangkau kawasan luar bandar.

9. Strategi bertumpuan di Sabah dan Sarawak

Forum 5 tahun pakatan Dataran Shah Alam 08Kerusi-kerusi yang disebutkan di atas (kerusi marginal BN dan PR) adalah kerusi di Semenanjung. Pakatan berdepan dengan cabaran berbeza di Sabah dan Sarawak, maka pendekatan yang berbeza perlu digunakan untuk kedua-dua negeri ini.

Pakatan Rakyat tidak boleh memandang ringan sokongan terhadapnya di kawasan bandar Sabah dan Sarawak. Empat dari 9 kerusi yang telah dimenangi Pakatan di Sabah dan Sarawak dalam PRU13 adalah kerusi marginal – Sarikei (beza undi 5050), Sibu (beza 2841) dan Miri (beza 1992) di Sarawak dan Sandakan (beza 1008) di Sabah. Semua kerusi ini perlu dipertahankan secara agresif.

Pakatan juga perlu mensasarkan kerusi marginal BN. Empat kerusi parlimen di Sarawak dimenangi oleh BN dengan undi kurang dari 55%. Salah satunya Baram yang dimenangi dengan beza hanya sebanyak 194 undi. Di Sabah, BN memenangi 10 kerusi parlimen dengan undi kurang dari 55%, antaranya Beaufort (beza undi 672) dan Kota Marudu (beza undi 842).

Bagaimanapun, tidak seperti di Semenanjung, PR di Sabah dan Sarawak perlu menangani parti-parti tempatan.

Majoriti pengundi telah menunjukkan bahawa mereka menganggap Pakatan lebih boleh diharapkan sebagai alternatif bagi BN berbanding parti-parti tempatan, namun parti-parti ini masih boleh bertindak sebagai ‘pengganggu’ dan menarik sejumlah undi untuk menggagalkan usaha Pakatan memenangi sebahagian kerusi berkenaan.

Pakatan perlu mencari jalan lebih baik untuk bekerjasama dengan sebahagian parti tempatan terbabit, sekurang-kurangnya untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru, khususnya untuk kerusi marginal BN.

Dari segi program luar bandar, kempen Impian Sarawak dan Impian Sabah yang baru dilancarkan akan membawa masuk beberapa projek pembangunan kecil di kawasan luar bandar. Ini boleh digunakan sebagai contoh untuk Pakatan menyusun strategi luar bandar. Jika berjaya, projek-projek terbabit perlu dilaksanakan di sebanyak-banyak kawasan yang mungkin, khususnya di kawasan/kerusi marginal BN.

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 akan datang akan menjadi medan terbaik untuk menguji keberkesanan strategi yang bertumpu kepada Sarawak.

Pilihanraya negeri Sarawak tahun 2011 telah membuka ruang baru untuk Pakatan, khususnya di kawasan bandar, dan ia membolehkan Pakatan mencapai keputusan lebih baik dalam PRU 2013.

Perkara yang sama boleh berlaku dalam pilihanraya negeri Sarawak berikutnya. Jika Pakatan berjaya menembusi kawasan luar bandar dalam pilihanraya negeri Sarawak, ia akan memberi tekanan kepada BN dan Taib Mahmud serta memberi kelebihan kepada Pakatan dalam PRU14.

10. Tingkatkan kerjasama Pakatan di semua peringkat

Pakatan Rakyat Leaders ParlimenKerjasama Pakatan Rakyat telah berkembang sejak kerjasama antara parti pada tahun 2008. Di peringkat kebangsaan, Majlis Presiden Pakatan sentiasa bertemu untuk membincangkan isu-isu penting.

PR kini telah meluluskan tiga belanjawan alternatif dan membentangkan manifesto bersama menjelang PRU13. PR juga telah bertempur bersama dalam banyak pilihanraya kecil sebelum dan selepas PRU13.

Kerjasama ini perlu ditingkatkan di semua peringkat, khususnya di negeri-negeri seperti Johor, Sabah, dan Sarawak yang tidak mempunyai sejarah kerjasama antara parti yang panjang.

Kenyataan bersama boleh dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin negeri Pakatan berkenaan isu-isu nasional dan isu-isu yang penting bagi sesebuh negeri. Kegiatan rentas parti perlu diadakan lebih banyak. Setiap parti boleh memanfaatkan kekuatannya untuk membuka pintu kepada pemimpin parti komponen yang lain.

Pada masa yang sama, Pakatan perlu menguruskan perselisihan dalaman antara parti komponen di peringkat kebangsaan dan negeri. Mekanisme perlu dikenal pasti di peringkat kebangsaan dan negeri untuk menangani perselisihan secara dalaman sebelum ia diperbesar-besarkan oleh media, khususnya saluran media yang dikawal BN.

11. Beri penekanan kepada hubungan antara dua generasi pemimpin

Salah satu kekuatan terbesar Pakatan ialah ia menggabungkan pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda di peringkat negeri dan juga kebangsaan.

Ini berbeza dengan barisan pemimpin BN yang kebanyakannya terdiri dari generasi lama dan lebih terbiasa dengan pendekatan politik lama.

Pakatan perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatan ini untuk meningkatkan kredibilitinya. Pemimpin – pemimpin berpengalaman memelihara keseimbangan dan kesinambungan, manakala pemimpin-pemimpin muda pula membangkitkan buah fikiran, idealisme dan dinamisme generasi muda.

Jika kedua-dua lapisan pemimpin ini digabungkan dengan baik, ia akan menjadi adunan yang sukar untuk dihadapi oleh BN.

12. Patahkan pembohongan dan propaganda BN

Forum 5 tahun pakatan Dataran Shah Alam 04Salah satu senjata berkesan yang digunakan BN menjelang PRU13 ialah ‘gertakan’ yang menunjukkan bahawa Melayu di negara ini akan hilang hak di bawah kerajaan Pakatan.

Pengundi telah ditakut-takutkan dengan DAP dan para pemimpinnya dilemparkan dengan bermacam tuduhan – antaranya pemimpin DAP dituduh Komunis, mahu membentuk negara Kristian, anti-Islam dan anti-Melayu. Propaganda ini lebih jelas dilihat pada media arus perdana Melayu, iaitu Utusan dan stesen televisyen TV3 dan RTM.

Pakatan telah mula berusaha membasmi semua pembohongan dan propaganda yang disebarkan BN menerusi media sosial dan online. Tetapi masih banyak yang perlu dilakukan. Lebih banyak mesej kreatif dan saluran diperlukan untuk memadamkan kebimbangan sejumlah besar Melayu dan meyakinkan mereka bahawa hak dan kehidupan mereka tidak akan merosot di bawah PR sebaliknya akan menjadi lebih baik.

Rumusan

pakatan rakyat putrajaya naeemJika Pakatan mampu menangani setiap satu cabaran yang digariskan di atas, saya yakin ia akan berada dalam kedudukan yang baik untuk menawan Putrajaya dalam PRU14 dengan setiap parti menyumbangkan kekuatan masing-masing dan meningkatkan daya tarik Pakatan secara umum.

* Lim Kit Siang adalah Penasihat DAP dan juga Ahli Parlimen Gelang Patah

Categories
NASIONAL

Tembakan di Sabah, Najib Razak perlu beri kenyataan di Parlimen

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 16 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memberi kenyataan di Parlimen pada Isnin ini tentang kelonggaran kawalan keselamatan Esscom sehingga menyebabkan seorang pelancong Cina ditembak mati dan isterinya diculik kumpulan disyaki pengganas di pulau Pom Pom berhampiran Semporna.

kit siang parlimen 01Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata Najib perlu memaklumkan kepada Parlimen tindakan yang akan diambil oleh Esscom untuk mengetatkan kawalan keselamatan supaya kejadian pembunuhan dan penculikan tidak akan berulang.

Kata Kit Siang, laporan awal menyatakan bahawa sekumpulan lelaki lengkap bersenjata tiba di pusat peranginan Mandur Pom Pom dan menyerbu restoran di pusat peranginan tersebut yang ketika itu hanya dilanggani oleh pasangan dari Taiwan terbabit dan lalu melepaskan beberapa tembakan.

Mangsa tembakan Lim Min Hsu, 57, ditembak dua kali pada bahagian dada dan rusuk. Beliau meninggal di tempat kejadian. Isterinya, Lim Min Hsu, 57, dilarikan oleh kumpulan bersenjata tersebut dengan sebuah bot kecil ke arah Filipina selatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1 pagi.

“Pembunuhan dan penculikan di pulau Pom Pom itu memberikan tamparan hebat kepada usaha untuk memulihkan keyakinan pelancong dan orang ramai terhadap kawalan keselamatan di Sabah selepas pencorobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu pada bulan Februari lalu,” kata Kit Siang dalam kenyataan medianya.

Kit Siang berkata, sewaktu pelancaran Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bulan April tahun ini, Najib menggariskan empat strategi dan pendekatan teknikal yang akan diambil oleh Esscom untuk memelihara keamanan dan keselamatan di sepanjang 1,400 km kawasan pinggir laut bahagian timur Sabah.

Peristiwa tragik di pulau Pom Pom yang membawa kepada pembunuhan seorang pelancong dan penculikan pasangannya menunjukkan bahawa keempat-empat strategi tersebut telah terjejas.

Pembentukan dan peruntukan besar kepada Esscom belum menghasilkan keamanan dan keselamatan di Pantai Timur Sabah, manakala tiga matlamat Esscom yang ditetapkan oleh Perdana Menteri belum tercapai.

“Ia berkaitan untuk “menjamin sepenuhnya keselamatan,” “memulihkan keyakinan orang rami untuk kembali hidup seperti biasa” dan “memulihkan keyakinan pelancong” selepas pencerobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu, masih terlalu jauh untuk dicapai,” kata beliau.

-EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

PR perlu menang 135 kerusi Parlimen dalam PRU-14

Berdasarkan persempadan sekarang, parti-parti Pakatan Rakyat perlu menetapkan sasaran untuk memenangi 45 kerusi parlimen bagi setiap satu parti dalam pilihanraya umum berikutnya untuk meraih majoriti 48 kerusi

Berdasarkan persempadanan sekarang, pertempuran untuk menawan Putrajaya dalam PRU14 akan bergantung pada keputusan di 40 kerusi yang memiliki perbezaan undi tipis – 51 darinya berada di tangan Barisan Nasional dan 29 milik Pakatan Rakyat.

Jika kerusi yang memiliki perbezaan undi sebanyak lebih 55% dalam PRU13 dianggap sebagai kerusi selamat, bererti BN mempunyai 82 kerusi selamat dan Pakatan Rakyat pula 60 kerusi selamat.

Dalam PRU13, Pakatan Rakyat memenangi undi popular tetapi gagal menawan Putrajaya kerana Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan kelebihan kerusi – iaitu sebanyak 133 kerusi, berbanding 89 kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Jika Pakatan Rakyat memenangi 23 lagi kerusi dalam PRU13, PR membentuk majoriti mudah dengan 112 dari 222 kerusi.

Untuk PRU14, selain mengekalkan 89 kerusi parlimen sedia ada, Pakatan Rakyat perlu menggandakan sasarannya, iaitu untuk merebut bukan hanya 23 tetapi 46 dari 51 kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis agar Pakatan Rakyat boleh memenangi 135 dari 222 kerusi parlimen, iaitu dengan majoriti sebanyak 48 kerusi – dengan setiap parti Pakatan Rakyat memiliki jumlah kerusi yang sama, iaitu PKR, PAS, dan DAP, setiap satunya memenangi 45 kerusi parlimen.

Pada masa ini, DAP mempunyai 38 ahli parlimen, PKR 30 dan PAS 21. Bererti DAP perlu mendapatkan tujuh lagi kerusi parlimen, PKR 15 kerusi lagi dan PAS 24 kerusi lagi.

Saya merasa sasaran ini berada dalam jangkauan, memandangkan PAS telah memenangi 27 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum tahun 1999 – iaitu ketika Barisan Alternatif baru dibentuk – iaitu hampir empat kali ganda lebih banyak berbanding hanya tujuh kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya umum 1995.

Untuk PRU14, PAS tidak perlu meningkatkan jumlah kerusinya sebanyak empat kali ganda, kerana ia cuma perlu meningkatkan bilangan kerusi kepada 45 dari 21 kerusi parlimen yang telah dimenanginya dalam PRU13.

Prestasi parti-parti Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum tahun 2008 dan 2013 menunjukkan ketiga-tiga parti komponennya mempunyai kekuatan asas masing-masing.

Jika kita sanggup terus memperjuangkan matlamat patriotik bersama, iaitu untuk menyelamatkan negara ini daripada korupsi, kronisme, penyalahgunaan kuasa, eksploitasi golongan miskin dan tidak tidak bernasib baik tanpa mengira kaum, agama, atau latar daerah, ekstremisme, serta sikap tidak bertolak-ansur, dan menggantikan semua itu dengan urus tadbir yang baik, integriti awam, kebertanggungjawaban, sikap hormat terhadap demokrasi dan hak asasi manusia, kesederhanaan dan toleransi, maka tiada sebab untuk kita meragui masa depan negara ini atau keputusan yang memihak kepada kita dalam PRU14.

Khamis lalu, bekas duta kanan negara ini, Tan Sri Razali Ismail mengingatkan bahawa Malaysia akan hilang kelebihan ekonominya jika politik terus dikuasai oleh unsur perkauman dan perkauman yang melampau seperti yang sering dibangkitkan oleh kawan-kawannya dari luar negara kebelakangan ini berikutan timbulnya beberapa isu yang boleh menyebabkan perpecahan dalam negara ini.

Benar sekali kenyataan beliau. Retorik dan politik ekstrem dan tidak toleran berada pada tahap paling mengejutkan dan memecah-belahkan dalam sejarah negara ini sejak enam bulan selepas PRU13 walaupun Perdana Menteri bercakap tentang penyatuan nasional dan mempromosikan Global Movement of Moderates.

Pertarungan untuk PRU14 telah bermula dan beberapa pihak telah mengungkapkan kebimbangan bahawa wang pembayar cukai akan dirompak untuk mengisi tabung perang Umno/BN bagi mendanai perang siber menerusi media sosial menentang Pakatan Rakyat.

Selepas PRU13 pada 5 Mei lalu, perang siber menentang parti-parti Pakatan Rakyat tidak surut. Baru-baru ini saya dituduh sebagai anggota Illuminati, kononnya sebuah pertubuhan rahsia di peringkat dunia yang dianggotai oleh beberapa elit berkuasa dan berpengaruh dan bertujuan menguasai dunia secara politik dan ekonomi.

Setelah membaca tuduhan tersebut dalam blog-blog Umno, saya terpaksa mencari maklumat di Internet tentang perkara yang disebut sebagai konspirasi Illuminati itu.

Baru-baru ini, seorang wanita Melayu datang menyapa saya di lapangan terbang ketika saya sedang menunggu beg. Beliau meminta maaf daripada saya. Saya kehairanan dan bertanya sebabnya.

Menurut beliau, sepanjang 18 tahun pertama dalam hidupnya, beliau membenci saya sebagai seorang yang rasis dan jahat, kerana yang diberitahu kepada beliau ialah saya anti-Melayu dan anti-Islam. Tetapi setelah beliau menerjunkan diri ke dalam masyarakat dan mendapat akses kepada maklumat, beliau sedar bahawa segala yang diberitahu kepada beliau tentang saya sebelum ini sama sekali tidak benar.

Episod tersebut seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada semua kita, sama ada dalam DAP, PKR, atau PAS, kerana semua kita menjadi sasaran pembohongan dan pendustaan yang bertujuan memecah-belahkan parti-parti dan pimpinan PR.

Revolusi maklumat akan membantu Pakatan Rakyat memerdekakan minda yang cuba diracuni dan dipasung oleh juru propaganda dan cybertrooper Umno/BN.

Parti-parti Pakatan Rakyat perlu terus teguh di atas jalan politik yang sedang ditempuh ini sehinggalah kita berjaya membawa perubahan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah, atau kelas, demi mencapai Impian Malaysia bersama – Malaysia untuk semua rakyat Malaysia; Malaysia yang menikmati demokrasi, urus tadbir yang baik, dan keadilan sosioekonomi dan di dalamnya semua warga Malaysia boleh memenuhi potensinya demi kebaikan semua warga dan demi keagungan negara.

Ucapan Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang di majlis makan malam amal Pakatan Rakyat, Empire Hotel Ballroom, Subang Jaya, pada 12 Nov 2013, 7.30 malam:

(Lim Kit Siang)

Categories
NASIONAL

ISA 2 : Hari Gelap Untuk Malaysia

bantah ISA

SHAH ALAM 3 OKT : Satu lagi detik hitam melanda sistem perundangan negara apabila Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 diluluskan Dewan Rakyat membenarkan penahanan tanpa perbicaraan selama dua tahun.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam twitternya menganggap kelulusan pindaan akta itu merupakan ‘Hari Gelap untuk Malaysia’ yang mengembalikan akta zalim ISA yang dimansuhkan.

“PCA diluluskan pada jam 1245 pagi – ‘a black day for Malaysia! ‘ ” kata Kit Siang.

Sebelum ini, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diperkenalkan dan dikuatkuasakan pada 1 Ogos 1960 adalah untuk menangani penentangan bersenjata Komunis.

Pakatan Rakyat (PR) membantah pindaan akta berkenaan atas alasan ianya menyalahi hak asasi manusia.

Selain pemimpin politik, anggota badan pertubuhan bukan kerajaan dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut membantah pindaan akta berkenaan.

Kumpulan berkenaan turut mengadakan demonstrasi di perkarangan Parlimen minggu lalu dan menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Draf pindaan itu membenarkan penahanan selama dua tahun tanpa perbicaraan dengan suspek tidak mempunyai hak untuk diwakili oleh peguam undang-undang dalam mana-mana siasatan.