UKRAINE 20 MAC: Juruterbang tentera Ukraine, Kapten Vladyslav Voloshyn yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines, MH17 pada 2014 dilaporkan membunuh diri.
Namun, Voloshyn menolak dakwaan Russia itu dan menuduh ia sebagai satu penipuan.
Menurut BBC News, media tempatan Ukraine yang memetik pihak polis, melaporkan Voloshyn menembak dirinya di rumahnya di Mykolaiv, berhampiran Laut Hitam.
Terdahulu, penyiasat Belanda mendedahkan bahawa peluru berpandu Buk buatan Russia digunakan untuk menembak jatuh pesawat Boeing 777, sekali gus mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.
Voloshyn yang dianggap wira di Ukraine dilapor menyertai 33 misi ketenteraan menentang pemberontak di Timur Ukraine, selain turut menerima anugerah atas keberaniannya.
Baru-baru ini, juruterbang berusia 29 tahun itu meletak jawatan dari tentera udara, ketika bertugas di lapangan terbang Mykolaiv.
Sementara itu, polis Mykolaiv dalam satu kenyataan di Facebook menyifatkan insiden itu sebagai kes bunuh diri, tetapi mereka sedang menyiasat kejadian yang dianggap ‘pembunuhan dirancang’ itu mengikut salah satu seksyen bawah kanun keseksaan.
Pada masa sama, sepucuk pistol milik tentera yang ditemui di lokasi kejadian turut disiasat oleh pakar terbabit.
Dalam kejadian pada 17 Julai 2014 itu, pesawat MH17 ditembak di kawasan perang di Timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan dua pertiga daripada 298 penumpangnya adalah warga Belanda
SUMBER: BBC NEWS/ AGENSI