Categories
SELANGOR

LPHS komited laksana penubuhan Badan Pengurusan Bersama

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 20 MAC: Dalam usaha membantu menyelesaikan masalah dihadapi komuniti berstrata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) komited mempergiatkan penubuhan Badan Pengurusan Bersama bagi setiap pemajuan rumah bertingkat.

Pengarah Eksekutifnya, Norzaton Aini Kassim berkata, pendekatan itu dijalankan secara kerap kerana yakin dengan tadbir urus yang baik akan melahirkan masyarakat harmoni dan mewujudkan kehidupan selesa.

Katanya, LPHS dengan kerjasama Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan merancang pelbagai program rangsangan pembangunan komuniti.

“Ia dilaksanakan bagi tujuan membentuk masyarakat berdaya saing dan harmoni melalui pemilikan perumahan selesa.

“Malah pelaksanaan itu meliputi pengurusan fizikal, pengurusan komuniti dan pengurusan kepimpinan bagi membincangkan agenda memperkasa kehidupan masyarakat di rumah bertingkat.

“Pada masa sama, kita ingin menggalakkan perpaduan dan menanam sifat kendiri melalui inisiatif yang disusun atur,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Menyedari hakikat itu kata Norzaton, LPHS menggariskan beberapa Key Performance Indicator (KPI) bagi program utama merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri memacu pembangunan negeri.

“Kita menerapkan aspek kerohanian, kemanusiaan, dan amalan tadbir urus yang baik bagi menjamin keadilan sosial untuk segenap lapisan masyarakat.

“Selain itu, elemen anjakan paradigma untuk membangunkan smart people turut ditekankan ke arah mendukung visi Kerajaan Negeri mewujudkan Smart Selangor,” katanya.

Terdahulu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama sepanjang penubuhan 15 tahun LPHS.

Beliau berharap kerjasama erat itu tetap diteruskan supaya dapat menyumbang kepada pembangunan perumahan dan hartanah di Selangor.

=EZY=