Categories
SELANGOR

Masyarakat perlu bersama tangani denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 20 MAC: Setiap masyarakat memainkan peranan dan perlu bekerjasama membanteras denggi daripada terus menular.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Najmuddin Jemain berkata, masyarakat perlu bekerjasama dan jangan hanya menuding jari dengan menyalahkan pihak berkuasa.

“Usaha untuk membanteras denggi itu hanya dapat dilakukan melalui langkah pencegahan bersama dan memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.

“Namun, malangnya kesedaran masyarakat amat kurang sekaligus denggi akan lebih menular sekiranya kita tidak bersama-sama membanteras kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel ‘Brainstorming’ dan tagline Gempur Aedes Kajang (GERAK) bagi Memperkasakan Pencegahan dan Kawalan Wabak Denggi daerah Hulu Langat bertempat di Dewan Sri Cempaka, di sini, hari ini.

Najmuddin berkata, masyarakat sendiri harus bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan bukan sahaja di dalam rumah, bahkan di luar rumah serta tempat awam juga.

“Kawasan mereka akan selamat daripada ancaman nyamuk aedes jika setiap penduduk memberikan kerjasama untuk membanterasnya.

“Setiap masyarakat yang sayangkan kesihatan diri dan keluarga wajar memahami berkenaan bahayanya nyamuk aedes sehingga boleh meragut nyawa,” katanya.

=EZY=