Categories
GLOBAL

Parlimen Korea Utara panggil mesyuarat luar biasa

SEOUL 22 MAC: Parlimen Korea Utara, akan mengadakan Perhimpunan Agungnya pada 11 April ini, kata media negara Utara, beberapa minggu sebelum sidang kemuncak bersejarah antara Korea Utara dan Korea Selatan berlangsung.

Keputusan mengadakan pertemuan yang jarang berlaku buat pertama kali tahun ini diambil oleh jawatankuasa perhimpunan pada 15 Mac lalu, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) tanpa mengulas lanjut.

Parlimen Utara lazimnya berperanan meluluskan keputusan isu berkaitan struktur pentadbiran dan belanjawan yang diwujudkan oleh Parti Pekerja.

Sidang kemuncak itu akan mendahului kemungkinan pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang dijadualkan pada bulan berikutnya.

“Perhimpunan April ini adalah pertemuan rutin di mana Korea Utara membuat keputusan mengenai projek-projek utama negara,” kata Profesor Pengajian Korea Utara, Koh Yu-hwan, dari Universiti Dongguk di Seoul.

Jong-Un dan Trump dijangka bertemu pada Mei ini selepas pegawai Korea Selatan menyampaikan hasrat pemimpin Korea Utara itu untuk berbincang mengenai penamatan ujian peluru berpandu dan nuklear.

Perhimpunan Agung Rakyat diadakan sekali atau dua kali setahun. Pertemuan sebelumnya adalah pada April tahun lalu, apabila ia mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya diplomatik yang menyasarkan untuk meningkatkan hubungan antarabangsa.

Tidak dinyatakan dalam laporan KCNA sama ada Jong-Un akan menghadiri sidang kemuncak itu April ini.

SUMBER: REUTERS