OLEH: ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Persekutuan diingatkan supaya mengambil langkah waspada dalam menarik lebih ramai pelabur asing bagi mengelakkan timbulnya kontroversi terhadap rakyat dan mengancam kestabilan serta keselamatan negara di masa hadapan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, situasi sedemikian boleh menggusarkan semua pihak memandangkan Parti Komunis China sedang memperluaskan pengaruhnya bukan sahaja di Tanah Besar, malah di negara luar.
Katanya, ditambah pula China lebih bertindak secara agresif terutama daripada aspek ekonomi yang pesat di peringkat global mahupun geopolitik, itu lebih merunsingkan kita sekiranya pelaburan China semakin meningkat.
“Tidak salah menerima pelabur asing berkualiti melabur dalam negara, tetapi ia haruslah selari dengan keperluan rakyat yang mana mereka perlu diberi jaminan untuk mendapat manfaat daripada pelaburan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Smart Selangor Free Tuition 2.0, di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, semalam.
Pada masa sama, Nik Nazmi turut mengulas tindakan Kerajaan Persekutuan menarik lebih ramai pelabur luar kononnya berpotensi membangunkan negara sehingga dibimbangi menjejaskan kepentingan strategik.
“Ia seakan ketandusan idea dan terdesak sehinggakan kepentingan strategik negara, misalnya tanah terpaksa diserahkan begitu sahaja.
Belia berkata, projek terbaru Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan semenanjung pantai timur dengan pantai barat melibatkan penggunaan ramai tenaga kerja dari negara tanah besar itu.
“Justeru, kita bimbang kerana ia akan meletakkan negara kepada kebergantungan sepenuhnya terhadap China.
“Bagaimanapun, kita hanya dapat menggunakan sistem kereta api sahaja, walhal ia menguntungkan pihak China kerana mereka ingin memindahkan minyak dibeli dari Timur Tengah untuk sampai ke Pantai Timur dan dibawa ke China,” katanya.
=EZY=