Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sasar pelaburan asing lebih rendah dampak pandemik

SHAH ALAM, 20 JULAI: Selangor meletakkan jumlah sasaran pelaburan langsung asing (FDI) lebih rendah iaitu antara RM12 bilion hingga RM13 bilion pada tahun ini berbanding pencapaian RM17 bilion ke RM18 bilion dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini ekoran impak daripada pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sehingga April 2021, negeri itu mencatatkan nilai FDI kira-kira RM9 bilion dan ia masih dilihat sebagai angka yang baik memandangkan situasi ekonomi lebih mencabar ketika ini berbanding tahun sebelumnya.

“Sasaran kita tak besar setakat RM12 billion ke RM13 bilion kerana apa yang berlaku bila kes Covid-19 meningkat semula pada tahun ini operasi kita hanya bergerak dalam 20 ke 30 peratus tak banyak perkara yang kita boleh buat dan kembangkan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Bagaimanapun, katanya, susulan pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi memastikan penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini, beliau berharap landskap ekonomi negeri itu akan beransur pulih.

“Kita tidak mahu terlalu ‘ambitious’ (meletak sasaran tinggi) tetapi saya kira akhir Ogos atau awal September kita akan dapat sesuatu yang lebih baik untuk Selangor,” kata Amirudin.

Sementara itu, katanya, melalui pelaksanaan inisiatif Selangor Advance dibawah Pakej Kita Selangor 2.0, program itu telah memberi manfaat kepada lebih 300 syarikat melibatkan 50,000 pekerja setakat ini.

“Melalui Selangor Advance, 50,000 pekerja ini dapat menyambung pekerjaan mereka apabila dana yang diberikan membantu syarikat dalam meneruskan kitaran modal dan tunai mereka semasa tempoh krisis ini menyebabkan syarikat masih boleh lagi bertahan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelaburan asing susut lebih 54 peratus pada 2020, terendah sejak 2009

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia pada 2020 susut 54.8 peratus untuk mencatatkan aliran masuk bersih bernilai RM14.6 bilion sekali gus menjadi yang terendah sejak 2009, berbanding RM32.4 bilion pada 2019.

Bagaimanapun sehingga akhir 2020, kedudukan FDI di negara ini merekodkan nilai lebih tinggi iaitu RM698.8 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan mengenai Statistik FDI di Malaysia dan Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negara (DIA) 2020 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata aktiviti ekonomi di peringkat global terjejas dengan teruk sepanjang 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang seterusnya mempengaruhi prestasi pelaburan global.

Beliau berkata berdasarkan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), FDI secara global merosot 42 peratus pada 2020 berbanding 2019, justeru FDI ke Malaysia juga mengalami situasi yang sama.

“Walaupun aliran FDI susut pada 2020, trend menurun ini tidak berterusan pada permulaan 2021,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata berdasarkan Statistik FDI dan DIA Suku Pertama 2021 yang diterbitkan pada Mei lepas, aliran FDI di Malaysia menunjukkan pemulihan dengan mencatatkan RM9.1 bilion yang merupakan pelaburan tertinggi sejak Malaysia dilanda pandemik Covid-19.

Peningkatan dalam pelaburan ini disumbangkan oleh aliran masuk ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, katanya.

Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan yang menguncup 60.5 peratus tahun ke tahun kepada RM6.9 bilion menyebabkan penurunan terbesar dalam FDI.

Beliau menekankan bagaimanapun kemerosotan itu bukanlah tanda yang tidak menguntungkan.

Sebaliknya, sektor ini kekal sebagai penyumbang utama kepada aliran FDI dengan sumbangan 47.0 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan terutama dalam aktiviti kewangan, katanya.

Beliau berkata sektor pembuatan pula merupakan penyumbang kedua terbesar hasil daripada penerimaan ekuiti yang lebih tinggi terutama dalam produk elektrik dan elektronik, diikuti oleh sektor perlombongan dalam instrumen hutang.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pelaburan Malaysia bersama lebih 190 negara, beliau berkata rantau Asia kekal menjadi sumber utama FDI di Malaysia pada 2020 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM18.3 bilion, kebanyakannya diterima dari Singapura, Thailand dan China yang berjumlah RM11.5 bilion.

Walaupun begitu, ia merupakan penurunan daripada aliran masuk bersih RM26.9 bilion pada tahun sebelumnya yang menyebabkan trend penurunan dalam prestasi pelaburan di rantau ini, katanya.

Mohd Uzir berkata walaupun Malaysia mencatatkan aliran FDI lebih rendah pada 2020, FDI terkumpul meningkat sebanyak RM11.0 bilion, mencapai RM698.8 bilion dengan sektor perkhidmatan merupakan penerima terbesar pada 51.6 peratus atau RM360.4 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong.

“Ini diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi 39.2 peratus daripada keseluruhan FDI, terutama dalam produk elektrik dan elektronik,” katanya.

Seperti prestasi FDI, DIA turut menguncup sebanyak 54 peratus untuk merekodkan RM11.9 bilion disebabkan oleh pelaburan yang lebih rendah dalam sektor perlombongan dan perkhidmatan.

Ketua Perangkawan berkata perkhidmatan kekal sebagai sektor terpenting bagi DIA, menyumbang 54.0 peratus daripada keseluruhan pelaburan, terutama dalam aktiviti kewangan dan telekomunikasi, diikuti sektor pembuatan, khususnya dalam produk makanan dan minuman; serta petroleum, kimia, getah dan plastik, terutama ke Kanada, United Kingdom dan Indonesia.

Bagi prestasi DIA pada suku pertama 2021, DIA Malaysia menunjukkan trend meningkat dengan merekodkan aliran keluar bersih RM7.8 bilion pada suku ini, terutama disumbangkan oleh aliran keluar ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi.

Beliau berkata pelaburan terkumpul di luar negara juga meningkat kepada RM518.8 bilion, sebahagian besarnya ke Singapura dan Indonesia, manakala United Kingdom telah mengatasi Cayman Islands sebagai destinasi utama yang ketiga.

Analisis lanjut mengenai perolehan pendapatan bagi pelaburan dalam 2020, gangguan luar biasa ke atas ekonomi global telah menyebabkan pendapatan yang lebih rendah bagi kedua-dua FDI dan DIA berbanding tahun sebelumnya, katanya.

Beliau berkata walaupun syarikat FDI memperoleh pendapatan yang lebih tinggi daripada DIA, pulangan pelaburan (ROI) berkurang kepada RM0.06 daripada RM0.08 pada 2019 untuk setiap RM1.00 pelaburan.

Syarikat Malaysia pula hanya menerima RM0.04 bagi setiap RM1.00 ke atas pelaburan di luar negeri, katanya.

Mohd Uzir berkata sektor pembuatan memperoleh pendapatan tertinggi daripada FDI manakala pendapatan oleh DIA adalah daripada sektor perkhidmatan terutama dalam aktiviti kewangan.

Walaupun terdapat peningkatan evolusi pandemik yang dinamik, risiko penularan dan tindakan pembendungan diperbaharui akan terus mempengaruhi aktiviti pelaburan, namun ekonomi Malaysia dijangka terus meningkat pada 2021 berdasarkan prestasi petunjuk ekonomi utama yang lebih baik pada suku pertama, katanya.

Beliau berkata meskipun penurunan pelaburan asing mungkin kelihatan membimbangkan, namun FDI di Malaysia mencatatkan aliran masuk lebih tinggi pada suku pertama 2021 dan FDI terkumpul juga kekal tinggi,

Ini menandakan peningkatan prestasi pelaburan pada 2021, katanya.

Beliau juga berkata pemulihan pelaburan ekonomi pada 2021 dapat disokong dengan usaha menarik pelaburan berkualiti untuk merancakkan aliran masuk pelaburan bagi sektor bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan berimpak tinggi serta projek berinsentifkan modal demi kemajuan ekonomi lebih mampan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN berjaya yakinkan pelabur

SHAH ALAM,16 JAN: Pentadbiran kerajaan diterajui Pakatan Harapan (Pakatan) berjaya menggembalikan kepercayaan pelabur asing untuk kembali melabur di Malaysia, kata timbalan presidennya.

Mohamad Sabu berkata kejayaan itu hasil reformasi dalam tadbir urus dan disokong oleh laporan The Straits Times Singapura semalam.

“Tahun 2020 ini kerajaan akan bekerja dengan lebih keras lagi untuk memulihkan ekonomi negara agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Fokus ini tidak harus terganggu dengan isu lain termasuk perkauman dan agama yang sengaja dimainkan,” kata menteri pertahanan itu.

Agensi media Singapura turut melaporkan pelaburan asing ke Malaysia meningkat pada tahun lalu apabila Pakatan mengambil alih pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya umum ke 14.

Sebanyak RM20 bilion (S$6.6 bilion) bon direkodkan pada 2019 mengatasi catatan tahun sebelumnya dengan pasaran saham kehilangan pelaburan asing RM11 bilion.

Categories
SELANGOR

Kerajaan sambut baik pelabur asing ke Kuala Langat

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA LANGAT, 19 APR: Kerajaan menyambut baik kemasukan lebih banyak pelabur asing ke Kuala Langat bagi mengukuhkan ekonomi dan kestabilan politik di negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia berikutan Kuala Langat adalah kawasan strategik yang menjadi tarikan pelabur asing kerana berdekatan dengan Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan.

Katanya, menerusi pelaburan itu ia mampu menambah peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk tempatan.

“Oleh itu, sektor industri kilang sudah pasti akan mencapai kecemerlangan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

“Justeru, industri kilang baharu perlu mengikut standard operasi prosedur yang ketat, penjagaan alam sekitar dan mengikut syarat ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke kilang Leoch Accupower Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sementara itu, Xavier merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, pihak berkuasa perlu meneliti kawasan bersesuaian dan cadangan untuk dijadikan tempat industri.

Katanya, beliau menasihatkan pihak yang ingin memulakan industri kilang perlu mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan agensi kerajaan.

“Saya mohon pihak Majlis Daerah Kuala Langat bekerjasama dengan pejabat tanah untuk memastikan kilang yang bakal dibangunkan mendapat kelulusan daripada mereka sebelum ia dibina.

“Pada masa sama, bagi menangani isu sisa plastik di kawasan ini, saya menyeru kepada pihak berkuasa memberi lebih perhatian dan penguatkuasaan lebih ketat untuk memberhentikan kemasukan bahan berkaitan di negara ini,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

China terus jadi penyumbang pelaburan asing tertinggi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Di sebalik kejayaan Selangor merekodkan nilai pelaburan tertinggi sejak 30 tahun lalu dengan berjumlah RM24.8 bilion bagi 2018 menerusi sektor perkilangan dan perkhidmatan, China merupakan penyumbang tertinggi sebagai pelabur asing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, China terus menjadi penyumbang tertinggi sebanyak RM3.934 bilion menerusi sektor barangan asas logam, produk kertas dan sektor lain.

“Jepun pula menjadi penyumbang tertinggi dari segi bilangan projek dengan 27 projek diluluskan tahun lepas berjumlah RM435.6 juta.

“Jumlah itu menerusi penglibatan bidang seperti industri semiconduktor, ‘factory automation parts’, industri makanan, produk LED serta makanan,” katanya dalam sidang media khas di Lobi Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS).

Bagi 2018, Selangor mencatatkan jumlah nilai pelaburan diluluskan bagi sektor perkilangan berjumlah RM18.947 bilion manakala RM5.784 bilion menerusi sektor pekhidmatan.

Amirudin menjelaskan, pelaburan baru juga mencatatkan peningkatan 427 peratus iaitu RM13.522 bilion pada 2018 berbanding RM2.565 bilion pada 2017.

Pengembangan pelaburan pula mempamerkan peningkatan 79.2 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM5.424 bilion pada 2018 dan RM3.026 bilion direkodkan pada 2017.

“Secara keseluruhannya, 18,475 berpeluang pekerjaan direkodkan dan yang tertinggi di negara dalam sektor perkilangan pada 2018.

“Ia merupakan peningkatan 84 peratus berbanding 10,031 peluang pekerjaaan di sektor perkilangan pada 2017,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Persekutuan disaran tarik pelabur asing berkualiti bukan ancaman negara

OLEH: ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Persekutuan diingatkan supaya mengambil langkah waspada dalam menarik lebih ramai pelabur asing bagi mengelakkan timbulnya kontroversi terhadap rakyat dan mengancam kestabilan serta keselamatan negara di masa hadapan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, situasi sedemikian boleh menggusarkan semua pihak memandangkan Parti Komunis China sedang memperluaskan pengaruhnya bukan sahaja di Tanah Besar, malah di negara luar.

Katanya, ditambah pula China lebih bertindak secara agresif terutama daripada aspek ekonomi yang pesat di peringkat global mahupun geopolitik, itu lebih merunsingkan kita sekiranya pelaburan China semakin meningkat.

“Tidak salah menerima pelabur asing berkualiti melabur dalam negara, tetapi ia haruslah selari dengan keperluan rakyat yang mana mereka perlu diberi jaminan untuk mendapat manfaat daripada pelaburan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Smart Selangor Free Tuition 2.0, di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, semalam.

Pada masa sama, Nik Nazmi turut mengulas tindakan Kerajaan Persekutuan menarik lebih ramai pelabur luar kononnya berpotensi membangunkan negara sehingga dibimbangi menjejaskan kepentingan strategik.

“Ia seakan ketandusan idea dan terdesak sehinggakan kepentingan strategik negara, misalnya tanah terpaksa diserahkan begitu sahaja.

Belia berkata, projek terbaru Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan semenanjung pantai timur dengan pantai barat melibatkan penggunaan ramai tenaga kerja dari negara tanah besar itu.

“Justeru, kita bimbang kerana ia akan meletakkan negara kepada kebergantungan sepenuhnya terhadap China.

“Bagaimanapun, kita hanya dapat menggunakan sistem kereta api sahaja, walhal ia menguntungkan pihak China kerana mereka ingin memindahkan minyak dibeli dari Timur Tengah untuk sampai ke Pantai Timur dan dibawa ke China,” katanya.

=EZY=

Invest Selangor : Web baru mampu tarik pelaburan asing


Invest Selangor lancar web baru sebagai platform menarik pelaburan asing dan tempatan. Layari www.investselangor.my