Categories
SELANGOR

Peruntukan RM24.76 juta tambah baik sektor penternakan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 MAC: Sejumlah RM24.76 juta diperuntukkan dalam mencapai sasaran penambahbaikan sektor penternakan seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 bagi tempoh lima tahun (2016-2020).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abd Talib berkata, ia merangkumi sembilan program dengan program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Taman Translokasi menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM10 juta.

“Dalam tempoh berkenaan, beberapa kejayaan cemerlang turut dicapai seperti pengeluaran beberapa hasil utama telah meningkat walaupun persaingan menggunakan tanah dan pekerja dengan sektor ekonomi lain sentiasa sengit.

“Pengeluaran susu meningkat sebanyak 25 peratus daripada 4.55 juta liter pada 2013 kepada 5.67 liter pada 2017, manakala pengeluaran daging lembu atau kerbau juga meningkat sebanyak 13 peratus daripada 415 tan pada 2013 kepada 468 tan pada 2017.

“Selain itu, ladang penternakan ayam kampung komersial di Kuala Langat, Arisprop Holdings Sdn Bhd, iaitu pertama di Malaysia menggunakan sistem kandang dua tingkat, memenangi Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya Kebangsaan pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkenaan penambahbaikan jangka pendek dan jangka panjang dan pencapaian bagi sektor penternakan.

Pada sama, Zaidy berkata, dari segi kawalan dan pembasmian penyakit haiwan dan zoonotik, jumlah ladang ternakan disahkan sebagai Ladang Bebas Penyakit meningkat secara mendadak dengan bilangan ladang bebas penyakit Bruselosis bertambah daripada 21 ladang (2013) kepada 156 ladang pada 2018.

“Sementara itu, bilangan ladang bebas penyakit Tuberkulosis pula meningkat daripada 15 pada 2015 kepada 18 pada 2018.

“Pencapaian ini membuktikan peningkatan kesedaran penternak dalam mengawal dan membasmi penyakit zoonotik serta menunjukkan kerjasama erat jabatan dan penternak dalam memelihara kesihatan pengguna,” katanya.

=EZY=