Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Manfaat tanah terbiar, jadikan ladang hasil daging halal tempatan

SHAH ALAM, 27 DIS: Tanah terbiar di seluruh negara boleh dimanfaatkan sebagai lokasi penternakan daging lembu dan tenusu, kata EXCO industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tindakan itu sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan daging import.

“Kita wajar bertindak segera untuk mengurangkan kebergantungan ini. Malah, sumber daging halal tempatan boleh dimajukan dengan adanya dasar baharu tentang industri makanan halal.

“Saya yakin sekiranya tanah-tanah terbiar ini diusahakan secara besar-besaran menjadi ladang ternakan, negara boleh menjadi pengeluar utama dalam produk daging tempatan, juga diyakini halal,” katanya kepada SelangorKini.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan lembu korban untuk diedarkan kepada 425 masjid seluruh negeri di Ladang HMA Kasturi Sdn Bhd, Rawang pada 19 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mohd Zawawi yang juga EXCO Hal Ehwal Pengguna itu berkata Kerajaan Persekutuan wajar memberi tumpuan kepada agenda agro tani yang diusahakan rakyat tempatan.

“Kerajaan perlu terus fokus kepada pembangunan pertanian, ternakan dan perikanan yang dimajukan usahawan dalam negara.

“Amatlah rugi sekiranya golongan ini tidak dibantu kerana kita mempunyai sumber yang baik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil, dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Categories
SELANGOR

Garap peluang jadi Selangor Agropreneur

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APRIL: Golongan belia di Selangor disaran menceburi bidang penternakan yang masih rendah di negeri itu, kata Ir Izham Hashim.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, setakat ini hanya 2.8 peratus keperluan bekalan daging diusahakan, di Selangor.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Selangor ketinggalan jauh berbanding negeri lain walaupun bidang itu memiliki peluang luas.

“Sebagai contoh, permintaan daging arnab sangat tinggi untuk dieksport tetapi bekalan kurang.

“Permintaan daging arnab ini tinggi kerana logo halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia, namun masalah baka menjadi faktor tidak ramai yang berminat walaupun haiwan berkenaan mudah dijaga, kurangnya penyakit dan masa yang pendek untuk diternak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Galakan Pasaran Tempatan dan Antarabangsa Agropreneur Selangor 2019, di Wisma PKPS, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sr Ishak Ismail.

Sehubungan itu, Izham berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat negeri dan Persekutuan bagi mengkaji pendekatan terbaik dalam hal itu.

Tahun lalu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pencapaian Selangor dalam bidang pertanian jauh ketinggalan berbanding negeri lain dari segi Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK).

Katanya, pada 2010, sektor itu mencatatkan RM3.9 Bilion (2.2 peratus) dan menurun kepada RM3.5 bilion (1.4 peratus), pada 2016.

Beliau berkata, penurunan terbabit banyak dipengaruhi pertukaran status tanah dari pertanian kepada komersial.

“Dari segi nilai KDNK khusus bagi sub-sektor pertanian makanan pula, ia mencatatkan RM1.39 bilion pada 2010 dan menurun kepada RM1.25 bilion dengan keluasan tanah untuk pertanian makanan hanyalah sekitar 12 peratus sahaja dari jumlah keluasan Selangor.

“Begitu juga tahap sara diri atau Self Sufficient Level (SSL) untuk bekalan makanan, secara puratanya masih berada jauh dari dari segi peratusan.

“Sebagai contoh, bekalan daging masih berada pada kedudukan 3.3 peratus, padi (32 peratus) dan sayuran pada kadar kurang dari 40 peratus tetapi bagi bekalan kelapa dan telur ayam mencapai 100 peratus termasuk bekalan ayam sekitar 90 peratus,” katanya.

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM24.76 juta tambah baik sektor penternakan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 MAC: Sejumlah RM24.76 juta diperuntukkan dalam mencapai sasaran penambahbaikan sektor penternakan seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 bagi tempoh lima tahun (2016-2020).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abd Talib berkata, ia merangkumi sembilan program dengan program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Taman Translokasi menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM10 juta.

“Dalam tempoh berkenaan, beberapa kejayaan cemerlang turut dicapai seperti pengeluaran beberapa hasil utama telah meningkat walaupun persaingan menggunakan tanah dan pekerja dengan sektor ekonomi lain sentiasa sengit.

“Pengeluaran susu meningkat sebanyak 25 peratus daripada 4.55 juta liter pada 2013 kepada 5.67 liter pada 2017, manakala pengeluaran daging lembu atau kerbau juga meningkat sebanyak 13 peratus daripada 415 tan pada 2013 kepada 468 tan pada 2017.

“Selain itu, ladang penternakan ayam kampung komersial di Kuala Langat, Arisprop Holdings Sdn Bhd, iaitu pertama di Malaysia menggunakan sistem kandang dua tingkat, memenangi Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya Kebangsaan pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkenaan penambahbaikan jangka pendek dan jangka panjang dan pencapaian bagi sektor penternakan.

Pada sama, Zaidy berkata, dari segi kawalan dan pembasmian penyakit haiwan dan zoonotik, jumlah ladang ternakan disahkan sebagai Ladang Bebas Penyakit meningkat secara mendadak dengan bilangan ladang bebas penyakit Bruselosis bertambah daripada 21 ladang (2013) kepada 156 ladang pada 2018.

“Sementara itu, bilangan ladang bebas penyakit Tuberkulosis pula meningkat daripada 15 pada 2015 kepada 18 pada 2018.

“Pencapaian ini membuktikan peningkatan kesedaran penternak dalam mengawal dan membasmi penyakit zoonotik serta menunjukkan kerjasama erat jabatan dan penternak dalam memelihara kesihatan pengguna,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM6.6 juta bangun sektor ternakan dan industri asas ternak

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 23 MAC: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan pembangunan RM6.6 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) bagi membangunkan sektor ternakan dan industri asas ternak di Selangor, pada tahun ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sejumlah 37 lembu tenusu adalah serahan pertama dilakukan Kerajaan Negeri menerusi peruntukan itu.

“Kerajaan Negeri melalui DVS Selangor juga sudah merancang untuk mengagihkan bantuan kepada penternak ruminan (lembu, kambing dan bebiri) berjumlah RM835,000.

“Ia membabitkan 20 lembu tenusu, 47 lembu pedaging, 35 kambing pedaging, 90 bebiri, lima set bahan binaan kandang, lima mesin pericih rumput dan pelbagai jenis bantuan pemakanan ternakan,” katanya pada majlis penyerahan lembu Tenusu Bantuan Kerajaan Selangor, di Kampung Perepat, Sementa, Kapar, di sini.

Zaidy turut menyerahkan 37 lembu tenusu kepada sembilan penerima bantuan dari daerah Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang.

Sementara itu, Pengarah DVS Selangor, Dr Akma Ngah Hamid berkata, semua 37 lembu tenusu yang diserahkan kali ini adalah daripada baka Friesian Jersey.

“Setiap seekor baka ini berharga RM10,600 menjadikan keseluruhan lembu yang diagihkan bernilai RM392,200.

“Pembelian semua ternakan ini menggunakan peruntukan pembangunan di bawah projek Skim Penternakan Breedlot dan Program Merakyatkan Ekonomi kepada penternak ruminan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Galakan bangun pusat peneraju usahawan ternakan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 11 NOV : Kerajaan Negeri menggalakkan sebarang usaha usahawan tempatan untuk membangunkan pusat peneraju usahawan ternakan di seluruh negeri.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, agensi di peringkat Kerajaan Negeri bersedia membantu sebarang keperluan pembangunan itu.

Katanya, ia termasuklah kerjasama dan tumpuan secara konsisten Jabatan Veterinar dan porfolio pertanian di peringkat Kerajaan Negeri.

“Sebarang usaha ke arah pembangunan pusat peneraju seperti ini di sokong dalam dalam usaha meningkatkan industri penternakan.

“Inisiatif untuk menyokong agenda ini diperluas menerusi Pelan Induk yang mana kita sudah menjalankan kajian secara menyeluruh untuk membantu,” katanya.

Terdahulu, Zaidy Abdul Talib turun padang meninjau keperluan operasi Nuralis Agro Farm sebagai sebuah pusat pembangunan penternakan ayam negeri.

Untuk rekod, Nuralis Agro Farm merupakan pusat latihan keusahawanan yang menawarkan kemahiran latihan penternakan ayam kepada golongan belia yang berminat dalam bidang penternakan dan keusahawanan.

Pusat latihan keusahawanan itu menerapkan pengurusan ternakan ayam tempatan yang mampu menghasilkan pulangan pendapatan kepada belia sehingga mencecah RM10,000 sebulan.

Terdahulu, penglibatan golongan belia dalam bidang keusahawanan dan penternakan dilaksanakan di peringkat negeri menerusi penganjuran karnival infratani dan program Agro GeMS melibatkanya penyertaan belia negeri.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Jual kulit lembu RM2/kg, tambah nilai untung 400%

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Golongan penternak perlu memberi tambah nilai produk dihasilkan sebagai langkah meningkatkan keuntungan agat tidak bergantung kepada hasil jualan haiwan ternakan semata-mata.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata kulit haiwan merupakan antara contoh dalam memberikan nilai tambah keuntungan memandangkan ia turut digunakan dalam industri pembuatan barangan.

VETMAT2“Sebagai contoh jika penternak menjual belulang atau kulit lembu mentah semata-mata, harganya hanyalah dalam lingkungan RM2 sekilogram.

“Namun jika penternak sama memproses kulit tersebut misalnya menjadi jangat, harga jualan boleh meningkat sehingga RM10 sekilogram.

“Ini menunjukkan pertambahan nilai sebanyak lebih 400 peratus hanya dengan melakukan pemprosesan yang mudah,” katanya di Sungai Nibong, Sabak Bernam pada 30 Mei.

Menurutnya, unjuran aliran tunai terkini menunjukkan penternak lembu pedaging secara ibu-anak (bukan fidlot) hanya membawa pulangan sekitar 16 hingga 18 peratus setahun.

VetmaTDengan usaha kreatif itu katanya ia mampu meningkatkan hasil keuntungan ladang.

Jelasnya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Veterinar menyediakan skim bantuan dibawah Skim Peningkatan Pengeluaran Usahawan IAT.

Antara bentuk bantuan yang diberikan adalah peralatan pemprosesan, mesin dan bahan binaan untuk menaik taraf premis.

“Syarat utama untuk emreka yang memohon adalah sudah memulakan aktiviti pemprosesan mereka terlebih dahulu dengan saiz projek munasabah dan bukannya yang baru bercadang hendak memulakannya.

“Itu sebagai bukti keseriusan dalam melaksanakan projek industri asas tani,” kata beliau lagi.

EZY