OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 26 MAC: Pentadbiran negeri berjaya menyediakan sebuah tapak baru bagi pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Kota Kemuning.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, sekolah berkenaan dipindahkan dari kawasan Batu 8, Kota Kemuning yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Dengan bantuan Majlis Persatuan Penduduk (MPP) Zon 12, Tan Ah Kow, kita berjaya mendapatkan tapak sekolah baru. Ia bukan mudah kerana halangan yang kita hadapi sebelum ini.
“Tapi atas bantuan Persatuan Penduduk Kota Kemuning, kita berjaya mendapatkan tapak baru itu.
“Walaupun cuma sebuah sekolah, ia melibatkan 1,000 pelajar sekolah Cina yang dapat menikmati fasiliti dan kemudahan sekolah yang lebih luas dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat dan Dialog ADN dan Ahli Majlis bersama Penduduk Kota Kemuning, di Dewan Liparis Kota Kemuning, 24 Mac lalu.
Terdahulu, RM6 juta diperuntukan Kerajaan Negeri bagi pembaikan fasiliti dan pembangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Pengumuman itu dibuat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada pembentangan Belanjawn 2018 di Dewan Negeri Selangor, November lalu.