Oleh Ariff Mustaffa Hamzah
05.00 –
SIAPAKAH yang berjubah hitam aneh di lorong kecil itu? Seolah-olah sedang menanti dan memerhati sesuatu. Pandanganku dikembalikan ke laluan pejalan kaki yang dipenuhi manusia-manusia kota. Bagaikan peluru yang berkesiuran di padang perang, masing-masing bergerak laju menuju destinasi tersendiri sambil memikul beban generasi terdahulu di belakang.
Dompet kulit dipindahkan ke tangan kanan. Jam di pergelangan dilihat sekilas. Masih banyak masa. Ah, seorang budak kecil berpakaian sekolah nyaris melanggarku! Hampir sahaja ais krim coklatnya mengenai kemeja. Ibu budak kecil yang memimpin tangan anaknya segera meminta maaf. Aku kerutkan kening, memasamkan wajah supaya dia tahu kesalahan remeh itu tidak boleh diampunkan semudah ucapan maaf. Kaca mata hitam dibetulkan kedudukan dengan jari tengah. Langkah diteruskan. Aku mencelah dan menyusup di lalang keramaian.
Anak kecil itu mengembalikan ingatan aku ke usia kanak-kanak dahulu – bukan seperti anak kecil yang masih tersenyum selepas kesalahannya itu, tetapi sebagai seorang anak kecil yang terkurung di dalam sangkar. Jiwa dan minda terkongkong dengan desakan semasa. Tiada ruang untuk aku nikmati hidup sebagai anak yang bebas. Ibu bapa terlalu memaksaku menjadi manusia sempurna, tetapi tidak pernah memayungkan kasih sayang kepada satu-satunya anak mereka. Sibuk dengan kerja yang tidak berkesudahan.
Cukuplah dengan itu. Hidup sememangnya penjara, tidak kira di takah usia mana manusia berada. Segalanya aku telah tinggalkan sebagai silam. Aku percepatkan langkah, menyusuri laluan pejalan kaki ke tempat yang dijanjikan. Gumpalan awan sedikit membuncit di langit, menghijab sejenak wajah matahari.
04.00 –
AKU berdiri di tepi jalan bersama puluhan manusia pelbagai saiz, warna dan status. Lampu isyarat belum membenarkan para pejalan kaki melintas. Seperti kambing yang menanti arahan sang penggembala. Namun, ada juga beberapa ekor kambing yang tidak patuh, berlari deras di setiap kesempatan yang terhidang di atas jalan raya, disusuli bunyi bingit hon. Roda-roda kenderaan mengapungkan debu ke udara.
Di sebelah kiriku, berdiri sekumpulan remaja berfesyen kontemporari. Mereka berbual dalam bahasa bercampur-baur. Di hadapan, seorang gadis awal dua puluhan dengan tudung yang melilit batang tengkuk. Kepalanya ditundukkan. Jari-jemari gesit menaip pada skrin telefon. Di sebelah kanan pula, dua lelaki sedang berbicara tentang cuti semester yang bakal menjelang. Kedengarannya seperti mahasiswa universiti ternama.
Aku dikelilingi golongan muda remaja, tetapi keadaan ini sedikitpun tidak mengembalikan aku menjadi seperti dahulu. Aku terus terkenangkan United Kingdom serta pengalaman yang sempat dipungut selama beberapa tahun di situ. Suatu eskapisme daripada belenggu ibu bapa dan suasana masyarakat yang membusuk ketika itu.
Menanti perubahan warna pada lampu trafik sangat menyeksakan. Masa melebur begitu sahaja, melihat pergerakan kenderaan dan manusia yang melimpahi lorong dan jalan kota. Lampu bertukar hijau. Kenderaan beransur perlahan sebelum berhenti. Para pejalan kaki melintas. Sekilas terlihat lelaki berjubah aneh di antara orang ramai yang bersesakan itu, tetapi segera menghilang. Barangkali khayalan di tengah hari. Matahari akhirnya menerobos awan, memanah sinar tajamnya ke kulit bumi.
03.00 –
AKU melewati restoran makanan segera dan butik-butik berjenama antarabangsa. Dari kaca jernih yang mendindingi, terpamer perhiasan mewah. Terdapat beberapa utas beg tangan dengan corak yang elegan. Jujur aku tidak tahu apa sebenarnya cita rasa seorang wanita – tentang definisi kecantikan terhadap sesuatu.
Sedang aku mengimbas beg-beg itu, pantulan kaca memperlihatkan imej seorang lelaki korporat awal 40-an dengan pakaian berjenama. Kemeja buatan Eropah. Seluar hitam licin. Kasut kulit buaya. Cermin mata inspirasi selebriti Hollywood. Rambut tersisir rapi. Dilengkapkan dengan misai dan jambang yang dicukur kemas. Aku tersenyum keseorangan. Wajah ini selayaknya muncul di layar lebar sebagai watak utama. Wajah ini juga harus dikelilingi gadis-gadis jelita yang setia memuja.
Telefon bimbit berbunyi. Nada dering yang pastinya pendengar dapat mengecam jenama telefon yang dipakai. Tertera ‘Nadia’ di skrin. Butang hijau disentuh. Suara lembut wanita di hujung talian bertanya tentang keberadaanku.
“Sayang, sebentar lagi saya tiba,” kataku. Panggilan ditamatkan. Langkah disambung menyusuri laluan sepanjang kompleks beli-belah itu. Hadiah apakah yang bermakna untuk diberikan sempena hari lahirnya tidak lama lagi? Beg tangan itu? Tidak, itu kesukaan Jane. Rantai? Kasut? Pakaian? Aku terlupa kegilaan itu harus dipadankan kepada siapa antara Lynn, Alicia dan Tasya. Matahari jelas tersembul di langit.
02.00 –
40 tahun merupakan permulaan kehidupan – teringat aku kepada kenyataan yang entah daripada siapa. Pada usia ini, aku telah miliki segala-gala. Setelah beberapa siri perkahwinan dan penceraian, kini perkara itu tidak lagi mengganggu emosi. Aku tidak lagi perlukan perempuan sebagai tulang belakang. Bagiku, perempuan hanyalah persinggahan, bukanlah untuk berkampung selamanya. Ikatan yang kekal membunuh perjalanan karier, menutup setiap liang kebebasan.
Aku memperlahankan langkah dan menoleh. Sebongkah bangunan tinggi menjulang. Bibirku melengkungkan senyuman bangga melihat simbol kejayaan itu. Siapa sangka, dalam tempoh yang singkat aku miliki perusahaan besar. Menjadi salah seorang kapitalis yang menyerabuti dunia kini.
Sebuah kereta mewah berwarna merah meluncur di hadapanku. Hati segera tertawan. Aku mencongak-congak harganya di dalam kepala. Nanti jika ada masa terluang, aku ingin kunjungi pusat jualan kereta kegemaran di bahagian utara kota. Koleksi kereta di rumah perlu ditambah.
01.00 –
AH, lampu isyarat lagi. Entah berapa ribu lampu isyarat yang terpacak di kota ini. Menyesal pula tidak memandu kereta ke restoran yang dijanjikan. Aku memilih untuk berjalan kaki sahaja memandangkan jaraknya dengan syarikat tidaklah terlalu jauh. Kononnya untuk kesihatan.
Tangan diseluk ke dalam saku. Peluh mengalir di dahi. Aneh, tubuh terasa dingin dalam cuaca yang memanggang begini. Pandangan dibuang ke sekitar demi membunuh waktu yang tersia-sia di pinggir jalan. Skrin mega memaparkan model jelita sedang mempromosikan produk kecantikan yang mampu menunda penuaan. Tua – aku sebolehnya tidak mahu mendengar perkataan itu. Tua ialah simbol kematian. Aku belum bersedia untuk itu.
Di seberang jalan, lelaki misteri berjubah tadi tajam memandang ke arahku. Peluh semakin menguyupi tubuh. Dia menghampiri. Kenderaan yang silih berselisih di jalanan langsung tidak merempuhnya. Aku memandang manusia lain di sekeliling. Tidakkah mereka sedar tentangnya?
Semakin dia merapat, semakin dadaku terasa ditikam ribuan bilah pedang. Jantung seakan ingin meletup. Aku menekan-nekan rusuk. Kesakitan apakah ini? Pedihnya memanjat ke kerongkong. Nafas tersangkut. Aku rebah ke tanah, menggelepar menahan kesakitan yang amat. Orang ramai terkejut melihat tingkah lakuku. Beberapa orang mengerumuni untuk membantu, tetapi tiada apa yang boleh dilakukan. Kesakitan mengakar ke hujung kepala. Sekitarku menjadi retak, suara tidak lagi kedengaran. Lelaki berjubah itu berdiri di hadapan. Dia mengambil sesuatu dari ubun-ubunku.
00.00 –
MATAHARI sejengkal dari tengkorak. Aku ingin pulang, Tuhan.