Categories
GLOBAL

Trump mahu kerah tentera Amerika di sempadan Mexico

WASHINGTON 4 APR: Presiden Donald Trump menajamkan lagi retorik antipendatang semalam, mengatakan mahu mengerah tentera Amerika Syarikat (AS) ke sempadan Mexico bagi menyekat pendatang haram sehingga tembok dijanjikan dibina dan kawalan keselamatan wajar diwujudkan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan, ulasan beliau dibuat susulan ancaman menghentikan bantuan asing ke Honduras dan negara lain kecuali mereka menahan ‘karavan’ Amerika Tengah menuju ke AS, menimbulkan persoalan mengenai pengerahan tentera di negara sendiri.

Trump menggelar penggunaan tentera di sempadan selatan itu ‘satu langkah besar’.

Beliau bertemu dengan Setiausaha Pertahanan James Mattis semalam dan pegawai lain bagi membincangkan idea itu.

“Sehingga kita mendirikan tembok dan kawalan keselamatan wajar, kita akan mengawal sempadan dengan tentera,” kata Trump kepada media di Rumah Putih, mengeluh apa yang digelarnya undang-undang teruk AS yang menyebabkan sempadan selatan tidak dikawal dengan baik.

Selepas 14 bulan mentadbir, Trump masih kerap menghentam isu antipendatang yang membantu menaikkan sokongan pengundi konservatif Republikan sekali gus memenangi jawatan itu dalam pilihan raya 2016.

Usaha Trump gagal mencapai perjanjian berkaitan imigresen atau pembiayaan tembok sempadan dalam Kongres diketuai Republikan dan tiada perundangan besar-besaran dijangka sebelum pilihan raya Kongres November ini.

Presiden AS itu bagaimanapun tidak memberi butiran mengenai saiz atau misi pengerahan tentera di sempadan.

Akta Posse Comitatus, satu perundangan persekutuan, melarang penggunaan tentera untuk tugas penguatkuasaan undang-undang awam di AS kecuali diluluskan Kongres.

REUTERS