OLEH AFIX REDZUAN
GLOBAL, 4 APR: Roma pastinya mahu mengelakkan nasib malang di tangan Barcelona berlarutan dalam pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok dalam kunjungan ke Nou Camp.
Kali terakhir pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan Barcelona mudah membelasah Roma 6-1 di Nou Camp pada musim 2015/16 sementara Roma kali terakhir menang 3-0 terhadap lawan sama pada 2001/02.
Lionel Messi dan Luis Suarez mendatangkan masalah buat pertahanan Roma berdasarkan rekod jaringan gandingan dua pemain terkemuka ini.
Barcelona pula tidak pernah tewas dalam aksi eropah di gelanggang sendiri sejak 2013 dengan rekod 23 kemenangan dan dua seri serta menjaringkan 77 gol.
Keadaan itu membayangkan kekebalan skuad Ernesto Valverde selain kebangkitan mengagumkan dalam tempoh dua minit ketika bertemu Sevilla apabila pulang dengan satu mata selepas seri 2-2 pada aksi La Liga.
Bagi Jurulatih Roma, Eusebio Di Francesco, beliau menghormati Barcelona yang mempunyai prestasi mantap tetapi akan cuba meminimakan peluang tuan rumah selain mengharapkan pemainnya tidak takut menguasai bola.
Ramalan: Barcelona 4-0 Roma