Categories
AGENDA SUKANKINI

UCL: Liverpool kembali ke Madrid berdepan Atletico

SHAH ALAM, 16 DIS: Juara bertahan, Liverpool diundi bertemu kelab Sepanyol, Atletico Madrid pada peringkat 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Skuad bimbingan Jurgen Klopp akan kembali ke kota Madrid, lokasi sama mereka menjulang trofi Eropah keenam musim lalu selepas menewaskan Tottenham Hotspurs 2-0.

Juara 13 kali, Real Madrid pula akan bertemu juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Manchester City sementara Bayern Munich akan bertandang ke Stamford Bridge untuk bertemu Chelsea.

Satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspurs pula diundi bertemu kelab Jerman, RB Leipzig.

Juara Serie A, Juventus pula akan bertemu Lyon di Perancis sementara Juara Ligue 1, Paris Saint-Germain akan bertemu Borussia Dortmund.

FC Barcelona pula akan melayan saingan SSC Napoli dan satu lagi kelab Itali, Atlanta akan menanti kehadiran Valencia.

Pusingan 16 pasukan terbaik akan berlangsung pada Februari 2020 dengan semua pasukan memasang impian ke perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Istanbul, Turki.

Kali terakhir perlawanan akhir UCL dilangsungkan di Istanbul adalah pada 2005 yang menyaksikan Liverpool menewaskan AC Milan menerusi penentuan sepakan penalti.

Kredit Foto: Goal.com

Categories
SUKANKINI

UCL: Messi pastikan Liverpool menderita 3-0 di Nou Camp

OLEH AFIX REDZUAN

BARCELONA, 2 MEI: Barcelona tidak berdepan masalah membelasah Liverpool 3-0 dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Lionel Messi menjadi pemusnah The Reds dengan dua gol dalam tempoh 11 minit bagi menambah derita pelawat di babak kedua.

Luis Suarez memulakan kegembiraan pasukan tuan rumah pada minit ke-26 apabila menjaringkan gol pertama selepas menampan bola hantaran Jordi Alba pada babak pertama.

Liverpool cuba bangkit dengan melancarkan beberapa siri serangan selepas itu tetapi berjaya dipatahkan pertahanan Barcelona.

Masuk babak kedua, James Milner mempunyai dua peluang terbaik memecah kebuntuan buat Liverpool tetapi ketangkasan penjaga gol, Ter Stangen menafikan hasrat itu.

Sebaliknya, Messi menambah jaringan 2-0 buat Barcelona apabila berjaya mengawal bola percubaan awal Suarez yang terkena palang sebelum mudah menolak masuk ke gawang pelawat pada minit ke-75.

Pemain Argentina itu menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-86 menerusi sepakan percuma cantik yang terus ke penjuru atas gawang Liverpool tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Alisson Becker.

Tugas sukar menanti skuad bimbingan Jurgen Klopp untuk memadam defisit jaringan pada pertemuan kedua 8 Mei hadapan di Anfield.

Foto Sumber : UEFA Champions League

 

 

 

 

 

 

Categories
SUKANKINI

UCL: Van de Beek pastikan kelebihan milik Ajax

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 1 MEI: Ajax Amsterdam terus melakar kejutan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menang 0-1 ke atas Tottenham Hotspur pada aksi pertama separuh akhir awal pagi tadi.

Jaringan tunggal Donny van de Beek pada minit ke-15 sudah cukup untuk membawa kelebihan gol di tempat lawan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur.

Ajax menguasai babak awal permainan dengan melancarkan serangan ke kubu Spurs dan van de Beek akhirnya memecah kebuntuan apabila berjaya melepasi perangkap ofside sebelum tenang merembat rendah ke sebelah kiri menewaskan penjaga gol, Hugo Lloris.

Selepas itu, tuan rumah mempunyai sekurang-kurangnya lima peluang keemasan menjaringkan gol tetapi gagal disempurnakan.

Kegagalan sama turut berlaku pada babak kedua malahan David Neres hampir menggandakan jaringan buat Ajax pada minit ke-77 tetapi percubaannya sekadar singgah ke tiang gol.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada separuh akhir kedua 9 Mei hadapan di Johan Cruijff Arena.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

Steve McManaman yakin Liverpool mampu tewaskan Barcelona

OLEH AFIX REDZUAN

DAMANSARA, 19 APR: Steve McManaman yakin Liverpool mampu mencipta kemenangan ke atas Barcelona untuk mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) walaupun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan.

Lagenda Liverpool itu berkata, pelbagai pihak melihat keupayaan Lionel Messi ketika membantu pasukannnya menewaskan Manchester United di peringkat suku akhir tetapi The Reds akan berusaha untuk meraih keputusan positif dalam dua perlawanan secara timbal balik itu.

“Liverpool akan menang,” katanya ketika sesi bersama media sempena LFC World Kuala Lumpur di pusat membeli belah 1 Utama, hari ini.

McManaman yang beraksi di Anfield selama sembilan musim bermula pada 1990 dan pernah memenangi trofi UCL bersama Real Madrid berkata, rekod memberangsangkan beraksi di laman sendiri dan tempat lawan dalam peringkat Eropah musim ini juga tidak boleh dipandang mudah.

Katanya, Jurgen Klopp pastinya mempunyai strategi tersendiri untuk mara ke pentas akhir dan beliau yakin pengendali dari Jerman itu akan kekal lama di Anfield.

Keyakinan sama turut dilaungkan Jason McAteer yang menyifatkan trio serangan Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah akan cuba memecahkan kekebalan Barcelona.

“Liverpool mempunyai (Virgil) Van Dijk di bahagian pertahanan dan dibantu oleh rakan-rakan lain pastinya akan cuba mengekang Messi. Harus diingat, rekod jaringan barisan serangan musim ini juga baik pada peringkat pusingan 16 pasukan terbaik dan suku akhir (UCL),” katanya.

Bagi Sami Hyypia pula, Liverpool mempunyai barisan pertahanan terbaik musim ini yang diketuai Van Dijk dan akan terus bersaing sehingga perlawanan

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: ‘Away Goal’ Spurs ranapkan impian City

OLEH AFIX REDZUAN

MANCHESTER, 18 APR: Peraturan gol di tempat lawan meleburkan impian Manchester City untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) walaupun terikat 4-4 menerusi agregat ketika bertemu Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

Dalam aksi di Stadium Eitihad, jaringan Fernando Llorente pada minit ke-73 sudah memadai untuk Spurs meranapkan impian The Citizen walaupun tewas 4-3.

Raheem Sterling memulakan kebangkitan buat City dengan jaringan seawal minit ke empat apabila berjaya merembat masuk dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Hugo Lloris.

Tiga minit kemudian, Heung-Min Son menyamakan kedudukan 1-1 buat Spurs selepas merembat masuk melepasi jangkauan Ederson di gawang City.

Giliran Spurs yang beraksi tanpa kelibat Harry Kane di hadapan 1-2 pada minit ke-10 sekali lagi menerusi Son dan pemain Korea Selatan itu melakukan rembatan dari luar kotak penalti sebelum Bernardo Silva menjadikan kedudukan 2-2 buat City seminit kemudian.

Pesta jaringan berterusan 10 minit kemudian apabila Sterling kembali meletakkan skuad kendalian Pep Guardiola di hadapan 3-2 apabila mudah menolak masuk hantaran Kevin De Bruyne.

Bersambung babak kedua, Sergio Aguero menjadikan kedudukan 4-2 pada minit ke-59 apabila melepaskan rembatan kencang menewaskan Lloris.

Ketika perlawanan masih berbaki kurang 15 minit, Llorente muncul wira Spurs apabila menampan sepakan penjuru Kieran Trippier untuk pasukan pelawat merapatkan jurang 4-3.

Pemain The Citizen cuba membantah jaringan itu dan mendakwa Llorente menggunakan tangan tetapi video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringan itu kerana bola terkena peha penyerang Spurs sebelum menerjah jaring.

Kejayaan ini menyaksikan Spurs mengulangi kecemerlangan ketika era 80an untuk mara ke separuh akhir UCL dan dijadualkan bertemu Ajax Amsterdam.

KREDIT FOTO: UEFA CHAMPIONS LEAGUE

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Liverpool sahkan tempat bertemu Barcelona

OLEH AFIX REDZUAN

PORTO, 18 APR: Liverpool tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menang selesa 1-4 mengatasi FC Porto di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Kemenangan menerusi agregat 6-1 dimulakan dengan gol pertama pada minit ke-27 menerusi Sadio Mane yang menampan masuk hantaran Mohamed Salah.

Porto cuba membantah jaringan itu tetapi hasil semakan video bantuan pengadil (VAR) jelas Mane tidak berada dalam posisi offside.

Bersambung babak kedua, giliran Salah menjadikan kedudukan 0-2 buat The Reds apabila mudah menewaskan penjaga gol, Iker Casillas pada minit ke-65 hasil lorongan Trent-Alexander Arnold.

Eder Militao merapatkan kedudukan 1-2 buat Porto selang empat minit kemudian hasil sepakan penjuru Alex Telles sebelum Roberto Firmino menambah jaringan ketiga buat Liverpool menerusi tandukan pada minit ke-77.

Virgil Van Dijk mematikan sisa perjuangan pasukan tuan rumah pada minit ke-84 apabila menanduk masuk gol keempat Liverpool untuk membawa skuad kendalian Jurgen Klopp ke separuh akhir untuk dua musim berturut-turut.

Liverpool dijadualkan bertemu Barcelona yang menewaskan Manchester United di peringkat separuh akhir semalam.

KREDIT FOTO: UEFA CHAMPIONS LEAGUE

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Ajax singkir Juventus ke separuh akhir

OLEH AFIX REDZUAN

TURIN, 17 APR: Ajax Amsterdam terus melakar kejutan dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menyingkirkan pasukan pilihan, Juventus menerusi agreget 2-3 awal pagi tadi.

Skuad muda Erik Tan Hag yang terikat 1-1 di laman sendiri minggu lalu mencipta kebangkitan di gelanggang lawan apabila menang 1-2.

Cristiano Ronaldo terlebih dahulu meletakkan Juventus di hadapan menerusi tandukan padu di minit ke-28 hasil sepakan penjuru Miralem Pjanic.

Selang enam minit kemudian, Donny Va De Beek yang berjaya melepasi perangkap offside menyamakan kedudukan 1-1 selepas mudah merembat masuk bola hasil lorongan Hakim Zitech.

Ketika Juventus ghairah mencari gol kedua, Matthijs De Ligt memberikan kelebihan gol di tempat lawan buat Ajax apabila berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Lasse Schoene bagi kedudukan 1-2.

Jaringan pada minit ke-67 itu nyata merentap semangat skuad bimbingan Massimiliano Allergi yang berusaha mencari gol sehingga wisel penamat sekali gus mengakhiri penantian Ajax mara ke suku akhir selepas 22 tahun.

Ajax dijangka bertemu pemenang antara dua pasukan Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan Tottenham Hotspur di separuh akhir.

KREDIT FOTO: UEFA CHAMPIONS LEAGUE (UCL)

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Messi tunjukkan United jalan keluar

OLEH AFIX REDZUAN

BARCELONA, 17 APR: Kebangkitan diharapkan Manchester United pada aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tidak kesampaian apabila mudah dibelasah Barcelona, 3-0 awal pagi tadi.

Lionel Messi menjadi watak penting buat pasukan tuan rumah apabila meledak dua gol dalam tempoh empat minit bagi memastikan pasukkannya mara dengan agreget 4-0 selepas menang 0-1 di Old Trafford minggu lalu.

Jaringan pertama Messi hadir pada minit ke-16 menerusi rembatan kaki kiri yang melepasi jangkauan penjaga gol, David De Gea di sebelah kanan.

Masuk minit ke-20, Messi menceriakan Stadium Nou Camp dengan gol kedua apabila De Gea gagal menangkap kemas rembatan kaki kanan pemain Argentina itu bagi kedudukan 2-0 pada babak pertama.

Selepas setengah jam permainan, Philippe Coutinho menjadikan kedudukan 3-0 buat Barcelona hasil rembatan cantik dari luar kotak penalti ke sebelah kiri gawang United.

United cuba bangkit dengan beberapa cubaan serangan yang berjaya dipatahkan pertahanan lawan.

Barcelona dijangka bertemu pemenang antara FC Porto dan Liverpool di peringkat separuh akhir UCL.

KREDIT FOTO: UEFA CHAMPIONS LEAGUE (UCL)

Categories
SUKANKINI

UCL: Ajax bangkit ikat Juventus 1-1

OLEH AFIX REDZUAN

AMSTERDAM, 11 APR: Ajax Amsterdam mempamerkan kebangkitan mengagumkan untuk mengikat Juventus 1-1 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Juventus yang menguasai permainan hanya mampu berada di hadapan pada penghujung babak pertama menerusi tandukan Cristiano Ronaldo untuk gol ke-24 beliau dalam peringkat suku akhir UCL sepanjang kariernya.

Bersambung babak kedua, David Neres akhirnya menggamatkan Johan Cruyiff Arena dengan gol penyamaan Ajax apabila rembatan ke sebelah kiri gawang Juventus berjaya menerjah jaring pada minit ke-47 untuk kedudukan 1-1.

Ajax yang menguasai permainan pada babak kedua melancarkan beberapa serangan ke kubu Juventus tetapi gagal menambah jaringan.

Juventus turut berpeluang untuk menambah jaringan menerusi Douglas Costa tetapi rembatannya sekadar singgah ke tiang gol Ajax.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Luke Shaw beri kelebihan buat Barcelona

OLEH AFIX REDZUAN

MANCHESTER, 11 APR: Jaringan sendiri Luke Shaw sudah memadai untuk memberikan kelebihan gol tempat lawan kepada Barcelona ketika menewaskan Manchester United 0-1 awal pagi tadi.

Dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Shaw memberikan kelebihan kepada Barcelona selepas tertampan bola tandukan Luis Suarez yang menerjah gawang sendiri pada minit ke-12.

Barcelona yang menguasai permainan mempunyai beberapa peluang di setiap babak tetapi dinafikan dengan ketangkasan penjaga gol, David De Gea.

Pada penghujung permainan, Chris Smalling berpeluang menyamakan kedudukan buat tuan rumah tetapi rembatannya tidak menepati sasaran.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Son pastikan kelebihan buat Spurs

 

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 10 APR: Jaringan tunggal Heung-Min Son sudah cukup untuk Tottenham Hotspurs melakar kemenangan di stadium baharu dengan menewaskan Manchester City 1-0 pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

The Citizen berpeluang untuk mendahului permainan pada minit ke-12 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Danny Rose tertampan bola menggunakan tangan hasil percubaan awal Raheem Sterling.

Sergio Arguero gagal meletakkan bola ke jaring selepas sepakkanya berjaya ditepis keluar Hugo Iloris sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Spurs akhirnya meledak jaringan pertama menerusi Son pada minit ke-78.

Beliau memperdaya dua pertahanan City sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Ederson.

Kredit Foto: UEFA Champions League

 

Categories
SUKANKINI

UCL: Liverpool bawa bekal selesa ke Porto

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 10 APR: Roberto Firmino menjadi tunjang utama Liverpool pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menewaskan FC Porto 2-0 awal pagi tadi.

Pemain Brazil itu memastikan tuan rumah di hadapan pada minit kelima permainan apabila tolakkannya berjaya disempurnakan Nabiey Keita bagi kedudukan 1-0.

Mohamed Salah hampir menggandakan jaringan buat The Reds sejurus kemudian tetapi gagal menyudahkan peluang walaupun berjaya memperdaya penjaga gol, Iker Casillas.

Masuk minit ke-26, Firmino menjadikan kedudukan 2-0 but Liverpool apabila mudah melepasi perangkap ofside untuk menolak masuk hantaran Trent-Alexander Arnold.

FC Porto turut mempunyai peluang terbaik untuk mencari gol tempat lawan menerusi Moussa Marega tetapi penjaga gol, Alisson Becker lebih bersedia menyelamatkan keadaan.

Bersambung babak kedua, tiada sebarang jaringan daripada kedua-dua pasukan walaupun mengasak ke kubu lawan.

Kredit Foto: UEFA Champions League