Categories
NASIONAL

Malam 9 Mei, Azmin tunggu di KLIA

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: “Tutup pusat mengundi, saya tunggu Najib di KLIA. Kalau nampak orang itu lari saya tangkap, jika nampak perempuan itu lari, saya tangkap,” kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata perbuatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja melampau tetapi hampir membuatkan Malaysia muflis ekoran kerakusan pemimpin itu menggunakan wang negara.

“Saya mengajak rakyat pastikan 9 Mei ini bukan sahaja kena pertahankan Selangor tetapi mesti menang ke Putrajaya.

“Selangor bersendiri tidak cukup. Mari kita bekerjasama satu Malaysia. Lawan Barisan Nasional (BN), Najib sudah panik, Rosmah panik. Kalau kita kerja kuat, 9 Mei ini tutup pusat undi, saya tunggu di KLIA.

“Kalau saya nampak orang itu lari, saya tangkap. Saya nampak perempuan itu lari, saya tangkap. Sebab mereka ini sudah melampau,” katanya ketika berucap di program Jelajah Harapan Rakyat, di Taman Sri Andalas, di sini.

Dato’ Menteri Besar itu mendakwa PAKATAN tidak membenci dan memarahi parti dacing itu tetapi keterlibatan Najib dalam merompak hasil negara.

“Saya mahu lawan Najib dan Rosmah kerana mencuri serta merompak. Negara kita hampir muflis dan ekonomi teruk. Tidak perlu tunjuk pasport untuk pergi ke negara Eropah. Cukup pergi Indonesia, malu.

“Bapak dari Malaysia? Tak nak mengaku tapi cop Malaysia. Bagaimana pak, Perdana Menteri ada RM2.6 bilion. Tentu kita malu kan?

“Tetapi mereka tidak ada malu. Curi wang rakyat, kalau dulu orang curi ayam malam, sekarang siang-siang pun curi. Masuk akaun peribadi, ini cerita benar bukan cerita palsu,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan wang AS$681 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib menyatakan ia adalah derma dari keluarga diraja Saudi dan diberikan tanpa mengharapkan balasan.

Mohamed Apandi sekali gus menutup kes tersebut dan menyatakan Perdana Menteri tidak melakukan sebarang kesalahan.