Categories
NASIONAL

MB hargai Najib, BN akur pilihan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 12 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, melahirkan penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak yang dapat menerima keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan baik.

Beliau berkata, perkembangan itu adalah petanda positif bagi pembangunan negara seterusnya ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya amat menghargai Najib dan pimpinan Umno juga BN yang menerima keputusan dibuat rakyat.

“Maka selepas ini kita akan bergerak bersama membangunkan Malaysia dengan lebih baik dan itu adalah janji PAKATAN,” katanya kepada media selepas majlis Istiadat Angkat Sumpah dan Pelantikan Dato’ Menteri Besar di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, PAKATAN juga berharap kerjasama akan terjalin antara Kerajaan Negeri dan pembangkang membabitkan BN.

“Walaupun jumlahnya agak kecil (wakil rakyat pembangkang) tetapi ia tetap berperanan dalam sistem demokrasi.

“Saya berharap kerjasama ini terus dijalin demi kebaikan bersama untuk kemajuan negeri,” katanya.

Mohamed Azmin turut melahirkan simpati terhadap Umno yang gagal mempertahankan Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan Negeri ketika sambutan hari kelahiran parti itu yang ke 72, semalam.