Categories
SELANGOR

‘Paya Jaras Happening’ bantu tingkatkan ekonomi setempat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 5 MEI: Aktiviti ekonomi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras terus dipertingkatkan bagi meningkatkan lagi ekonomi masyarakat tempatan khususnya golongan belia di sini.

Calon Ahli Dewan Negeri (ADN) kerusi Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, antaranya dengan menjadikan Paya Jaras sebagai kawasan yang meriah atau ‘Paya Jaras Happening’ dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

“Antaranya dengan membuka bazar Uptown Sungai Buloh yang sudah enam bulan beroperasi dan memberi peluang kepada peniaga kecil berniaga di sini.

“Saya harap bazar ini bertambah maju apabila masalah pusingan ‘U’ dapat diselesaikan nanti,” katanya kepada SelangorKini selepas menghadiri program Santai Karaoke YBK 2018 Uptown Sungai Buloh di sini, malam tadi.

Jelasnya, pengurusan bazar Uptown Sungai Buloh ini diserahkan kepada Pertubuhan Komuniti 47000 Sungai Buloh yang mengendalikan grup 47000 Sungai Buloh ekoran sikap berdedikasi kumpulan anak muda ini menguruskan pelbagai aktiviti perniagaan untuk komuniti niaga di sini.

Katanya, selain bazar Uptown Sungai Buloh, kumpulan ini juga aktif menganjurkan pelbagai karnival dalam skala yang agak besar.

Kata Mohd Khairuddin, selain bazar, beliau juga merancang mewujudkan medan selera, pasar bertingkat berkonsepkan Pasar Siti Khadijah di Kelantan, menambah tapak niaga untuk peniaga kecil dan lain-lain.

“Pada masa ini Sungai Buloh juga dikenali sebagai Hub Floris Sungai Buloh ekoran terdapat banyak perniagaan tanaman hiasan wujud di sini,” katanya lagi.

Selain aktiviti perniagaan, Mohd Khairuddin turut menumpukan kepada aktiviti sukan yang boleh mendorong belia luar Sungai Buloh datang ke sini dan memberi kesan kepada kerancakkan aktiviti ekonomi di sini.

=EZY=