OLEH ERMIZI MUHAMAD
GOMBAK, 13 MEI: Seiring prinsip kebebasan media yang dipertahankan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat kini sudah boleh mempercayai laporan berita yang dipaparkan media arus perdana.
Dato’ Menteri Besar itu berkata, ia termasuklah laporan berita daripada agensi, TV3 milik Media Prima dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kini disifatkan lebih terbuka melaporkan senario politik terkini negara.
“Saya berharap mulai malam ini, orang awam sudah boleh menonton TV3 dan RTM. Sebab sejak 10 Mei lalu, saya rasa macam pelik sedikit.
“Apabila saya buka TV jam 8.00 malam di TV3 dan RTM, ada berita tentang Kerajaan Selangor yang mengatakan Dato’ Menteri Besarnya telus dan bertangunggjawab,” seloroh Mohamed Azmin.
Kata Mohamed Azmin, perubahan itu didorong atas tekanan dan perubahan yang dilakukan rakyat, pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, yang menyaksikan perubahan besar kepada senario politik semasa.
“Jangan marah mereka (TV3 dan RTM) lagi, di bawah PAKATAN kita menghormati prinsip kebebasan media, jadi semua sekarang ini boleh tonton TV3, boleh beli Utusan Malaysia dan Sinar Harian.
“Tapi jangan lupa Astro Awani dan SelangorKini. Mereka banyak bantu kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Gombak di Dataran Greenwood, petang ini.
Hadir sama, barisan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan Parlimen itu, Amirudin Shari, Hilman Idham dan Saari Sungip.
Dalam perkembangan itu, majlis kesyukuran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 masyarakat Gombak, di sini.
Terdahulu, Pakatan Harapan menetapkan prinsip kebebasan media diangkat sebagai asas memastikan rakyat mendapat maklumat tepat tanpa pengisian kandungan berita berunsur fitnah terhadap mana-mana pihak.
Kerajaan Pakatan menekankan akan terus mendukung prinsip itu dengan melaksanakan dasar kebebasan media, di Putrajaya.
Ketika pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional di Putrajaya, media arus perdana digunakan sebagai agen penyampaian berita fitnah terhadap Pakatan yang dibuat bagi memburukkan imej pimpinan pembangkang ketika itu.
Bagaimanapun, hanya media rasmi Kerajaan Negeri dan media alternatif yang dilihat lebih cenderung menyampaikan maklumat secara telus tanpa mengikut kepartian.
=EZY=