Categories
SELANGOR

YIDE bantu 8,000 anak yatim Selangor & Melaka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memperuntukkan RM900,000 kepada 8,000 anak yatim di Selangor dan Melaka sempena Aidilfitri, pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, sumbangan itu akan diagihkan kepada semua anak yatim terlibat secara berperingkat sepanjang Ramadan.

Katanya, sumbangan itu bagi membantu golongan memerlukan membuat persiapan menyambut hari raya dan memberi keceriaan ketika menjalani ibadah puasa.

“YIDE berperanan menjalankan tugas diamanahkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui punca kuasa MAIS untuk menyalurkan sumbangan kepada anak yatim di Selangor dan luar negeri itu sekiranya terdapat keperluan.

“YIDE turut komited dalam membantu golongan ini khususnya di Selangor dan Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (RAYSAAS) di Melaka.

“Selain itu, sumbangan dibuat telah memasuki tahun keempat, manakala sebelum ini adalah di bawah tanggunjawab MAIS,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada 60 anak yatim rumah kebajikan berkenaan, melibatkan peruntukan RM18,000 selain beras dan kain pelekat.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka merangkap Pengerusi RAYSAAS, Datuk Yaakub Md Amin dan Pengurus RAYSAAS, Maznah Abdul.