Categories
SUKANKINI

WC2018: Mexico buat kejutan tumbangkan Jerman

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Mexico mempamerkan aksi luar biasa apabila menewaskan juara Piala Dunia 2014, Jerman 0-1 hasil jaringan tunggal Hirving Lozano pada aksi pertama Kumpulan F awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Carlos Osorio terlebih dahulu menguji pertahanan Jerman menerusi Hirving Lozano pada minit kedua tetapi rembatannya berjaya dihalang Jerome Boateng.

Seminit kemudian, Timo Werner turut mencuba menerusi rembatan kencang namun melintasi gawang gol Mexico.

Jerman kembali menerusi gerakan Mats Humells tetapi rembatannya didakap kemas penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa pada minit kelapan.

Hector Herrera turut mencuba memecah kebuntuan di minit ke-11 tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer.

Neuer sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan tandukan Hector Moreno hasil sepakan percuma Miguel Layun pada minit ke-15.

Werner turut mencuba buat kali kedua di minit ke-19 dan disusuli rembatan kaki kiri Toni Kross selang tiga minit kemudian namun ia tepat ke dakapan Ochoa di gawang Mexico.

Corak permainan pantas yang dipamerkan Mexico akhirnya berjaya memerangkap pertahanan Jerman apabila Lozano membuka tirai jaringan 0-1 pada minit ke-35.

Berpunca daripada tolakan Javier Hernandez, Lozano yang melakukan larian di sebelah kiri memperdaya pertahanan Jerman sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Neuer.

Jerman hampir menyamakan kedudukan di minit ke-39 menerusi sepakan percuma Kross tetapi berjaya ditampan Ochoa lalu singgah ke palang gol.

Bersambung babak kedua Jerman menggandakan asakan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-58 menerusi rembatan Thomas Muller yang berjaya ditepis Ochoa tetapi beliau terlebih dahulu didapati offside.

Joshua Kimmich melakukan sepakan gunting menarik pada minit ke-65 hasil hantaran Boateng tetapi sekadar melewati gawang gol Mexico.

Pemain gantian, Marco Reus turut mencuba pada minit ke-71 tetapi sepakannya gagal menepati sasaran.

Kross mencuba sekali lagi di minit ke-75 tetapi sekadar singgah disisi gawang Mexico.

Mexico yang sekali sekala menyerang hampir mengancam kubu Jerman tetapi percubaan Layun melambung tinggi di minit ke-77.

Layun sekali lagi menghampakan Mexico di minit ke-81 apabila gagal melepaskan rembatan tepat menerusi satu serangan balas pantas.

Ochoa terus mempamerkan kecemerlangan apabila muda mengawal rembatan Kross di minit ke-84 bagi kedudukan semasa kekal 0-1.

Mario Gomez yang masuk menggantikan Werner juga gagal menemui penyudah apabila gagal menanduk tepat di minit ke-88.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup