Categories
SELANGOR

Keputusan calon PAKATAN menerusi konsensus

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUL: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan beliau tidak bersetuju Mohd Zawawi Ahmad Mughni diangkat sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis.

Tegasnya, KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengekalkan prinsip perbicangan dalam semua aspek menerusi konsensus bersama berbanding Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan konsep ‘diktator’.

“Ini strategi Umno untuk pecah belahkan perpaduan PAKATAN kerana perbincangan tidak berlaku dalam Umno dan BN kerana ia ditentukan oleh ketua (pimpinan) di atas.

“Tetapi di dalam KEADILAN dan PAKATAN, kita sering berbincang dan membuat keputusan secara muafakat dan konsensus.

“Keputusan dibuat secara konsensus ini akan menjadi keputusan yang kuat dan memberikan kejayaan kepada PAKATAN ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada proses penamaan calon PRK DUN N.49 Sungai Kandis di Pusat Penamaan Calon PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam.

Mohamed Azmin turut gembira apabila PAKATAN masih mengekalkan amalan konsensus demi mencari keputusan terbaik buat semua.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan BEBAS, Murthi Krishnasamy.

Proses pembuangan undi akan berlangsung pada 4 Ogos depan.