Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Yayasan Selangor peruntuk RM6.4 biasiswa sekolah dan IPT

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JUL: Yayasan Selangor memperuntukan RM4.1 juta bagi menyediakan biasiswa kepada 5,000 pelajar sekolah menengah di bawah tajaannya pada 2017.

Pemangku Pengurus Besarnya, Zahura Zakry berkata, Yayasan Selangor turut memperuntukan RM2.3 juta bagi menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Yayasan Selangor bertanggungjawab khususnya dalam bidang pendidikan sentiasa berusaha terus maju dan memakmurkan Selangor terutama menerusi pembangunan program pendidikan sepanjang hayat dengan menyediakan pelbagai program.

“Anak-anak tajaan Yayasan Selangor ini terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah sama ada program akademi atau bukan akademi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2017 di Intekma Resort & Convention Centre, di sini, hari ini.

Zahura berkata, dua program utama pendidikan dilaksanakan Yayasan Selangor adalah Program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan Selangor (RKPYS) sejak 1970-an dan program ‘High Potential Students’ (Hipers) dilancarkan pada 11 Febuari 2014.

Katanya, RKPYS mensasarkan pelajar lepasan UPSR dari keluarga berpendapatan perkapita RM2,000 dan ke bawah.

Manakala, program Hipers pula disasarkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana/rendah di peringkat sekolah rendah dan menengah.