Categories
SUKANKINI

WC2018: Forsberg bawa Sweden ke suku akhir

OLEH HAFIZAN TAIB/AFIQ REDZUAN

SAINT PETERSBURG, 4 JUL: Jaringan tunggal Emil Forsberg membawa Sweden ke pusingan suku akhir Piala Dunia selepas mengatasi Switzerland 1 – 0 di sini.

Rembatan pemain tengah RB Leipzig itu pada minit ke-66 cuba dihalang pertahahan Switzerland, Manuel Akanji tetapi terlencong ke gawang sendiri mengelirukan penjaga gol, Yann Sommer.

Pendahuluan diperoleh Sweden memberi kelebihan kepada pasukan itu dan berusaha mengandakan asakan selain mematahkan serangan lawan.

Switzerland hampir mendapat gol penyamaan melalui Johan Djourou tetapi tandukannya melepasi pintu gol.

Pengadil perlawanan, Damir Skomina, yang menghadiahkan penalti kepada Sweden pada masa tambahan selepas Michael Lang mengkasari Martin Olsson dan dilayang kad merah, mengubah keputusan kepada tendangan bebas berpandukan video bantuan pengadil (VAR).

Dengan kemenangan itu, Sweden ke peringkat suku akhir untuk kali pertama sejak 1994 dicatat pada kejohanan di Amerika Syarikat.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018