Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tingkat kerjasama negeri, MBSA dan UiTM anjur acara antarabangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam penganjuran pelbagai acara antarabangsa mampu memberi manfaat kepada ketiga-tiga pihak.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerjasama seumpama ini boleh diwujudkan dengan menjadikan Selangor sebagai tuan rumah acara yang bakal dijalankan.

“Saya ingin mengambil peluang mencadangkan kepada UiTM untuk menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan MBSA menganjurkan lebih banyak acara antarabangsa seperti persidangan, seminar dan sudah tentu pertandingan sukan pada masa akan datang di Shah Alam dan tempat lain di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Fiesta Sukan Antarabangsa UiTM Ke-13 (UISF2018) di Stadium Mini Hoki UiTM di sini, malam tadi.

Katanya, selain meningkat hubungan dengan pelbagai agensi negara luar, acara seperti ini membantu menaikkan nama Selangor, MBSA dan UiTM sendiri di mata dunia.

Ketika berucap di hadapan 850 kontinjen, Amirudin turut mengambil kesempatan untuk mempelawa para atlit melawat beberapa tempat menarik sekitar bandaraya Shah Alam seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muzium Selangor, Taman Tasik Shah Alam, Taman Tema seperti i-City dan Sunway Lagoon.