Categories
NASIONAL

Tamat monopoli Bernas: Kerajaan jamin golongan petani tidak diabaikan

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Golongan petani tempatan tidak akan diabaikan jika monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) ditamatkan.

Timbalan ​​​​​​​​​​​​​Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, pemain industri padi dan beras yang baharu diharap dapat terus mengutamakan​​​​​​​ bekalan beras daripada petani tempatan berbanding dari luar.

“Kami akan beri tanggungjawab tersebut kepada syarikat baharu yang ingin sertai kerana ​​​​​​​jika​​​​​​​ mereka hendak dapatkan keuntungan daripada import beras, mereka juga perlu laksanakan tanggungjawab sosial.

“Kita nak syarikat itu memperoleh keuntungan yang adil jadi mereka perlu tunai tanggungjawab ​​​​​​​mereka, barulah industri itu sihat,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu sekiranya pemecahan monopoli beras memberi kesan kepada golongan pesawah yang selama ini memberi bekalan beras kepada Bernas.

Pada 17 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan sedang mengkaji untuk membuka monopoli Bernas​​​​​​​ sebanyak 30 peratus pada tahun depan kepada pemain industri padi dan beras yang lain sebelum konsesi syarikat itu tamat sepenuhnya pada 2021.

Kajian lanjut mengenai model baharu bagi menggantikan monopoli Bernas sedang dalam​​​​​​​ perbincangan yang mengambil kira semua aspek.

Ia merangkumi sekuriti makanan negara dan kebajikan pemain industri termasuk petani, pengilang serta rakyat sebagai pengguna akhir.

– BERNAMA