Categories
AGENDA NASIONAL

Petani bakal nikmati manfaat tabung pelaburan

ALOR SETAR, 10 SEPT: Petani kemungkinan bakal menikmati manfaat daripada sebahagian keuntungan diperoleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) ataupun mana-mana pihak lain yang akan diberikan kontrak Permit Import (AP) beras selepas kontrak Bernas tamat pada Januari 2021.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya bercadang memasukkan sebahagian keuntungan itu ke dalam tabung pelaburan petani, bagi kegunaan hal kebajikan golongan berkenaan termasuk nelayan.

“Sebahagian keuntungan ini dimasukkan ke dalam tabung pelaburan ini untuk diagihkan kembali kepada petani, mungkin satu tabung untuk kebajikan anak petani dan nelayan, gunakan balik daripada sebahagian keuntungan dalam tabung pelaburan ini nanti.

“Setelah 60 tahun negara ini merdeka, industri padi dan beras negara keuntungan ini tidak dapat dirasai petani peringkat bawah,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, kementeriannya mengalu-alukan mana-mana pihak lain yang berminat untuk mendapatkan kontrak AP itu, bagi menggantikan Bernas dengan menghantar cadangan mereka untuk penelitian pihak kementeriannya.

“Kementerian akan buat keputusan dan melihat pihak mana yang memenuhi kriteria ditetapkan dan boleh menjalankan tanggungjawab untuk aspek keselamatan makanan secara keseluruhannya, dalam tempoh enam bulan dari sekarang kita dah boleh tahu, namun setakat ini kita belum terima lagi cadangan tersebut,” katanya.

Katanya, kementeriannya akan membuat penilaian sebaik mungkin, sama ada meneruskan kontrak Bernas atau memberikan kontrak itu kepada pihak lain yang lebih layak.

Salahuddin berkata, ini kerana ia bukan sekadar aktiviti mengimport beras dan keuntungan semata-mata, sebaliknya ia melibatkan rantaian nilai keseluruhan keselamatan makanan negara selain kebajikan petani perlu diberikan perhatian.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tamat monopoli Bernas: Kerajaan jamin golongan petani tidak diabaikan

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Golongan petani tempatan tidak akan diabaikan jika monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) ditamatkan.

Timbalan ​​​​​​​​​​​​​Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, pemain industri padi dan beras yang baharu diharap dapat terus mengutamakan​​​​​​​ bekalan beras daripada petani tempatan berbanding dari luar.

“Kami akan beri tanggungjawab tersebut kepada syarikat baharu yang ingin sertai kerana ​​​​​​​jika​​​​​​​ mereka hendak dapatkan keuntungan daripada import beras, mereka juga perlu laksanakan tanggungjawab sosial.

“Kita nak syarikat itu memperoleh keuntungan yang adil jadi mereka perlu tunai tanggungjawab ​​​​​​​mereka, barulah industri itu sihat,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu sekiranya pemecahan monopoli beras memberi kesan kepada golongan pesawah yang selama ini memberi bekalan beras kepada Bernas.

Pada 17 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan sedang mengkaji untuk membuka monopoli Bernas​​​​​​​ sebanyak 30 peratus pada tahun depan kepada pemain industri padi dan beras yang lain sebelum konsesi syarikat itu tamat sepenuhnya pada 2021.

Kajian lanjut mengenai model baharu bagi menggantikan monopoli Bernas sedang dalam​​​​​​​ perbincangan yang mengambil kira semua aspek.

Ia merangkumi sekuriti makanan negara dan kebajikan pemain industri termasuk petani, pengilang serta rakyat sebagai pengguna akhir.

– BERNAMA