Categories
NASIONAL

Pendeposit TH patut lega, jangan layan golongan rasis pekat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 DIS: Golongan mendakwa langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menyelia perkembangan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai percubaan pihak tertentu merosakkan institusi itu dibidas.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, dakwaan ini hanyalah suara golongan berfahaman rasis pekat dan tidak berlandaskan fakta sebenar.

“Dakwaan kononnya TH diletak bawah BNM, BNM bawah Menteri Kewangan yang seterusnya percubaan untuk ambil alih dan rosakkan TH sebenarnya bermain sentimen, bukan fakta tetapi retorik yang tak berasaskan fakta dikeluarkan oleh suara yang pekat fahaman rasisnya.

“Apabila orang yang tak reti kewangan ini kata BNM ambil alih urusan TH, itu adalah pandangan yang tak betul tetapi sebenarnya BNM hanya menyelia, fokus untuk membantu TH sehinggalah dipulihkan sementara TH terus menguruskan asetnya,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga Bekas Timbalan Pegarah BNM itu berkata, justeru pendeposit TH wajar berasa lega ekoran BNM mengaktifkan langkah penyeliaannya terhadap institusi itu.

Katanya, langkah ini mampu menyelamatkan TH daripada terjebak dengan masalah aset dan kerugian lebih buruk.

“Sebelum ini BNM hanya pandang atau pantau dari jauh sahaja tetapi bila TH bermasalah barulah BNM mengaktifkan penyeliaannya terhadap TH,” katanya.