Categories
NASIONAL

Pencemaran Kimia: Tiada kes baharu dirujuk ke hospital

JOHOR BAHRU, 20 MAC: Tiada kes baharu dirujuk ke hospital berikutan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal.

“Jumlah pesakit yang telah dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) seramai tujuh orang.

“Hanya tinggal seorang pesakit yang masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding dua pesakit sebelum ini dan dalam keadaan stabil,” kata beliau dalam kenyataan, di sini, semalam.

Dr Sahruddin berkata, sejak 17 Mac hingga 12 tengah hari tadi, 44 pesakit masih dirawat di hospital.

Secara keseluruhan, kualiti udara di persekitaran Sungai Kim Kim kini stabil namun pemantauan akan tetap diteruskan sehingga 2 April nanti dan data akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Dr Sahruddin berkata, pasukan pemantau terdiri daripada anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Malaysia melakukan ujian tanah dalaman terhadap sampel yang dikumpul pada setiap hari selepas kerja pembersihan.

Katanya, pasukan penilai pula ditubuhkan bagi membuat pemantauan di kawasan yang terjejas, membabitkan Jabatan Kimia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Meteorologi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebaran maklumat yang belum sahih melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial.

– BERNAMA