Categories
NASIONAL

Pencemaran Kimia: Tiada kes baharu dirujuk ke hospital

JOHOR BAHRU, 20 MAC: Tiada kes baharu dirujuk ke hospital berikutan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal.

“Jumlah pesakit yang telah dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) seramai tujuh orang.

“Hanya tinggal seorang pesakit yang masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding dua pesakit sebelum ini dan dalam keadaan stabil,” kata beliau dalam kenyataan, di sini, semalam.

Dr Sahruddin berkata, sejak 17 Mac hingga 12 tengah hari tadi, 44 pesakit masih dirawat di hospital.

Secara keseluruhan, kualiti udara di persekitaran Sungai Kim Kim kini stabil namun pemantauan akan tetap diteruskan sehingga 2 April nanti dan data akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Dr Sahruddin berkata, pasukan pemantau terdiri daripada anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Malaysia melakukan ujian tanah dalaman terhadap sampel yang dikumpul pada setiap hari selepas kerja pembersihan.

Katanya, pasukan penilai pula ditubuhkan bagi membuat pemantauan di kawasan yang terjejas, membabitkan Jabatan Kimia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Meteorologi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebaran maklumat yang belum sahih melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Sisa kimia: Jawatankuasa khas pantau sampel ikan, kualiti air

PUTRAJAYA, 18 MAC: Pejabat Perikanan Negeri Johor (PPN Johor) menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas bagi menyiasat dan memantau sampel dan parameter kualiti air bagi ternakan kupang dan ikan dalam sangkar di sekitar Pasir Gudang susulan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Ketua Pengarahnya, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, sampel ikan dihantar ke makmal Jabatan Perikanan atau makmal swasta untuk analisis secara terperinci bagi menentukan sama ada sumber ikan di kawasan itu adalah selamat untuk dimakan ataupun sebaliknya.

“Hasil analisa tersebut dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengenai video ratusan ikan mati kononnya akibat pencemaran sungai di Pasir Gudang yang tular di media sosial, beliau berkata pemantauan di kawasan ternakan ikan dan kupang di kawasan itu mendapati tiada laporan kematian ternakan setakat ini.

“PPN Johor menegaskan bahawa ia adalah berita palsu dan tiada insiden seperti digambarkan dalam video berkenaan berlaku di Sungai Kim-Kim, Kong-Kong atau mana-mana kawasan Pasir Gudang,” katanya.

Munir berkata, sejurus selepas insiden tersebut pada 7 Mac lalu, PPN Johor menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Negeri Johor serta menghantar sampel ikan bagi siasatan kualiti air yang mungkin terkesan daripada sisa buangan Sungai Kim Kim.

“JAS mengambil tindakan segera dengan menghalang aliran bahan kimia menggunakan ‘oil boom’,” katanya.

Menurut Munir, laporan awal dari Jabatan Kimia mendapati sampel air terkesan mengandungi metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, ethyl benzene, aldrich toluene, xylene dan limonene.

Katanya, terdapat lapan pangkalan nelayan berhampiran kawasan pencemaran bahan kimia tersebut melibatkan seramai 342 nelayan dan 181 penternak di sekitar Teluk Kabung dan Kampung Perigi Acheh.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jumlah pesakit akibat gas beracun ditahan di wad menurun

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di wad dua hospital akibat pencemaran gas beracun di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang mencatatkan trend menurun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga jam 12 malam tadi, hanya 29 orang ditahan di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Sehingga 12 malam tadi, kita kendali 62 mangsa dalam wad di HSI dan HSA dengan kemasukan 29 mangsa yang baru, dan empat kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seorang diintubasi dan memerlukan rawatan bantuan penafasan.

“Walau bagaimanapun, tiada kes baru di ICU bagi hospital Kementerian Kesihatan (KKM),” tulisnya di laman Twitter, pagi tadi.

Pada 12 Mac lalu, seramai 125 mangsa ditahan di wad kedua-dua hospital.

Kemudian, 15 Mac lalu pula merekodkan 75 mangsa ditahan, dan yang terakhir 12 malam tadi hanya 29 mangsa ditahan.

Categories
NASIONAL

Pencemaran kimia: Jawatankuasa Saintifik ditubuh kaji insiden

JOHOR BAHARU, 15 MAC: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) hari ini menubuhkan Jawatankuasa Saintifik bagi mengenal pasti punca dan penyelesaian kepada pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, tujuan utama penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk membantu jawatan kuasa bencana negeri membuat siasatan secara saintifik berkenaan perkara tersebut.

“Penubuhan jawatankuasa ini perlu kerana selepas kerja pembersihan dilakukan, kita tidak tahu sama ada ia selamat dan kita perlu kajian saintifik untuk memperolehi keputusan yang tepat,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff, Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Jawatankuasa itu turut dianggotai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Angkasa Negara, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jabatan Kimia Negeri Johor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), UTM dan Petronas.

“Jawatankuasa ini juga bertindak mengumpul dan menganalisa semua data dan seterusnya menyelesaikan dengan lebih tepat masalah ini, ” katanya.

Bee Yin berkata tugas jawatankuasa tersebut adalah pengurusan data, menghalang gelombang ketiga gas beracun, pemantauan alam sekitar serta penerobosan kimia berbahaya ke dalam air bawah tanah dan kandungan tanah dasar sungai.

Beliau berkata, setakat ini kawasan seluas 680 meter daripada 1.5 kilometer kawasan paling tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan.

Katanya, ​​​​​​​kontraktor dilantik terus melakukan kerja pembersihan selama 24 jam untuk membersihkan baki 900 meter sungai berkenaan.

​​​​​​​”Pada masa sama, membuat pemantauan jika ada kemungkinan ada gas keluar ketika kerja pembersihan dijalankan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai memberi kerjasama dengan tidak berada dekat dengan tempat pembersihan dan mereka yang tinggal berhampiran tidak perlu bimbang kerana pihak di lapangan sentiasa memantau keadaan di sana.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pencemaran kimia: PM puas hati kerja tangani insiden

PUTRAJAYA, 15 MAC: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan kerja-kerja menangani kesan insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.

Beliau berkata, petugas hospital menjalankan kerja dengan baik dalam menangani krisis dengan berkesan dan mengelak ia daripada bertambah buruk.

“Memang jarang sekali berlaku kejadian pembuangan bahan kimia sehingga menjejaskan kesihatan ramai ini, tapi nyata sekali mereka (petugas) berjaya mengelak sebarang kematian.

“Mereka yang dirawat di hospital juga dibenarkan pulang tidak lama lagi apabila benar-benar sembuh,” katanya lapor BERNAMA.

Merujuk kepada lawatannya ke Pasir Gudang, semalam Dr Mahathir berkata, secara keseluruhannya kerja-kerja menangani krisis berjalan dengan baik.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pencemaran Kimia: Tiada tangkapan setakat ini – KPN

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini berhubung pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan insiden itu.

“Kita terima 51 laporan polis, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan (menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan) dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan (kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun),” katanya pada sidang media ketika ditanya mengenai perkembangan kes pencemaran bahan kimia itu.

Beliau berkata, kira-kira 150 anggota termasuk daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan bagi memantau dan mengawal kawasan pencemaran itu.

Kejadian pencemaran bahan kimia yang menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup itu dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim yang dilaporkan pada 7 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata pihaknya menerima lebih 50 laporan polis berhubung himpunan Hari Wanita Sedunia pada Sabtu lepas dan sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Mereka tidak mengikut prosedur yang betul, disebabkan itu kita tak keluarkan kebenaran. Bila ada laporan polis kita siasat secepat mungkin untuk serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita siasat sebab tak bagi notis pun mereka teruskan…untuk kata kita jangan siasat sebagainya itu bukan tanggungjawab mereka…tapi tanggungjawab PDRM (Polis Diraja Malaysia) (untuk siasat),” katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan gesaan pihak tertentu supaya polis menghentikan siasatan itu.

BERNAMA melaporkan enam individu telah hadir untuk memberi keterangan kepada polis baru-baru ini berhubung perhimpunan itu yang dilapor turut disertai penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Dataran Merdeka di sini.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyaksikan majlis terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara Ahad ini.

– Bernama

Categories
NASIONAL

PEKA gesa undang-undang alam sekitar lebih tegas

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Malaysia menggesa kerajaan mengenakan penaliti lebih berat ke atas mereka yang didapati bersalah atas jenayah alam sekitar.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, ini termasuk meningkatkan tempoh hukuman penjara dan denda dalam undang-undang sedia ada berkaitan alam sekitar.

“Penaliti lima tahun penjara dan denda RM500,000 (misalnya) tidak akan menghalang pencemar. Kerajaan patut mempertimbang hukuman penjara 20 tahun dan denda sekurang-kurangya RM1 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor yang dilapor menyebabkan lebih 2,000 orang dirawat di hospital sementara 111 sekolah ditutup bagi mengelak lebih ramai pelajar terjejas.

Shariffa Sabrina berkata, bagi mengelak perkara sama berulang,langkah pencegahan mesti dilaksana di seluruh negara.

“Meter ujian gas dan pencemaran seharusnya dipasang di semua kawasan perindustrian utama,” katanya.

Beliau turut menyarankan setiap syarikat kimia diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Alam Sekitar untuk memudahkan proses pemantauan.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Semua 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta

SHAH ALAM, 13 MAC: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menutup semua 111 sekolah, di daerah Pasir Gudang berkuat-kuasa serta-merta, hari ini ekoran pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim, sejak Khamis lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, arahan penutupan itu berterusan sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Sehubungan itu, semua murid, guru, kakitangan dan pekerja di semua sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memohon semua pihak supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan sejumlah 506 orang dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail.