Categories
AGENDA GLOBAL

Tiga letupan bom sasar mesin ATM di Selatan Thailand

PATTANI, 4 OGOS: Tiga butir bom menyasarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meletup, di tiga daerah di wilayah bergolak Pattani, selatan Thailand, hari ini.

Kejadian letupan bom berlaku mulai 12 tengah malam tadi (waktu tempatan) di Daerah Khok Pho, Yarang dan Saiburi di Pattani dan menyasarkan mesin ATM.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Wilayah Pattani Mej. Jen. Pol Piyawat Chalermsi berkata, kejadian pertama berlaku di pintu masuk sekolah pondok Asiztan di Khok Pho, kedua di pintu masuk Universiti Fatoni, Yarang, dan ketiga di pintu masuk sekolah pondok Sasanasuksa, Saiburi.

“Suspek turut melarikan wang dalam mesin ATM. Jumlah masih belum dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kira-kira 20 lelaki bersenjata terlibat dalam tiga letupan mesin ATM ini.

“Suspek turut mengikat seorang pengawal keselamatan dan melarikan sepucuk pistol milik mangsa, sebelum meletupkan mesin ATM di Universiti Fatoni,” katanya.

Polis masih menyiasat sama ada kejadian di Wilayah Pattani hari ini berkait dengan letupan di Bangkok pada Jumaat lepas.

Jumaat lalu, media tempatan melaporkan beberapa siri letupan kecil yang menggegarkan Bangkok dan menyebabkan kecederaan ringan kepada empat orang, dikaitkan dengan kumpulan pemisah dari selatan negara ini.

Selain itu, polis Thailand juga menahan dua lelaki dari Narathiwat pada Jumaat, kerana dipercayai terlibat dalam insiden bom palsu di ibu pejabat polis, yang terletak berhampiran dengan tempat berlangsung Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-52 dan Pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52) Khamis lepas.

– BERNAMA