Categories
AGENSI SELANGOR

Jerebu: YIDE edar 1,000 penutup mulut

SHAH ALAM, 22 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengedarkan 1,000 penutup mulut dan air mineral kepada orang awam di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, di sini, pada 20 September lalu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, edaran itu dilakukan sebagai langkah awal penjagaan kesihatan terutama ketika menghadapi fenomena jerebu yang semakin membimbangkan pada masa kini.

Katanya, selain mengedarkan penutup mulut pihaknya bersama jemaah masjid turut melaksanakan solat sunat Istisqa’ memohon hujan turun, sekali gus meredakan jerebu.

“Edaran penutup mulut ini dilakukan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial YIDE yang juga badan berorentasikan kebajikan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“YIDE menyeru orang awam khususnya kanak-kanak untuk menjaga kesihatan serta mengikut mengikut panduan dalam menangani fenomen jerebu ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kanak-kanak turut dibekalkan penutup mulut dan hidung oleh YIDE sebagai persediaan berdepan cuaca jerebu. – Foto Facebook YIDE

Terdahulu, YIDE turut mengedarkan 1,000 penutup mulut di sekitar kawasan Johan Setia.

Sementara itu, berdasarkan laporan rekod bacaan jerebu di portal Jabatan Alam Sekitar, Johan Setia sebagai kawasan tunggal di Selangor merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras sangat tidak sihat dengan bacaan 202 setakat jam 2 petang tadi.

Manakala, lima kawasan di Selangor direkodkan pada paras tidak sihat iaitu Kuala Selangor (161), Shah Alam (138), Petaling Jaya (134), Klang (133) dan Banting (121).

Berdasarkan rekod, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di http://apims.doe.gov.my/public_v2/api_table.html.